Tuesday, September 23, 2014

CLOWNS OF THE INDUSTRY


 
Piccredit: dawn.com
BADUT-BADUT
DI SEKELILING KITA

BARU-BARU ini saya terserempak dengan Dol Remos. Terkejut juga saya apabila melihat perawakannya yang masih seperti dahulu. Susuk tubuhnya bagai tidak dimamah usia. Dol Remos kurus tinggi. Tidak melebar seperti mereka yang sudah memanjat ke usia 50an. Nampaknya dia masih makan apa sahaja tetapi dalam jumlah yang sedikit. Sebab itu perutnya masih meleper. Tidak seperti perut lelaki yang kelihatan seperti mengandung lima bulan.   Cuma remos beralunnya yang menjadi kemegahan kini hanya tinggal sejemput.

Bagi mereka yang buat pertama kali berkenalan dengannya, Dol Remos adalah seorang usahawan yang bermotivasi. Dia petah bercakap dan amat menyakinkan. Dia akan bersetuju dengan pendapat sesiapa  sahaja serta mengiyakan apa jua idea dan saranan. Ini menjadikan dia seorang usahawan yang dikagumi. Namun, itu hanya di peringkat awal. Jika seseorang itu mengenalinya lebih sehari, maka masing-masing akan tahu belang dan autanya.

Cakaplah apa jenis perniagaan, Dol Remos tahu sahaja selok beloknya. Dia kenal Tan Sri itu, Tan Sri ini, Datuk itu, Datuk ini serta Menteri itu dan Menteri ini. Itu belum lagi Ketua Pengarah itu dan Ketua Pengarah ini atau segala tauke dan taiko serta semua along dan ayahanda.  Di atas nama bisnes, serahkan pada Dol Remos dan segala-galanya ditanggung beres.

Tetapi Dol Remos yang dikenali sebagai ahli perniagaan yang bersemangat masih tidak senang-lenang hidupnya. Keretanya, walaupun jenis yang diimport, tetapi bukan second-hand, malah sudah fifth-hand. Perniagaannya belum ada lagi yang lekat. Ini adalah kerana, Dol Remos adalah pakar menjual temberang dan menjaja nama untuk mendapatkan projek.

Akhirnya, oleh kerana dia pandai enter frame dengan menghadiri majlis yang besar-besar dan bijak ambil kesempatan berselfie dengan orang ternama, mudah sahajalah dia memperkenalkan VIP-VIP ini kepada mereka yang ingin mencari lubang dan peluang perniagaan. Begitulah cara Dol Remos hidup. Dia dapat juga habuannya. Tetapi dia hirup kuah, orang lain kunyah isi. Mujurlah isterinya seorang pegawai kerajaan dan anak-anaknya dapat belajar tinggi. Mereka kesemuanya boleh hidup sendiri dan tidak menyusahkan Dol Remos.

Saya umpamakan Dol Remos ini sebagai clown of the industry. Badut-badut sebegini terdapat dalam pelbagai komuniti dan industri. Mereka bukannya manusia putar alam, penipu, pembolot dan pembelot yang rakus. Itu kategori manusia yang berbeza. Sebaliknya, badut-badut di dalam komuniti ini tidak semestinya berbahaya. Daripada suatu segi, mereka dicari kerana boleh membantu sesiapa sahaja menemukan mana-mana pihak dengan mudah. Pendek kata, mereka boleh membuka pintu ke koridor kuasa dan pengaruh.

Di dalam komuniti politik pun, golongan badut-badut ini wujud. Mereka berada di mana-mana. Dengan YB ini pun dia rapat, dengan YB itu pun dia rapik. Di dalam apa jua pertemuan, dia akan pastikan dirinya kelihatan dan suaranya didengari. Apabila dengan puak ini dia menyokong, apabila dengan puak itu pun dia membela. Jangan ada sesiapa pun yang mengkritik orang penting di dalam sesebuah majlis. Badut-badut ini akan melenting dan membahasakan orang yang tidak sependapat dengan orang penting di dalam majlis itu. Siap dengan penumbuk terjulang ke udara.

Bagaimana dengan dunia akademik? Di sini pun ramai badut-badutnya. Mereka mendakwa diri mereka pakar kepada segala pakar. Mereka bercakap kononnya di atas hujah dan teori yang telah sah penyelidikannya. Padahal, ia baru dipetik dari carian di Google. Lebih parah lagi seandainya badut-badut ini berkelulusan Doktor Falsafah, padahal hanya Doktor Falsampah kerana kelulusannya daripada universiti yang tidak tersenarai di dalam Agensi Kelayakan Malaysia atau Malaysian Qualifications Agency. Maknanya, kelulusan universiti cap ayam.

Di dalam bidang agama pun, ada juga golongan ini. Mudah sahaja dia mendapat pangkat ustaz hanya kerana dia mahir dalam copy and paste segala bentuk artikel yang kemudiannya dia jadikan bahan syarahan dan tulisan di dalam blognya. Mereka boleh juga berlawak seperti ustaz-ustaz yang sebenar, Cuma lawak mereka tidak disulami dengan inti syarahan yang menginsafkan.  Akhirnya para hadirin asyik tertawa dengan aksinya, bukan tertunduk mendengar peringatannya.

Akhir-akhir ini juga terdapat badut di dalam dunia NGO. Jika dahulu, seseorang pemimpin sesebuah NGO itu mempunyai ribuan ahli, pada hari ini seorang badut pun boleh mengaku mewakili sesebuah NGO. Padahal, dialah presiden, dia setiausaha, dia penyimpan kira-kira dan dia jugalah ahlinya. Kelakar sememangnya kelakar. Dengan kemudahan media sosial, suara seseorang yang mengaku mewakili sesebuah NGO dengan senang sekali mempesona orang ramai.  

Begitulah badut-badut di sekeliling kita. Kadangkala kita mentertawakan mereka. Tetapi selalunya, mereka yang mempersenda kita.

Insya-ALLAH, artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 24.9.2014.

No comments:

Post a Comment