Piccredit: jutawankampung.wordpress
APA YANG ADA DI KAMPUNG
Alhamdulilah, hari ini adalah hari raya ketiga kita
menyambut Syawal. Setelah berjam-jam berkenderaan, sampai juga kita ke kampung
halaman. Mudah-mudahan kita hilang rindu setelah menatap wajah orang tua dan
mereka yang kita kasihi setelah sekian lama kita tinggalkan.
Hari raya adalah period
kita memutar kembali skrip hari raya yang kita lalui bertahun-tahun yang lalu.
Kita suka jika dapat berkunjung ke surau yang sama, duduk di saf hadapan untuk
memimpin takbir raya, terkesan mendengar suara parau Ustaz Haji Moh yang akan
menangis setiap kali berkhutbah raya, serta bersalam-salaman selepas solat
dengan mereka yang tua dan teman-teman sepersekolahan.
Kita makan ketupat dan rendang yang mempunyai rasa
yang sama kerana ibu yang menyediakannya. Kunjungan ke rumah saudara mara juga
mengikut skrip yang sama, dimulai dengan rumah Mak Long, Tok Mat dan diakhiri
dengan rumah Ayah Lah kerana rumahnya terletak paling jauh di hujung kampung.
Kita sudah boleh agak, Mak Long akan hidangkan serundingnya
yang tiada tandingan sedapnya. Kuih sampan, putu kacang dan samperit Tok Wan
juga memang kita suka kerana kita tak jumpa kuih-kuih itu di bandar. Ada
lagikah pokok mempelam di belakang rumah Ayah Lah? Kalau ada, tentu orang tua
itu sudah sediakan di belakang pintu sebungkus buah-buahan itu untuk kita bawa
pulang.
Pada cuti raya kita berehat dan bersantai, malah
membiarkan diri kita dibawa arus kampung yang serba-serbinya perlahan. Orang
kampung tidak perlu terkejar-kejar kerana mereka sudah menerima budaya menunggu
sebagai gaya hidup. Kita juga yang rata-ratanya berasal daripada kampung sudah
terbiasa dengan kehidupan santai sebegitu. Penantian tidak pernah menjadi suatu
siksaan. Malah, bagi orang kampung, kecepatan itu bermakna kekelamkabutan.
Oleh kerana itu, apabila kita pulang ke kampung,
tinggalkanlah segala yang pantas, yang hebat dan yang gah. Kembalilah kepada
suasana dan ketika persekitaran kampung seperti yang pernah kita lalui dahulu.
Kenalah mempraktikkan peribahasa masuk kandang kambing mengembek kerana kita
insan kerdil yang berada di sebuah persekitaran yang besar.
Tidak perlulah membunyikan hjon kereta yang bergerak
10kmj di depan kita. Dia mungkin memandu pulang daripada pasar yang jaraknya
hanya 400 meter dari rumahnya. Dia tak perlu bawa kereta laju-laju. Tidak
moleklah jika tidak mengangkat tangan sebagai tanda hormat apabila berselisih
dengan pakcik yang berbasikal di lorong sempit. Bagi pakcik itu, bila
sekampung, kita patut mesra dengan semua orang walaupun kita tidak mengenalinya.
Tidak cantik apabila memanggil anak turun ke dapur untuk makan dengan
menggunakan WhatsApp. Kita guna cara melaung sahaja seperti ketika mak panggil
kita untuk mandi perigi sewaktu ita kecil dahulu.
Usah hendak berlagak seolah-olah kita sudah jadi orang
kota yang mahu cepat dan pantas dalam serba-serbinya. Usah jua berbuat bosan
dengan segala kekutrangan yang ada. Bukankah kita datang daripada kampung yang
serba sederhana? Jika kita bawa perangai tergopoh-gapah orang kota di kampung,
kita tidak berpijak di bumi nyata.
Kita yang membawa anak-anak yang biasa dengan
kehidupan kota seharusnya mendidik mereka dengan cara hidup kampung. Simpan
sahaja telefon bimbit mereka. Suruh mereka menyapu laman, mengintai perigi
untuk melihat bayang sendiri, meredah semak-samun untuk mencari pucuk paku
sambil mengajuk bunyi burung dengan menggunakan daun lalang.
Kampung masih mempunyai kedamaian dan misterinya
yang tersendiri. Ia begitu hampir dengan alam. Airnya ada di sungai, bukan dari
paip; lampunya pelita yang apinya meliuk lentuk, bukan elektrik yang terang
benderang. Angin dinginnya datang dari perbukitan, bukannya daripada hembusan
alat pendingin hawa. Tanahnya pula lembut walaupun tengik, bukannya simen atau
marmar yang keras.
Unsur alam iaitu air, api, angin dan tanah sebagai
empat unsur kejadian manusia masih terdapat secara asli dan meluas di kampung.
Apabila kita dan ahli keluarga bergelumang dengan unsur-unsur asli ini,
kesegaran jiwa akan meresap kembali. Ia makanan roh di dalam jasad kita.
Semoga kita pulang ke kota membawa bersama segala
keaslian dan kesegaran desa.
Insya-ALLAH, artikel ini sudah terbit di akhbar Sinar Harian pada 30.7.2014
No comments:
Post a Comment