Piccredit: sherryclaytonworks.wordpress
APABILA PEMIMPIN LEMBAB & LEMBIK
SEBAIK sahaja kita tercelik kerana bunyi jam tepat pukul 5.00
pagi, kita terus bangun. Kita bangkit kerana telah membuat keputusan untuk bangun
pada waktu itu ketika menghidupkan nada dering jam di fonsel pada malam tadi.
Bagaimana pun, kita boleh sahaja menarik
semula selimut. Apabila kita berbuat begitu, itu tandanya kita telah menukar
keputusan untuk bangun tidur kepada menyambung dengkur.
Membuat keputusan. Ia adalah apa yang kita sentiasa
lakukan sedari kita bangun tidur sehinggalah kita berbaring kembali. Apa yang
kita lakukan ketika sedar dianggap sebagai keputusan yang sah, walhal ketika bermimpi
pun kita membuat pelbagai keputusan secara bawah sedar.
Setiap keputusan yang kita ambil itu adalah pilihan
yang dianggap terbaik. Yang pasti, kita telah memikirkan beberapa jawapan kepada persoalan yang kita
hadapi sebelum memilih apa yang dianggap sebagai sebuah keputusan yang paling
tepat, sesuai dengan hasrat yang kita ingini. Dalam suasana yang ideal di mana
persoalan tiba satu persatu secara tersusun, keputusan juga boleh ditangani
satu demi satu dengan penuh ketenangan.
Tetapi, dalam degup kehidupan yang semakin pantas dan
kompleks, kita dituntut untuk membuat pelbagai keputusan dengan lekas. Lihat
sahaja keadaan kita pada hari ini. Jika dahulu, kita boleh menunggu untuk
sesuatu itu selesai sebelum membuat sesebuah keputusan, kini ia tidak lagi
begitu. Pada banyak ketika dan suasana, setelah kita membuat sesebuah keputusan,
tindakan kita pula adalah berlandaskan suatu keputusan baharu yang telah kita
tentukan, barangkali sesaat sebelum kita bertindak.
Kita ambil contoh yang mudah. Apabila kita membuka
televisyen dengan niat untuk menonton hiburan muzik, kita boleh sahaja mengubah
keputusan apabila siaran perlawanan bolasepak tertayang di skrin. Hanya
beberapa saat kita menonton dan perasaan bosan menjelma, kita menggunakan alat
kawalan jauh untuk memilih dokumentari di rangkaian berikutnya, kemudian drama,
kartun atau berita di saluran-saluran lain tanpa membuka pun siaran muzik
seperti niat tujuan asal kita ingin berhibur dengan membuka televisyen.
Pendek kata, dalam situasi pada hari ini, kita boleh
sahaja memikirkan masalah, kemudian mencari jalan penyelesaian yang terbaik
sebagai keputusan. Tetapi apabila bertindak, kita boleh sahaja melakukan
sesuatu yang berlainan sekali dengan apa yang telah kita putuskan. Inilah
realiti yang perlu kita hadapi dan tangani. Kita tidak boleh lembab dalam
membuat keputusan dan bertindak ke atasnya.
Bagaimana pun, jika ia adalah sebuah keputusan mudah
seperti memilih rancangan televisyen ataupun apa yang hendak dimakan sebagai
sarapan, ia tiada masalah. Tambahan pula ia bersifat peribadi dan hanya memberi
kesan kepada kita sendiri sebagai pembuat keputusan itu. Tetapi, apa kata
seandainya keputusan dan tindakan itu memberi kesan kepada orang lain,
lebih-lebih lagi ia melibatkan kepentingan ramai kerana kita adalah seorang
pemimpin?
Di sinilah cabarannya. Sebagai seorang pemimpin, tuntutan
pada hari ini berkehendakkan pemimpin itu telus dalam memberitahu kepada para
pengikut yang terlibat apakah yang telah diputuskan dan apakah tindakan yang
sedang dilakukan. Dan, ia mestilah dilakukan secepat yang boleh. Jika lewat
menghebahkan apakah tindakan yang bakal diambil, ia akan memberi
persepsi bahawa pemimpin itu lembab dalam bertindak.
Kehidupan pada hari ini juga penuh dengan trial and error. Tidak boleh hanya
bereksperimen di makmal fikir tetapi terus ke medan amal langsung belajar
daripada kesilapan dalam tindakan. Kerana itu, ia memerlukan seseorang pemimpin
itu bertindak serta berani melakukan kesilapan dan segera memperbetul kesalahan
asalkan apa jua tindakan yang dilakukan itu mengikut jalur keputusan yang dimatlamatkan.
Barangkali, sesebuah tindakan itu boleh sahaja berubah pendekatannya. Ia
samasekali tidak menjadikan seseorang pemimpin itu bertindak secara
berbolak-balik atau flip-flop asalkan
hala tujunya sentiasa tepat kompasnya.
Justeru itu, keadaan pada hari ini tidak membolehkan pemimpin
berfikir terlalu lama untuk menimbangkan
keputusan yang terbaik. Ada pemimpin yang mengumpul sebanyak mungkin maklumat
kerana bimbang tersilap membuat keputusan. Seolah-olah dia bertapa dalam pengasingan,
membiarkan jawapan kepada segala persoalan bersarang di mindanya sehinggakan pengikut
yang tertunggu-tunggu dengan keputusannya itu bingung hingga menimbulkan persepsi
bahawa pemimpin mereka itu tidak peduli dengan masalah yang mereka hadapi. Sikap
terlalu berhati-hati pemimpin itu bagai orang yang menghidapi penyakit
psikologi obsessive compulsive
personality disorder(OCPD) kerana terlalu
bermain dengan sistem, peraturan, perincian dan ketersusunan tindakan.
Kemudian apabila bertindak di atas keputusan itu, dia
tidak mempedulikan pula maklumbalas pengikut yang terkesan dengan tindakan yang
pemimpin itu ambil. Dia seolah-olah begitu yakin bahawa tindakannya itu paling
berkesan jika dilaksanakan tanpa apa-apa pengubahsuaian.
Inilah yang membuatkan ramai pengikut rimas dan cemas.
Mereka bimbang akan hanyut apabila pandangan mereka tidak diambilkira langsung.
Padahal, sesiapa sahaja berhak untuk bersuara dan menyumbang idea agar tindakan
yang dilakukan itu membahagiakan sesiapa sahaja yang terkesan dengan sesebuah
keputusan pemimpin itu.
Maaf cakap... jika kita merenung sejenak dan memerhati
ke sekeliling, rupa-rupanya kita punyai semakin ramai pemimpin yang lembab dan
lembik sebegini.
Insya-ALLAH… artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 1.10.2014.
No comments:
Post a Comment