Tuesday, August 5, 2014

BOIKOT SATU MANIFESTASI KEBENCIAN


Piccredit: chedet.cc

BOIKOT PERLU
ADA PRINSIPNYA


APABILA kesuntukan waktu, saya sekeluarga lebih suka makan di sebuah restoran berhampiran dengan rumah kami. Restoran itu adalah sebuah restoran biasa, tetapi ia menyediakan pelbagai hidangan antarabangsa. Selain daripada masakan Melayu, ia turut menghidangkan masakan Thai, Itali dan barat. Pendek kata ada tomyam, ada spaghetti dan juga steak. Terdapat juga gerai-gerai kecil daripada pengusaha lain di restoran itu yang turut menyediakan makanan Arab, Indonesia dan Jepun. Maknanya, ada hidangan nasi mandy kambing, ayam penyet dan takoyaki.
Hidangan daripada pelbagai negara sudah menjadi suatu kebiasaan di restoran-restoran sederhana.  Malah di medan-medan selera pun, kita boleh menjamu selera dengan pelbagai masakan antarabangsa. Ramai pula orang kita yang sudah pandai memasak pelbagai hidangan daripada merata dunia.

Begitu jugalah di restoran yang berhampiran dengan rumah saya itu. Restorannya biasa-biasa sahaja. Malah tiada pendingin hawa pun. Bagaimana pun harganya seperti di restoran eksklusif. Jika diukur daripada segi suasana, harga menunya memang tidak berpadanan. Masakannya dihidang di dalam pinggan plastik seperti standard di medan selera. Bukannya ada sekuntum bunga pun yang menghiasi pinggannya.

Ramai yang merungut mengenai harganya secara terbuka di laman sosial. Bukan orang Melayu sahaja, malah semua bangsa pun yang turut kompelin. Namun oleh kerana lokasi dan tempat parkirnya mudah, maka masih ramai termasuk saya yang masih mengunjunginya. Sehinggalah bila saya berdepan dengan sebuah insiden…
Malam itu saya sekeluarga singgah sekejap ke restoran itu sekitar jam 11.00 malam. Yang lain tidak mahu makan kerana masih kenyang. Hanya saya yang memesan mi goreng segera. Seperti biasa, apabila hendak membayar, saya sebutkan apa yang diminum dan dimakan. Tiba-tiba si penjaga kaunter tergelak kuat. Katanya, ‘Maggi sahaja ke? Hahaha…’

Apabila pelanggan yang duduk di meja berhampiran mula menjeling bila terdengar ketawa si penjaga kaunter, saya jadi bengang. Mujur lampu di restoran itu berwarna kuning. Andainya lampu kalimantang yang memutih, pasti wajah saya nampak merahnya. Dengan selamba saya membayar harga pesanan. Tetapi, di dalam hati, saya telah mengambil keputusan untuk memboikot restoran itu. Kini setelah lebih tiga bulan saya memboikot restoran itu, saya sudah tidak teruja untuk ke situ walaupun bila terpandang papan tandanya. Setakat ini, hati saya belum terbuka untuk ke restoran itu lagi. Tambahan pula, saya boleh sahaja makan di restoran lain yang berhampiran.

Memboikot adalah sebuah tindakan untuk tidak mengguna, membeli atau berurusan dengan individu, organisasi mahupun negara sebagai tanda protes. Di dalam kehidupan peribadi kita pun, boikot biasa terjadi. Contohnya, si anak tidak mahu menegur kita kerana kita tidak membelikannya mainan. Emak memuncung bibir dan membisu seribu bahasa kerana kita tidak menjamah masakannya apabila sudah makan di luar. Atau kekasih yang mematikan telefonnya semata-mata kerana kita terlupa mengucapkan selamat hari lahirnya.

Boikot di peringkat domestik mahupun di pejabat biasanya berbentuk peribadi. Kita boleh berhenti memboikot apabila pihak yang kita boikot itu berubah kerana sedar akan kesilapannya. Perhubungan yang renggang itu akan bertaut kembali. Itulah yang sebaik-baiknya.

Tidak perlulah melampau hingga bukan sahaja tidak bertegur sapa, malahan bermasam muka bila bertemu.  Boikot yang pada asalnya hanya untuk menunjukkan protes sudah melarat menjadi peraduan siapa yang lebih ego. Akhirnya kita juga yang susah apabila wajah kita yang relaks tiba-tiba diketatkan sebaik sahaja terpandang kelibatnya. Bila bertemu, sama-sama mencebir. Pura-pura membenci, padahal di sudut hati terlonjak-lonjak mengharap pihak yang satu lagi menghulurkan senyuman. Apa salahnya memulakan sapaan agar hati kedua-duanya cair dan seteru bertahun-tahun itu gugur seperti gugurnya dosa-dosa menjarakkan silaturrahim?

Boikot itu mesti tepat perpektif dan tujuannya. Ia bukan dengan harapan pihak yang diboikot itu binasa. Jika itulah harapannya, hati akan sakit dan terasa tewas apabila pihak yang diboikot itu tampak tidak terjejas, malah lebih hebat. Yang sepatutnya ialah boikot itu dilakukan kerana kebencian kita terhadap apa yang dibuat oleh pihak yang diboikot itu. Jika pun pihak yang diboikot itu dilihat tidak menerima kesannya, ia bukan tugas kita untuk memaksa ia terjadi.


Sepertimana boikot saya terhadap restoran dekat rumah saya itu… saya memboikot kerana tidak setuju dengan layanan mereka. Walaupun ia terus maju dengan amalan perniagaan yang saya tidak setuju, ia bukan lagi masalah saya. Saya tidak kecewa dan sakit hati kerana boikot itu adalah tindakan berlandaskan prinsip yang saya anuti. Siapa menang atau siapa yang kalah bukan persoalannya. Yang lebih utama ialah manifestasi boikot itu sendiri.

Artikel ini insya-ALLAH akan terbit esok, 6/8/2014.

No comments:

Post a Comment