Piccredit: liputanislam.com
KITA HIDUP DALAM
KETIDAKADILAN
KITA HIDUP DALAM
KETIDAKADILAN
KITA wujud di dalam sebuah sistem memberi dan
menerima yang boleh dikatakan teratur dan seimbang. Itulah juga yang diajarkan
oleh ibubapa dan para guru di sekolah. Buat baik dibalas baik, buat jahat
dibalas jahat. Keadilan akan muncul jua akhirnya. Semua kejadian yang berlaku
itu ada sebab dan akibatnya. Ia adalah hukum alam. Ia adalah adat dan peraturan
yang tersusun rapi. Baguslah seandainya
ia sentiasa begitu.
Namun, apakah itu semua begitu konsisten mengikut
apa yang kita pelajari? Apakah bila kita menoleh ke kanan, ke kiri dan ke kanan
kembali sebelum melintas jalan seperti yang diajar cikgu di sekolah itu
menjamin kita selamat daripada kemalangan? Pada hari ini, selain daripada
memandang ke kiri dan ke kanan, kita perlu juga melihat ke atas. Meskipun tiada
kereta yang akan melanggar kita dari langit, kita perlu ingat bahawa pada hari
ini, ada banyak burung gagak yang bertenggek di atas wayar elektrik!
Maaf cakap… sebenarnya apa yang diajarkan di sekolah
itu adalah yang ideal. Di dunia realiti, ia tidak begitu. Sememangnya bagus
bila sewaktu belajar di sekolah dahulu kita diketengahkan dengan situasi yang
ideal. Tanpa mengetahui apa yang ideal, yang cantik dan sempurna, kita tidak
akan mengenali apa yang hodoh dan cacat dalam kehidupan ini.
Namun, jika idealnya ialah buat baik dibalas baik
dan buat jahat dibalas jahat, pada realitinya pula, yang sebaliknya boleh
berlaku. Kita sendiri pernah berdepan dengan situasi di mana orang yang kita
tolong itu menyusahkan kita ~ buat baik dibalas jahat. Atau, kita marah dengan
orang yang melanggar kereta kita, tetapi sebaliknya dia hanya menyahut bebelan
kita dengan senyuman dan membayar kos membaiki kereta kita tanpa banyak soal ~
buat jahat dibalas baik.
Maknanya, ideal yang dipelajari di sekolah itu juga
yang membikin kita terilusi dengan realiti. Begitu jugalah aspek keadilan dalam
kehidupan kita. Keadilan adalah sesuatu yang suci dan ia mesti dipertahankan.
Justeru itu, bila kita berasa kita teraniaya, kita akan memperjuangkannya
secara bermati-matian. Ada di antara kita yang menggunakan undang-undang bagi
menuntut keadilan. Hingga ada yang tergelincir dalam mempertaruh ideal itu
sampai ke tahap mengambil undang-undang di tangan sendiri mengikut hukum
undang-undang rimba semata-mata kerana ingin menegakkan keadilan itu sendiri.
Namun, daripada sudut yang mudah, apakah kita sedar
bahawa ketidakadilan itu sentiasa terjadi dalam kehidupan seharian kita? Boleh
dikatakan juga kita sentiasa hidup dalam ketidakadilan! Kita ambil sebuah
contoh; tatkala beratur di pejabat pos, apabila tiba giliran kita, petugas meminta
kita ke kaunter sebelah kerana waktu rehatnya sudah tiba! Adilkah?
Tatkala memandu, kita berasa boleh melepasi lampu
hijau di persimpangan. Tetapi, oleh kerana kereta di hadapan kita itu begitu
perlahan, peluang kita melewati simpang tidak akan kesampaian. Bila lampu
bertukar kuning, kereta itu tiba-tiba memecut melepasi lampu meninggalkan kita
terhenti di lampu merah. Adilkah? Bagaimana pula perasaan kita apabila mesin imbas
kad kredit di pasaraya tidak boleh membaca kad kita? Kita tahu kad kredit kita
tiada masalah tetapi kerana mesin pengimbas yang kokak itu yang membuatkan kita
berasa malu! Adilkah?
Itu adalah di antara ketidakadilan kecil yang kita
hadapi. Bagaimana pun, ada orang lain yang berdepan dengan ketidakadilan yang
lebih mencabar. Ada banyak kes gadis-gadis yang terpenjara kerana menjadi keldai
dadah. Bila tertangkap, mereka terpenjara. Bukan salah mereka, tetapi itulah
ketidakadilan. Dan, kes tragedi MH 370
dan MH17 juga adalah kes ketidakadilan yang menimpa mangsa-mangsa, keluarga dan
kita sebagai rakyat Malaysia.
Di peringkat yang lebih besar, ramai sekali para
pemimpin dunia yang mengharungi ketidakadilan. Mahatma Ghandi, Nelson Mandela, Aung San Suu Ky, Saddam Hussein dan
Muammar Ghadaffi adalah di antara mereka yang menerima padah kerana
memperjuangkan keadilan masing-masing.
Ketidakadilan,
seperti juga keadilan itu ada di mana-mana. Ia muncul dan menyentuh jalan hidup
kita. Kita boleh gembira apabila menerima keadilan, tetapi tidak perlu sampai
meroyan seandainya keadilan tidak menyebelahi kita. Samada kita berjaya atau
malang apabila berdepan dengan soal keadilan, cukuplah Dia Yang Maha Mengetahui
dan Yang Maha Mengadili. Bagi-Nya, bukannya gembira atau duka kita yang
diambilkira, tetapi bagaimana kita menangani natijah keadilan itu sendiri
seandainya ia tidak berpihak di sebelah kita.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian esok, 27.8.2014.
No comments:
Post a Comment