Tuesday, June 24, 2014

HIDUP INI PANJANG



Piccredit:treknature.com

JANGKA PENDEK
JANGKA PANJANG

BILA hendak menanam pokok bunga, benihnya perlukan tanah, air dan matahari. Setelah ditanam, kita akan nampak akar-akar kecil yang tumbuh dari benih,  menghala ke tanah. Akan ada batang kecil berwarna hijau yang menaik ke atas. Pokok kecil itu akan mula bertunas dan berdaun. Berminggu kemudian, akan kembang pula kelopak bunga cantik yang mekar.

Bayi yang lahir ke dunia juga perlukan minuman dan kehangatan untuk perkembangannya. Bayi yang membesar itu akhirnya akan belajar meniarap, merangkak, bertatih, berjalan dan berlari.  Berhari, berminggu dan berbulan, akhirnya bayi itu menjadi anak kecil, kemudiannya kanak-kanak dan akhirnya orang dewasa.

Pertumbuhan pokok bunga mahupun perkembangan seorang bayi itu suatu evolusi transformasi. Namun, meskipun mengambil masa, pokok bunga dan bayi akan hidup membesar dengan perlahan. Bertahun bagi pokok, bertahun juga buat bayi hingga menjadi dewasa.

Arnab yang kecil dan pantas berlari itu punyai purata usia sepuluh tahun. Sebaliknya kura-kura yang lebih besar dan berjalan perlahan itu boleh mencapai usia di antara 100-150 tahun. Justeru itu, mengikut kebiasaannya, pantas dan kecil itu pendek usianya. Perlahan dan besar itu panjang umurnya. Sunatullah sememangnya begitu. Semakin perlahan sesuatu itu membesar, semakin panjang pula usianya.

Apa yang perlahan itu amat menguji kesabaran. Malah, dikatakan siksaan bila ia melibatkan suatu penantian. Namun, yang perlahan itulah yang biasanya bertahan lama. Evolusi, meskipun perlahan, ia lebih bertahan daripada revolusi.

Siang beralih menjadi malam dan siang kembali; air surut yang pasang dan surut semula serta anak bulan yang menjelma menjadi bulan penuh dan akhirnya mengecil menjadi bulan sabit adalah fenomena alam yang perlahan tetapi konsisten sejak zaman berzaman. Ia berbeza berbanding dengan ribut dan taufan, banjir serta kemarau yang datang dan pergi mengikut peralihan cuaca.

Hidup kita pada hari ini dipenuhi dengan segala kepantasan dan kecepatan. Oleh kerana segala-galanya deras, ia mudah menarik perhatian. Malah, kelajuan sudah diertikan dengan kebagusan. Kereta yang laju pecutannya dari 0-100kmj dalam tempoh sekian-sekian saat, komputer yang laju kerana perisiannya besar, telefon pintar yang berprestasi laju, waktu berkualiti (yang membawa maksud cepat tetapi berisi) dan juga makanan segera menjadikan kita gemar pada kepantasan.

Siapa cepat dia dapat. Siapa yang sampai dahulu, dia menang. Biar cepat asal selamat. Begitulah frasa-frasa yang mempunyai konotasi bahawa kecepatan itu adalah kejayaan. Sebaliknya, perlahan itu lambat dan justeru itu membawa erti kekalahan. Apabila melihat hampir kesemua perkara di sekeliling kita pada hari ini bergerak laju, kita percaya dengan tanggapan yang tidak tepat untuk kesemua perkara dan perlakuan.

Jika cepat itu berjaya dan perlahan itu gagal, sesungguhnya ia adalah sebuah realiti yang betul jika dipadankan dengan tempoh masa yang singkat. Sebagai contoh, dalam larian 100 meter, siapa yang cepat itu akan menang. Sebaliknya, dalam larian 10,000 meter, siapa yang cepat itu boleh kalah. Sebaliknya, siapa yang lari dengan konsisten itulah yang besar kemungkinan akan menang.  

Andai dilihat dari sudut jangka pendek dan jangka panjang, lazimnya apa yang berjaya dicapai dalam jangka masa yang pendek itu selalunya tidak dapat bertahan. Bagaimana pun, apa yang dirangkul dalam jangka masa yang panjang itulah yang lebih berkemungkinan untuk lestari.

Realiti kehidupan kita sendiri ialah mengenai tempoh masa yang bagaimana? Yang pendek atau yang panjang? Sudah tentu yang panjang. Kerana itu, kita harus memilih apa yang perlahan tetapi berjaya, bukannya yang cepat tetapi tidak dapat bertahan, kerana ia berpadanan dengan realiti perjalanan hidup yang kita lalui ini.


Justeru itu, mana satukah yang lebih bermakna? Apakah bermesej ringkas dengan ibu di laman sosial atau berjalan jauh untuk bertemunya di kampung?  Pergi makan di kedai bersama keluarga yang belum tentu sedap atau tidaknya atau memasak sendiri dan makan di rumah? Solat sendirian yang cepat selesainya atau solat berjemaah yang lambat tetapi berlipatganda darjatnya?

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian esok, 25.6.2014

No comments:

Post a Comment