Piccredit: eofdreams.com
MUDAH BUKAN
UNTUK DIPERMUDAH
APABILA Menteri di JPM, Datuk Jamil Khir Baharum
mengumumkan penemuan JAKIM bahawa tiada DNA babi ditemui di dalam coklat
Cadbury, ada pihak yang bertanya pula bagaimana dengan penemuan DNA seperti
yang diumumkan oleh Kementerian Kesihatan sebelum ini? Hendak percaya kepada
JAKIM atau Kementerian Kesihatan?
Kita boleh makan coklat Cadbury kembali jika menerima
keputusan JAKIM. Sebaliknya boleh terus tidak memakannya bila berpegang kepada keputusan
Kementerian Kesihatan. Ia adalah keputusan peribadi. Tiada sesiapa boleh menghalang.
Tiada sesiapa juga boleh memaksa kita menerima mana-mana keputusan. Jikalau
kita mahu tunggu dan lihat, itu pun terpulang pada diri masing-masing. Betapa
pun, jika kita berada di luar negara, baharulah kita sedar dan bersyukur akan betapa
prihatinnya pihak pemerintah hingga menjaga halal atau haram apa yang kita
makan.
Saya
teringat tatkala saya menghadiri Frankfurt Book Fair beberapa tahun yang lalu. Saya
menginap di sebuah hotel yang kecil di pinggir bandaraya itu. Saya bingkas dari tidur pada keesokan hari setelah
tercium bau harum roti yang baru dimasak. Bila saya mengintai ke jendela, baru
saya sedar bilik saya betul-betul berada bertentangan dengan dapur hotel.
Perut saya
tiba-tiba lapar dan saya turun ke kafe. Niat hati hendak mencapai pelbagai
jenis roti yang ada. Namun, saya tersentap seketika bila pelbagai bentuk roti
yang tampak segar itu diletak bersebelahan dengan sosej dan ham! Tekak saya
terasa kembang dan saya hanya minum air mineral pada pagi itu. Mujur terdapat sebuah
kedai Pakistan yang menjual nasi berhampiran dengan hotel. Di situlah tempat saya
makan dan minum di sepanjang waktu berada di bandaraya itu.
Dua tahun
lalu, saya menghadiri pula sebuah persidangan penerbitan di Bali, Indonesia. Hotelnya
menyediakan pelbagai jenis makanan yang enak-enak mengikut selera timur. Namun,
bila menyedari ianya tidak semestinya dimasak oleh orang muslim, saya menjadi
lebih berhati-hati. Saya tidak menjamah daging dan ayam. Cukup sekadar makan ikan
dan sayur.
Kerana
ingin berhati-hati bersarapan di hotel, saya hanya memilih roti yang dimakan
bersama telur dadar. Hanya setelah mengunyah, baharu saya perasan yang tukang
masaknya membuat telur dadar yang dihiris bersama sosej dan ham untuk pelanggan
lain yang bukan Islam. Dalam pada berhati-hati pun, saya terlalai menjaga apa
yang saya jamah.
Kepekaan
saya untuk mencari makanan yang halal di negara orang pun adalah pilihan
sendiri. Ia berdasarkan kesedaran akan betapa pentingnya makanan halal yang
akan mendarahdaging di dalam tubuh saya. Sedangkan di waktu kecil dahulu, saya kecur
makan roti seri kaya yang dibuat oleh orang Cina sehingga menjilat kaya yang
meleleh di lengan. Saya biasa makan sotong bakar berkuah lada yang dibungkus
dengan surat khabar Cina, yang dibuat oleh penjaja Cina. Tidak terfikir mengenai
halal dan haram sekompleks fikiran saya pada hari ini.
Pada hari
ini, kita patut memilih produk yang bertanda halal. Jika makan di restoran pun,
memang elok kita memilih restoran yang sudah memperoleh sijil halal. Dalam pada
itu, kita makan juga di restoran yang kita yakin halal, walaupun yang tiada
mempunyai sijil halal jika kita benar-benar yakin dengannya.
Saya biasa lihat
ramai orang Islam makan char kuey teow yang dimasak oleh penjual Cina kerana
benar-benar yakin dengan halalnya makanan itu. Atau makan di restoran Cina di
mana seluruh pekerjanya termasuk tukang masaknya terdiri daripada orang Islam. Tentu
sekali kita makan di restoran Melayu kerana yakin dengan masakannya meskipun ia
tiada sijil halal.
Kerana itu,
kita tidak mempersoal, apakah ayam, kicap, sos atau mi yang digunakannya
daripada sumber yang halal atau sebaliknya. Jika kita begitu menyelidik tentu
sekali kita tidak boleh makan di kebanyakan restoran Melayu kerana banyak yang tiada
logo halal. Tetapi, jika kita terlalu cerewet, makan di restoran yang punyai
sijil halal itu pun belum tentu bersih kerana ada di antara gelas yang
dihidangkan kepada kita mungkin pernah digunakan oleh pelanggan sebelum kita dari
kalangan yang memakan khinzir.
Islam tidak
menggalakkan kita terlalu menyelidik sesuatu perkara sehingga menimbulkan
kesusahan. Andainya sampai begitu kita
hendak berkira, nescaya sebilangan besar di antara orang lelaki akan was-was
dengan solat masing-masing. Ini adalah kerana, ramai di antara kita yang
menyimpan dompet di poket. Dompet itu mengandungi wang. Wang itu boleh sahaja
datang dari urusan mendapatkan rumah, kereta, buku, dadah, judi dan rasuah. Mungkin
juga kita menyimpan sekeping RM1 yang mempunyai DNA babi. Bagaimana, ya?
Islam itu mudah dan memudahkan. Tetapi jangan
sekali-kali dipermudahkan. Kita tidak boleh belasah apa sahaja atas alasan tawakal
tanpa memeriksa. Sebaliknya, jika terlalu berhati-hati, janganlah pula sampai
mengharamkan apa yang halal. Wallahu a’lam.
Sabda Rasulullah s.a.w: "Berikan kemudahan (kepada orang) dan
jangan menyusahkan mereka. Berikanlah khabar gembira dan janganlah kamu menjadi
mereka menjauhkan diri (daripada Islam)." ~ Hadis Riwayat Bukhari.
Insya-ALLAH, artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian, esok 4.6.2014.
No comments:
Post a Comment