Tuesday, July 22, 2014

APA ITU PRIHATIN?


Piccredit: aljazeera

BERASA APA YANG
ORANG LAIN ALAMI


9 Julai 2014 ~ Jet-jet pejuang Israel mula mengebom lebih 150 penempatan di Gaza. 40 bedilan roket Israel gugur ke bumi Palestin. Konflik ini berlaku berikutan dengan penculikan dan pembunuhan remaja Palestin Muhammad Abu Khdeir, 16. Rakyat Israel dikatakan menculik remaja ini sebagai tindakbalas terhadap pembunuhan tiga pelajar Israel sebelum itu. Setakat ini konflik telah mengakibatkan lebih 500 warga Palestin terbunuh.

 14 Julai 2014 ~ Video seorang gadis Melayu yang bertindak agresif terhadap seorang apek berikutan dengan sebuah kemalangan kecil, merebak seperti api di alam siber. Di atas sebabnya yang tersendiri, si gadis mengherdik dan menggunakan pengunci stereng untuk memukul kereta si lelaki Cina itu.  Si gadis akhirnya dibawa ke muka pengadilan dan didenda RM5,000 serta diperintah melakukan khidmat masyarakat selama 240 jam.

17 Julai 2014 ~ Kemalangan tragik penerbangan MAS, MH17 yang ditembak jatuh di wilayah Ukraine mengakibatkan kesemua penumpang dan kru yang berjumlah 298 orang maut. Kemalangan yang berlaku di wilayah konflik di antara kerajaan Ukraine dan golongan pemisah pro-Russia itu menimbulkan kerumitan kelancaran proses penyiasatan. Hanya selepas seminggu ia berlaku, baharulah ketua pemberontak pro-Russia, Alexander Borodai  menyatakan persetujuan dan terus membantu pihak Malaysia melicinkan proses penyiasatan.

Konflik yang melibatkan saudara seIslam di bumi Palestin, menjadikan kita marah, bersedih dan berdoa memohon keampunan buat saudara-saudara kita yang maut. Insiden pengunci stereng itu telah mempopularkan Siti Fairrah Ashykin Kamaruddin, 30, meskipun ia bukannya bentuk popular yang diingini. Begitu juga, nahas kapalterbang MAS yang mengakibatkan 44 rakyat Malaysia terkorban itu menyentap perasaan kerana trauma insiden MH370 belum lagi larut dari ingatan kita.

Meskipun ketiga-tiga perkara itu tidak terjadi di depan mata, namun ia tetap menimbulkan rasa cemas, geram, marah dan simpati. Walaupun kita tidak terlibat secara langsung, peristiwa-peristiwa yang berlaku itu amat menarik perhatian kita. Ia menjadikan kita mahu mengikuti perkembangan terkini melalui apa jua saluran media. Dalam pada kita begitu mengambil perhatian mengenai ketiga-tiga peristiwa itu, kita masih boleh tidur nyenyak apabila kita menutup komputer, televisyen mahupun akhbar setelah menghabiskan berjam-jam untuk mengikuti perkembangan mutakhir mengenai isu-isu itu.

Esok pagi kita menghadap lagi komputer, televisyen dan akhbar untuk meneliti apa yang kita tertinggal. Kita akan bercakap, berbincang, mengkritik, malah mengutuk apa-apa perkara yang kita tidak setuju. Namun, apabila perhatian kita teralih daripada berita-berita itu, kita boleh menjalankan kehidupan seharian seperti biasa ~ menyiapkan tugasan, berkunjung ke bazar Ramadan, berbuka, bersolat, bertarawih, bertadarus, bersahur dan sempat lagi melangut ke langit untuk melihat bulan yang semakin mengecil sambil teringatkan lagu Selamat Hari Raya.

Perkara malang dan gembira yang berlaku di sekeliling kita, mahupun yang terjadi jauh di hujung dunia itu bisa mencetus pelbagai rasa. Namun, tidak boleh tidak kita akan mudah melupakan kerana ia berlaku kepada orang lain, bukannya pada diri sendiri. Selalunya, begitulah.

Yang putus jari kerana main mercun itu anak orang lain. Yang hilang ibu dan bapa akibat kemalangan itu ibu dan bapa orang lain. Yang kecoh mencari anak yang lari ikut kekasih itu adalah anak orang lain. Yang kena saman kerana memandu di lorong kecemasan itu orang lain. Yang masuk hospital akibat demam denggi itu kakak orang lain. Malah, hampir kesemua perkara malang yang terjadi itu mengenai orang lain, bukannya diri kita. Bersyukurlah.

Bersyukurlah kerana segala musibah itu terkena pada orang lain. Sebaliknya, apabila ia terjadi pada diri sendiri atau ke atas keluarga sendiri, kita kecoh dan ribut walaupun ia hanya kes anak lewat balik ke rumah kerana ditinggalkan bas! Begitulah kita. Walaupun boleh berbincang secara biasa-biasa sahaja mengenai apa yang terjadi pada orang lain, kita cepat lemah dan lelah apabila berdepan dengan musibah sendiri yang kecil-kecil.

Sesungguhnya untuk mengambil iktibar terhadap malang yang dialami oleh orang lain itu tidaklah semudah bercakap sahaja. Sebaliknya, untuk menghayati agar kita benar-benar berasa seperti apa yang orang lain rasa, kita perlu terlibat secara langsung. Tolong cari anak jiran yang hilang, ziarah kawan yang terlantar di hospital, usung jenazah jiran yang kematian, menderma untuk membantu atau kunjungi gelandangan dan hulurkan makanan kepada mereka. Nescaya cara itu akan menimbulkan rasa prihatin yang bukan sedikit.

Bukan setakat mencurah perasaan secara simulasi di papan kekunci. Meskipun ia dilakukan berjam-jam dan bermalam-malam, maaf cakap… cara itu palsu!

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 23.7.2014, insya-ALLAH...

No comments:

Post a Comment