Tuesday, September 2, 2014

DI ANTARA BATU, KAYU DAN PLASTIK



Piccredit: blog.malaysia-asia.my

MERDEKAKAN DIRI
DARIPADA MAKAN


JIKA kita menonton saluran National Geographic ataupun Animal Planet, kita akan lihat kehidupan pelbagai binatang. Harimau, singa, badak sumbu dan zirafah adalah di antara binatang darat yang biasanya terpilih untuk dipaparkan. Namun, apakah kita sedar, kesemua binatang-binatang itu tegap mengikut struktur tubuh masing-masing?

Mana ada puma yang gemuk gedempol, gajah yang kurus merangka atau rusa yang buncit perutnya kecuali yang sedang mengandung? Pendek kata, hampir kesemua binatang mempunyai saiz tersendiri seperti yang sepatutnya. Masing-masing tidak pernah mengalami obesiti. Jika ada pun binatang yang obes, ia adalah angkara manusia yang memberinya segala jenis makanan yang terlalu menyihatkan seperti kucing peliharaan di rumah atau ayam ternak di pusat ternakannya.

Bandingkan dengan kita. Bila kita menoleh ke kiri dan kanan sahaja pun, kita boleh lihat pelbagai saiz kawan-kawan kita. Ada yang kurus melidi, gempal, gemuk dan boyot. Ada juga yang tubuhnya terlalu berotot-otot atau yang membenjol pula di sana sini. Seolah-olah manusia itu adalah daripada pelbagai spesis sedangkan kita tahu kesemua manusia adalah daripada spesis homo sapiens.
Kesemua perbezaan bentuk tubuh yang di luar kontor manusia menjadikan kita seperti makhluk dan bukannya manusia yang punyai lekuk atau otot tubuh yang seharusnya. Ia berpunca daripada kegemukan.
Jika kita ingat, lebih lima puluh tahun dahulu, di tahun-tahun awal kemerdekaan, kita sukar menemui rakan sekolah yang gemuk. Dalam ramai-ramai kawan sekolah, ada seorang-dua sahaja yang gedempol. Kini, jumlah pelajar sekolah yang badan berisi terdapat di dalam kebanyakan kelas. Ertinya, dalam sesebuah sekolah terdapat berbelas pelajar yang obes.

Kanak-kanak yang obes lazimnya akan menjadi orang dewasa yang obes juga. Yang dirisaukan bukanlah kegemukan itu sendiri. Tetapi penyakit berkaitan dengan obes yang akan muncul. Penyakit jantung dan diabetes akan lebih mudah dihinggapi oleh mereka yang gemuk. Maknanya, akan lebih ramai di antara kita yang berpenyakit kerana terlebih makan. Bukannya kerana kurang makan dan perut bercacing seperti pelajar sekolah di tahun-tahun 60an dahulu.

Sebenarnya, kita tidak menjadi gemuk dalam sehari semalam. Kita menjadi begitu dalam waktu yang berbulan lamanya. Tiada sesiapa pun yang mahu menjadi gemuk. Ia bukannya pilihan kita secara sengaja. Namun, tanpa disedari, keadaan sekelilinglah yang membuatkan kita ingin makan.
Banyak kajian yang mengaitkan tabiat makan dengan stres. Kehidupan kita yang kian mencabar, menjadikan kita stres dan sentiasa mahu mengunyah untuk mengurangkan tekanan. Akibatnya kita menambah makan dan juga berat badan.

Iklan makanan yang menggambarkan model-model yang membaham makanan dengan lahap, merangsang minda kita untuk berbuat begitu juga. Kecantikan fotografi yang memaparkan imej-imej makanan yang kelihatan garing, lembab dan berasap juga merangsang selera. Rancangan televisyen mengenai masakan juga menjadi di antara rancangan yang popular. Ia lebih digilai daripada rancangan gusti oleh penonton televisyen pada tahun-tahun 60an dan 70an.

Hampir kesemua kedai-kedai makan kini meletakkan gambar makanan yang bersaiz mega di hadapan restoran masing-masing. Suasana restoran yang merehatkan pula menjadikan seseorang itu duduk berjam-jam untuk menjamah makanan yang tinggi garam dan gula. Makan di luar sudah menjadi budaya. Di bandar-bandar kecil pun, budaya makan di warung sudah menjadi sebuah aktiviti keluarga.

Dan hampir kesemua restoran dan warung menyediakan masakan yang bergoreng. Yang bergoreng tentunya lebih berminyak. Yang berminyak lebih menyelerakan. Yang menyelerakan akan menambah kalori dan akhirnya meningkatkan lemak di dalam tubuh. Akibatnya lebih ramai di kalangan kita yang jadi obes.  Dan, obesiti kini sudah menjadi epidemik!

Jika soalan kita kepada anggota keluarga pada hari ini ialah, ‘Hendak makan apa hari ini?’ Soalan itu akan dijawab dengan nama pelbagai restoran Melayu, Cina, Jepun, Itali, Arab, Korea dan Siam. Sedangkan bila soalan yang sama diajukan oleh mereka di zaman awal kemerdekaan, jawapan yang diterima biasanya hanya, ‘Kita makanlah apa yang ada!’


Seharusnya kita tidak sahaja memerdekakan minda. Pada waktu yang sama juga kita mesti memerdekakan perut untuk menjaga kesihatan daripada melahap apa sahaja asalkan ia bukan batu, kayu mahupun plastik! 

Insya-ALLAH, artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian esok, 3.9.2014.

No comments:

Post a Comment