Piccredit: transformation.ker.uz
PILIHAN UNTUK
PENGAMAL MEDIA
PILIHAN UNTUK
PENGAMAL MEDIA
MINGGU lepas saya berkesempatan meraikan kunjungan
Sheikh Muhammad Alshareef, Presiden AlMaghrib Institute ke Kumpulan Media
Karangkraf. Institut AlMaghrib ini mempunyai lebih 40 pusat ilmu di merata
dunia. Dalam perbualan saya dengan salah seorang delegasinya yang berasal dari
United Kingdom, saya bertanya beliau apakah orang barat benar-benar islamophobic? Beliau tersenyum lebar sebelum menggeleng
beberapa kali.
Katanya, islamophobia
hanyalah mainan media barat. Sebenarnya, masyarakat di sana tidak takut dengan
orang Islam. Mereka bukan sahaja menghormati malah senang dengan kaum muslimin
dan muslimat. Masyarakat Islam di sana bergerak bebas. Wanita Islamnya boleh
sahaja berpurdah tanpa dipandang serong oleh masyarakat. Hebat sungguh mainan
media selama ini untuk memesongkan pandangan masyarakat.
Saya teringat betapa risaunya saya tatkala bersedia
untuk melanjutkan pelajaran di Kuala Lumpur. Saya risau bila membaca pelbagai
berita dan rencana di akhbar mengenai orang Kuala Lumpur yang bersikap kau-kau
dan aku-aku, jiran sebelah pun saling tidak mengenali dan hidup masing-masing umpama
enau di dalam belukar.
Namun, apabila saya tinggal di rumah bujang di Bandar
Tun Razak, Kuala Lumpur, kami mempunyai
jiran-jiran yang amat baik hati. Apabila hujan turun tatkala kami keluar
bekerja, makcik di sebelah kiri rumah kami bukan sahaja mengalih ampaian baju,
malah dia mengangkat serta melipat baju kami, budak-budak bujang.
Gadis-gadis jiran di sebelah kanan rumah kami juga bukannya
jenis gadis-gadis pekerja yang nakal dan liar. Mereka bertudung dan bila
berjalan sentiasa menundukkan pandangan. Kalau menegur pun hanyalah sekadar
berbasa-basi. Kalau ada pun hanyalah setakat membantu mereka mengangkat tong
gas memasak.
Kerana semangat kejiranan, kami selalu mendapat
ole-ole buah-buahan tempatan bila salah seorang daripada mereka pulang ke
kampung. Apabila saya berpindah ke Subang Jaya tidak lama kemudian, saya
mempunyai jiran-jiran yang peramah. Betapa media telah mewujudkan kebimbangan yang
tidak berasas mengenai kesombongan orang kota di fikiran saya ini.
Melalui saluran televisyen, kita masih disajikan
dengan cerita-cerita isteri menengking suami, pembantu rumah yang menipu
majikan dan watak berpangkat datuk yang jahat. Di dunia realiti, walaupun ada,
saya tahu lebih ramai isteri yang menghormati suami, ramai sekali bibi yang
menjaga anak majikan seperti anak sendiri dan tidak kurang mereka yang berpangkat datuk yang
mengimarahkan masjid.
Begitu juga apabila ke surau-surau, khususnya di
kompleks membeli-belah, saya bertemu dengan golongan remaja yang sama ramai
bersolat dengan mereka yang telah berusia seperti saya. Yang ke masjid lebih
ramai daripada mereka yang ke disko, remaja yang beriadah di taman rekreasi
lebih ramai daripada mereka yang berempit dengan motorsikal. Gambaran yang
dipaparkan media mengenai remaja kota juga ada yang tidak tepatnya.
Secara relatifnya, manusia yang baik itu jauh lebih
ramai daripada mereka yang jahat. Jika kita berjalan di mana-mana tempat awam
dan bila kita perhatikan di sekeliling, kita tahu hampir kesemua mereka itu
bukannya penjenayah. Kita masih boleh berjalan sendirian dengan selamat. Bila
dalam kesusahan, masih ramai yang akan datang memberi pertolongan ikhlas.
Namun, apabila keburukan, kejijikan dan kebobrokan
pula saban hari dipaparkan, kita yang sentiasa disajikan dengan segala yang
negatif akan menjadi mangli dengan keadaan itu. Sehinggakan ia menjadi santapan
minda harian yang menjadi kesukaan pula untuk kita.
Benarkah manusia suka pada yang danur? Apakah itu yang
dimahukan mereka? Maaf cakap… kucing yang sentiasa diberi tulang ikan itu bukannya
hanya sukakan tulang. Cubalah beri ia isi ikan dan tulangnya tidak akan ia pandang lagi.
Begitu juga, manusia yang menatap yang tidak baik
sebagai santapan mindanya bukan kerana mereka sukakan segala yang hedonis.
Cubalah sajikan yang baik-baik, yang indah-indah dan yang penuh dengan pahala.
Mereka akan gemarkan itu. Peningkatan majalah Islamik, rancangan televisyen
yang Islamik dan pelbagai persidangan dan konvensyen yang Islamik kini sudah
menjadi kesukaan.
Malah golongan protaz
atau ustaz yang profesional dan uspro
iaitu ustaz yang muncul dari kalangan golongan profesional sudah seramai dan
sepopular golongan artis. Fitrah manusia memang mahukan kebaikan kerana roh itu
datang dari daerah yang suci. Jika santapan untuk roh itu sentiasa dihidangkan,
tubuh dan akal manusia itu akhirnya akan berpaling dari kelazatan palsu dunia
dan kembali ke fitrahnya yang mendamba kebaikan.
Ajaklah, hidanglah dan penuhkan segala persembahan
dengan segala kebaikan. Ia akan mendapat sambutan dan diterima dengan penuh
kesukaan. Pengamal media yang mensajikan itu juga akan berasa bahagia dengan
apa yang dilakukan kerana sajian itu juga yang akan dihidangkan ke hadapan
ALLAH Al-Hasib.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 21.5.2014...
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 21.5.2014...
No comments:
Post a Comment