Tuesday, May 6, 2014

JAGALAH SANTAPAN MINDA KITA


Piccredit: rodalenews.com

MINDA KITA
YANG SEMAKIN PENAT


DALAM suatu perbualan selepas majlis kenduri di rumah jiran, seorang sahabat berkata kepada saya, ‘Aku nak beri kau dua kuiz. Kau dengar baik-baik, ya? Kuiz yang pertama ialah, di Malaysia ini, ada seorang manusia yang telah buat pelbagai kejahatan, tetapi masyarakat masih percaya dia seorang manusia yang baik. Siapakah orang itu?’

Soalan sahabat saya itu pelik bunyinya. Tetapi dia tampak serius dengan kuiznya. Beberapa buah nama bersimpang-siur di memori saya. Akhirnya, sebuah nama terpapar di layar minda. Namun apabila saya ingin menyebut nama itu, dia lantas tidak mengizinkan. Sebaliknya dia terus mengemukakan soalan kuiz yang kedua.

Katanya, ‘Di Malaysia ini ada seorang manusia yang telah lakukan pelbagai perbuatan yang baik, tetapi masyarakat masih melihat dia seorang manusia yang jahat. Siapakah orang itu?’ Sekali lagi memori saya berputar dan memaparkan beberapa buah nama. Setelah termenung sejenak, sebuah nama timbul di fikiran saya. Sekali lagi sebaik sahaja saya ingin membuka mulut, dia melarangnya.

Kata sahabat saya, ‘Yang penting bukan jawapan-jawapan kau. Dan aku pun memang tak mahu beri kau apa-apa jawapan pada kedua-dua kuiz aku, tu. Apa yang aku nak sampaikan  ialah bagaimana sukarnya otak kita mengubah persepsi yang telah terbina bila ia menjadi kepercayaan. Walaupun yang putih telah menjadi hitam ataupun yang hitam telah menjadi putih, bila kita sudah percaya, otak kita tidak mahu mengubah tanggapan itu walaupun keadaan telah berubah.’

Benar kata-kata sahabat saya itu. Pandangan kita terhadap seseorang atau sesuatu perkara itu banyak bergantung kepada maklumat yang kita peroleh. Tetapi, pandangan kita terhadap sesuatu itu bergantung kepada maklumat yang paling awal kita terima. Apabila maklumat itu telah diterima oleh minda, ia amat sukar berubah. Inilah yang dinamakan persepsi.

Manusia dikurniakan akal. Akal boleh berfikir untuk memilih yang mana satu yang baik dan yang mana satu yang buruk. Tetapi akal juga sering tertipu atau ditipu. Jika maklumat yang salah itu disalut dengan fakta dan hujah palsu oleh mereka yang bertujuan untuk menipu, minda kita akan percaya kepada yang salah.

Pada hari ini fikiran kita telah dimanipulasi dengan pelbagai fakta yang salah kerana yang salah itu sentiasa berjaya mendahului untuk mendapat tempat di kotak fikiran. Sebaliknya, yang benar selalu kalah kerana lambat merebut tempat di fikiran manusia.  Yang salah benar-benar rajin untuk mengkehadapankan yang salah. Yang benar pula selalu kalah kerana percaya kepada hukum sunatullah bahawa yang benar itu akan menang dan yang batil itu akan kalah akhirnya.

Tepat sekali, kebenaran akan menang. Tetapi kebenaran itu tidak semestinya tertegak ketika kita masih bernyawa. Malanglah sekiranya kita tidak dapat menyaksi kebenaran itu mengatasi kepalsuan. Lebih mendukacitakan apabila kita mati dengan membawa kepercayaan bahawa yang salah itulah yang benar. Maaf cakap… jawapan apakah yang akan dipersembahkan di hadapan Yang Khalik esok?

Minda kita sudah terlalu penat. Penat akibat kita rajin sangat melayani yang melalaikan. Dunia teknologi menjadikan fikiran kita sentiasa melayang dan melarat dari niat asal. Dalam seminit, niat kita boleh berubah bukan sekali, malah berkali-kali. Sedarkah kita berapa kali jejari kita menukar saluran televisyen walaupun ketika hendak menonton siaran berita? Perasan tak kita, niat asal untuk bertanya khabar kepada abang di kampung akhirnya melarat begitu jauh ke Afrika kerana seorang kawan Facebook telah mengirim video mengenai kehidupan ulat di Gurun Sahara? Berapa kalikah fikiran kita melarat ke mana-mana dalam sehari?

Perkara-perkara yang memenatkan fikiran kita inilah yang menumpulkan tujuan asal fikiran iaitu membezakan di antara yang baik dan yang buruk. Meskipun kita semua sudah mumayiz, kita seringkali gagal mengawal apa yang saban hari menjadi santapan minda kita. Jika sampahlah yang menjadi makanan minda kita, bagaimana fikiran kita boleh mempunyai zat pemikiran yang baik?

Dalam apa jua yang kita fikir dan lakukan, kita mesti mencari kebenaran. Ini termasuk menapis apa sahaja yang sampai ke pancaindera kita. Jika kita tidak punyai kesiapsiagaan untuk bertanya pada hati, apakah yang kita terima itu benar atau batil, kita mungkin menerima yang batil sebagai yang benar.

Untuk itu, apa jua yang kita percayai selama inipun perlu sentiasa dipersoal kerana banyak di antara apa yang kita pegang selama ini adalah yang batil. Seandainya apa yang kita pegang selama ini adalah yang batil, kita mestilah membuangnya dari fikiran kita dengan konsep learn, unlearn dan relearn. Proses pembelajaran untuk diri sendiri ini tidak boleh berhenti selagi hayat dikandung badan.


Belajar itu amat memenatkan. Kerana itu tenaga fikiran tidak boleh dipenatkan dengan apa-apa yang tidak berfaedah. Buang apa jua yang melalaikan. Hanya fikiran yang tidak segar sahaja yang boleh mencerap kebenaran meskipun ia umpama sekilas ikan di air. 

Artikel ini insya-ALLAH  akan terbit di akhbar Sinar Harian esok, 7.5.2014.

No comments:

Post a Comment