Piccredit: listofimages.com
APABILA TERLUPA
APA YANG KITA LAKUKAN
APA YANG KITA LAKUKAN
HIDUP ini adalah sebuah perjalanan yang
panjang. Secara fizikalnya, walau ke mana pun kita bergerak, kita akan berada
di muka bumi ini juga. Namun secara mental dan spiritualnya, kita boleh
berjalan merentasi waktu ke zaman silam dan zaman akan datang, melepasi jarak dari
bumi ke langit ketujuh mahupun menyelinap ke segenap dimensi nyata mahupun yang
ghaib.
Kita boleh memilih samada untuk bergerak secara
merangkak, berjalan mahupun berlari. Terbanglah andainya mampu. Lazimnya, kadar
kelajuan menjamin samada cepat atau lewatnya kita sampai ke destinasi. Bagaimana
pun dalam konteks perjalanan dalam kehidupan, kepantasan tidak menjamin
kecepatan tibanya kita.
Mengapa? Ia adalah kerana perjalanan hidup ini
hanya ditentukan kepada sekuat dan seserius manakah kita fokus untuk tiba ke
matlamat. Ringkasnya, jika kita pernah dengar cerita arnab dan kura-kura, maka
begitulah realiti bahawa laju itu tidak semestinya cepat, perlahan itu tidak
semestinya lewat.
Fokus itu bukan menjamin
kita tiba cepat sampai ke tujuan, tetapi menjamin kita tiba ke destinasi dengan
kadar pergerakan yang konsisten. Fokus kepada arah tujuan itu mengelak kita
bertangguh walaupun keputusan untuk menuju ke matlamat sudah termateri di dalam
hati. Saya teringat sebuah cerita yang disampaikan oleh Shaykh Muhammad Alshareef, salah seorang pengasas
Al-Maghrib Institute mengenai peri pentingnya kita tahu arah tujuan.
Cerita ringkasnya,
begini... Pada suatu hari saya hendak memandu ke utara. Dalam perjalanan, saya
bercadang untuk singgah ke rumah seorang kenalan. Dia hanya kenalan secara
maya. Tidak pernah bertemu muka. Setibanya saya di kawasan perumahannya, hari
sudah malam. Saya memandu perlahan, berputar-putar memasuki lorong-lorong
sambil tercari-cari rumahnya dalam kegelapan malam.
Tiba-tiba saya ternampak
seseorang sedang menggamit saya dengan lampu suluhnya. Saya mengagak itulah
kenalan saya. Benar, ke rumahnya yang saya tuju. Dialah yang saya cari. Sebaik sahaja
bersalaman, saya bertanya beliau bagaimana dia tahu orang yang sedang memandu
kereta itu adalah saya?
Jawabnya, ‘Saya hanya
mengagak awaklah rakan yang hendak ke rumah saya kerana cara awak memandu amat
perlahan seperti orang yang sedang tercari-cari. Hanya orang yang belum pasti
ke manakah tujuannya yang akan bergerak perlahan.’ Kata-kata kenalan saya itu memberi
saya pengajaran bahawa jika tahu ke manakah arah yang kita tuju, baharulah kita
boleh bergerak dengan pantas.
Benar. Kita boleh bergerak pantas
setelah kita tahu ke manakah arah tujuan. Sebaliknya, jika kita bergerak laju
juga tanpa tahu ke manakah kita hendak pergi, ia umpama seseorang punyai
masalah peribadi berat yang memandu kereta ke mana sahaja mengikut perintah
hati. Akhirnya kita tidak tiba ke mana-mana. Rugilah jika dengan sebab tindakan
itu kita sesat jalan. Lebih malang jika ditimpa kecelakaan kerana cuma menggunakan
hati tanpa menseiringkan dengan pertimbangan akal.
Perjalanan menuju matlamat
dalam kehidupan ini boleh kita kaji melalui mereka di sekeliling kita,
terutamanya rakan-rakan sekolah. Di kalangan mereka yang kelihatan cerdik dan
cergas, kita ada rakan-rakan yang sederhana. Mereka tidak kelihatan menonjol. Malah,
tidak menampakkan potensi untuk menjadi orang yang hebat dalam kehidupan.
Namun setelah berbelas
tahun berlalu, ada di kalangan mereka ini yang jauh berjaya daripada kita
sendiri. Jika direnung dan diteliti, kita akan dapati mereka ini tahu apa yang dimahukan
dalam hidup. Kerana itu mereka konsisten bergerak ke arah yang diingini.
Akhirnya mereka berjaya mengalahkan golongan yang cergas, cerdik dan pantas di
zaman sekolah dahulu.
Bagaimana pun, tidak
semestinya juga kita boleh lancar menuju ke destinasi walaupun tahu ke manakah
arah tujuan jika tidak bertindak untuk sampai ke matlamat. Sebahagian besar
daripada kita, walaupun tahu ke manakah arah tujuan tetapi tidak juga ke
mana-mana kerana tidak bertindak di atas keputusan yang telah dibuat.
Bertangguh. Ia bukan semata-mata
situasi di mana seseorang itu menangguhkan keputusannya untuk bertindak. Sebaliknya
ia adalah situasi di mana seseorang yang telah mengambil keputusan untuk
bertindak, tetapi tidak terus mempraktikkan keputusannya.
Tanpa disedari, inilah
yang menjadi tabiat sebahagian besar daripada kita. Selain daripada gagal untuk
bertindak ke atas apa yang telah diputuskan, lebih ramai di antara kita yang
sudah terlupa dengan matlamat. Kita terlupa mengenai matlamat kita belajar, bekerja,
berumahtangga, malah terlupa akan matlamat hidup. Jika kita terlupa akan segala
matlamat dalam kehidupan, barangkali
kita turut terlupa akan matlamat kematian ~ destinasi akhir perjalanan itu
sendiri. Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 11.6.2014.
No comments:
Post a Comment