Tuesday, May 13, 2014

BIAR CARIK JANGAN PUTUS


Piccredit: brucemctague.com

UNTUK APA
MEMBAKAR JAMBATAN?


PADA Ahad lalu saya berkunjung ke rumah seorang rakan di Subang Jaya.  Rumahnya terletak di deretan rumah teres dua tingkat. Sedang berbual, isteri rakan saya hendak keluar untuk mengambil anaknya dari pusat tuisyen. Sejurus dia ke keretanya, dia masuk kembali lalu duduk di sofa. Wajahnya tergambar keresahan. Saya bertanya beliau apakah dia tidak jadi mengambil anaknya?

Jawabnya, dia tidak boleh keluar kerana laluannya dihalang kereta anak jirannya. Kata rakan saya pula, setiap kali anak jirannya mengunjungi orang tuanya, dia punyai perangai meletak keretanya menyenget hingga memakan laluan ke rumah rakan saya itu.

Saya mencadangkan, mengapa mereka tidak menekan loceng rumah jiran untuk memanggil anaknya itu supaya mengalihkan keretanya? Sambil itu, mereka boleh sahaja menegur anak jiran itu agar memarkir kenderaan dengan elok hingga tidak menghalang laluan orang. Kadangkala, seseorang itu melakukan sesuatu tindakan yang mengganggu orang lain kerana dia tidak perasan akan kesilapannya itu.

Rakan saya dan isterinya sama-sama menyambut cadangan saya dengan senyuman. Kedua-duanya menggeleng. Lantas rakan saya berkata, jirannya itu adalah orang yang baik hati. Banyak jasa yang telah mereka lakukan. Mereka biasa tolong menjirus pokok-pokok bunga bila rakan saya sekeluarga pulang ke kampung.

Mereka pernah bantu rumah rakan saya dari diceroboh perompak dengan memanggil polis. Jika fasal kenduri kendara, jiran mereka itulah yang sentiasa izinkan rakan saya menggunakan halaman rumahnya sebagai ruang tambahan. Jasa mereka terlalu banyak.

Jika mereka menegur perangai anak jiran itu, mereka mungkin berkecil hati walaupun benar anak mereka itu telah menimbulkan masalah. Apakah berpadanan, jika masalah yang terjadi sekali-sekala itu mengakibatkan mereka bermasam muka dan tidak akrab lagi?

Ya, hampir kesemua perhubungan kita dengan orang lain mempunyai pelbagai rangkaian jalinan. Ia bukannya perhubungan hanya sekali jalan seperti bila kita berurusan dengan petugas di kaunter pertanyaan di pasaraya, dengan pembaca meter elektrik yang datang ke rumah atau petugas di pondok tol.  Perhubungan begitu akan selesai dalam beberapa saat sahaja. Mungkin kita tidak akan bertemu dengan orang itu lagi.

Sebaliknya, perhubungan kita dengan mereka di sekeliling kita contohnya seperti dengan suami mempunyai pelbagai rangkaian jalinan. Selain daripada peranannya sebagai suami, dia juga adalah teman bersembang, kaunselor, pelindung, rakan kongsi dan bapa kepada anak-anak. Dia ada bapa dan ibu yang juga ibu dan bapa mertua kita.  Ada di antara teman-teman sepejabatnya adalah juga kenalan kita. Adik beradiknya juga adalah saudara kita. Dan begitulah sebaliknya.

Rangkaian jalinan yang berselirat ini memang sukar terurai. Seandainya putus salah satunya, misal kata seandainya kita berselisih faham dengan suami, kita masih ada banyak lagi rangkaian jalinan ibu dan bapa mertua, anak-anak, adik beradiknya yang lain serta kawan-kawannya yang mengikat perhubungan kita dengannya.

Mengapa pula apabila berselisih faham dengan suami, seseorang itu mudah sangat menguraikan semua ikatan dengan memusuhi semua mereka yang ada kena mengena dengannya? Mengapa memutuskan perhubungan kesemuanya hanya kerana seorang manusia? Sebaliknya jika kita mengambilkira kesemua rangkaian jalinan yang ada kena mengena dengan suami, ia cukup besar dan kukuh hingga tidak akan menjejaskan perhubungan kita dengannya.

Ramai di antara kita yang mempunyai pandangan yang kabur dalam perhubungan manusia dan juga pendirian terhadap sesuatu perkara. Jika dia sukakan seseorang, dia akan mati-mati sukakan seseorang itu. Sebaliknya, jika dia tidak setuju dengan seseorang itu, dia akan membenci sepenuhnya. Tiada maaf baginya buat orang itu.

Bila dia mempunyai pandangan yang positif terhadap sesuatu perkara, isu malah sesebuah institusi, dia akan taksub dengannya. Sebaliknya apabila dia tidak bersetuju dengan salah satu daripadanya, dia akan menolak semua yang ada kena mengena dengan perkara, isu atau institusi itu.

Pendek kata, membakar jambatan kerana tidak bersetuju. Hanya kerana sekeping papan yang berlubang, dia bakar jambatan itu hingga tiada sesiapa pun termasuk dirinya yang boleh menggunakan jambatan itu lagi. Membakar jambatan atau menolak sesuatu secara total  itu adalah tindakan senget akal. Esok lusa, dia akan terpaksa menjilat kembali ludahnya. Jika malu menjilat ludah, dia akan sendirian menelan liur akibat kekesalan.


Soalnya, bila seseorang itu membakar jambatan, dia bukan sahaja tidak adil kepada pihak yang tidak dipersetujuinya. Dia juga tidak adil pada dirinya sendiri. Dia tidak memberi peluang kepada diri dan juga orang lain untuk memperbetul keadaan. 

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 14.5.2014.

No comments:

Post a Comment