Piccredit: socialchangeconsulting.com
BILA LAGI MAHU
BERHENTI?
BERHENTI?
APABILA ALLAH s.w.t mencipta masa, maka bermulalah detik
waktu. Cakerawala yang terbentuk dari The
Big Bang mula bergerak tanpa henti hingga ke saat ini. Bumi berputar di
paksinya; menukar siang menjadi malam. Ia mengelilingi matahari dan terjadilah
peralihan bulan, tahun dan kurun. Manusia pula memberi sukatan untuk masa dan
terbentuklah jam yang membahagikan masa kepada 24 jam untuk sehari, 60 minit untuk
sejam dan 60 saat pula untuk seminit.
Daripada saat terbentuknya alam semesta, waktu tidak
pernah berhenti. Segala-galanya akan bergerak dan berputar hingga ke hari
kiamat. Betapa kuatnya kuasa pergerakan yang dipacu oleh masa ini menjadikan
kita sebagai manusia tidak boleh duduk diam. Ia begitu mempengaruhi hinggakan akan
berasa mati apabila kita tidak bergerak. Daripada segi manusia dan tabiatnya, jika
kita sudah memulakan sesuatu, amat sukar bagi kita untuk berhenti.
Bergerak dikonotasikan dengan kebaikan. Berhenti
pula dikaitkan dengan keburukan. Berhenti berbohong, berhenti menipu, berhenti
meminum arak, berhenti merokok, malah berhenti di lampu merah kesemuanya membawa
erti, jika tidak berhenti dalam melakukan sesuatu itu, masalah atau musibah
akan datang menimpa.
Jika bergerak itu mempunyai maksud sebagai sesuatu
yang baik, berhenti pula adalah suatu tindakan pencegahan yang amat berkesan.
Namun, oleh kerana kelemahan manusia yang sentiasa memaafkan diri, perbuatan
berhenti itu tidak suka diamalkan melainkan kerana terpaksa. Sebaliknya,
manusia lebih gemar bertindak untuk menghindar, mengelak atau menjauhi.
Tindakan-tindakan itu sendiri tumpul kesannya kerana ia berupa keputusan yang
boleh sahaja berbolak-balik.
Seseorang itu boleh menghindari dadah, menjauhi zina
atau mengelak daripada merokok. Namun, menghindar, menjauh atau mengelak itu
adalah tindakan yang mempunyai pergerakan. Dan pergerakan itu sendiri boleh
berpaling arah untuk seseorang itu kembali kepada apa yang telah ditinggalkan.
Sebenarnya saya terilham mengenai pendekatan ‘berhenti’
baru-baru ini apabila saya berpeluang mengikuti ceramah Nouman Ali Khan,
seorang pendakwah antarabangsa. Ucapannya dalam bahasa Inggeris itu begitu
bertenaga seperti penceramah antarabangsa yang lain. Jika dibandingkan dengan
penceramah Mufti Ismail Menk dan Dr. Zakir Naik, kuliah Nouman Ali Khan pula
agak berat sedikit, tetapi jelas dan berkesan. Oleh kerana mula meminati dengan
kuliahnya, saya menelusuri You Tube
untuk mengikuti ceramah-ceramahnya yang lain.
Apa yang menarik perhatian saya ialah, pendekatan
Nouman apabila mengupas mengenai soal kemungkaran. Lazimnya dalam kuliah-kuliah
yang saya ikuti, para penceramah lazimnya akan menggunakan istilah ‘abstain,’ ‘refrain’ atau ‘avoid’ iaitu ‘meninggalkan,’ ‘melarang’
atau ‘menjauhi’ kemungkaran. Sebaliknya, Nouman gemar menggunakan perkataan ‘stop’
atau ‘berhenti.’
Ya, berhentilah daripada melakukan kemungkaran,
berhentilah daripada meneruskan kemaksiatan dan berhentilah daripada membuat
kejahatan. Demikian ucapnya berulangkali. Istilah ‘berhenti’ yang beliau
gunakan itu lebih bermakna daripada perkataan ‘meninggalkan,’ ‘menjauhi’ atau ‘melarang.’
Saya teringat suatu kisah benar, bagaimana seorang
kenalan berhenti mengambil dadah dengan cara menghentikan tabiatnya serta-merta.
Dia tidak mengurangkan pengambilannya secara sedikit demi sedikit, mengikuti
program pemulihan atau melakukan aktiviti lain untuk menghentikan tabiat itu. Pendekata,
beliau tidak berjumpa sesiapa atau membaca apa-apa bahan yang membantunya
berhenti mengambil dadah. Beliau hanya berhenti dari melakukan kemungkaran itu.
Itu sahaja.
Tampak macam mudah sahaja beliau berhenti daripada
tabiat itu. Tetapi, beliau melakukannya tanpa proses yang lambat dan penuh bergaya.
Sebaliknya, beliau hanya berhenti mengambil dadah dan tidak menoleh ke belakang
lagi.
Betapa banyak tabiat buruk yang masih kita lakukan?
Tabiat suka tidur lambat, suka bangun lewat. Apakah kita suka mengambil makanan
secara berlebih-lebihan tetapi tidak pernah dapat dihabiskan? Atau suka sangat naik
angin hingga diri sendiri sesak nafas? Jika kesemuanya tidak dapat diperbaiki,
dikurangkan atau dielakkan, apa kata kita berhenti sahaja daripada melakukan
kesemua itu?
Bulan Ramadan bukan sahaja bulan ibadah. Ia adalah
bulan berkat, berganda pahala dan penuh pengampunan. Untuk apa minta ampun semata-mata?
Bukankah lebih elok jika kita berhenti sahaja daripada melakukan apa sahaja
yang buruk? Buka sahaja buku baharu.
Stop it! Just stop it! Full
stop!
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 2.7.2014
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 2.7.2014
No comments:
Post a Comment