Piccredit: alloyentertainment.com
MEMBACA ITU SUATU HIBURAN
SEMENTARA menanti segmen temubual saya ke udara di
rancangan Selamat Pagi Malaysia untuk memperkenalkan buku MAAF CAKAP baru-baru
ini, saya berbual dengan saudara Sayed Munawar, penyampai rancangan. Beliau juga
adalah Ketua Pegawai Eksekutif Kota
Buku, sebuah agensi perbukuan negara.
Oleh kerana sama-sama meminati buku, Pesta Buku
Antarabangsa Kuala Lumpur yang sedang berlangsung adalah topik perbualan kami.
Saya menyentuh mengenai kegilaan kepada buku yang semakin menyemarak di
kalangan masyarakat. Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur adalah tempat kita
memerhati kegilaan itu.
Kata saudara Sayed, jumlah pengunjung semakin
meningkat. Mereka bukan sahaja datang daripada Lembah Kelang, malah, sejauh
Singapura dan Brunei. Saya pula berkata, ramai peminat buku datang ke Pesta Buku
Antarabangsa Kuala Lumpur umpama sebuah pilgrimage
atau perjalanan tradisi ke sebuah tempat yang amat penting. Ia menjadi
acara tahunan jutaan peminat buku di Malaysia.
Saudara Sayed Munawar mengiyakan. Katanya, dia bertemu
dengan sepasang suami isteri bersama anak-anak yang datang dari Kelantan dengan
menaiki keretapi semata-mata untuk berkunjung ke pesta buku. Mereka bermalam di
Kuala Lumpur selama tiga hari dan setiap hari jugalah mereka ke PWTC untuk
mencari buku. Dan, itu adalah kunjungan tahun yang ketiga bagi keluarga seorang
pembantu tadbir di sebuah jabatan kerajaan.
Keluarga itu adalah di antara beribu-ribu lagi
keluarga lain yang saban tahun datang ke pesta buku. Setiap hari bas-bas
sekolah tiba dengan membawa ribuan para pelajar dari pelbagai negeri untuk ke
pesta buku. Mereka diberi baucar yang boleh ditukarkan dengan buku. Para
pelajar universiti juga adalah di antara golongan yang ramai ke pesta buku.
Mereka turut membawa Baucar Buku 1Malaysia yang menggalakkan mereka membeli
buku.
Nampaknya misi membentuk budaya membaca telah mula
menampakkan kejayaan. Kita tidak lagi berasa malu dengan kenyataan bahawa
masyarakat Malaysia hanya membaca dua halaman buku setahun sepertimana kajian
UPM pada tahun 1983. Malah, barangkali kita sudah membaca lebih daripada dua
buah buku setahun sepertimana dalam penemuan kajian Profil Membaca Rakyat
Malaysia oleh Perpustakaan Negara pada
tahun 1996.
Membaca sudah menjadi suatu kegilaan masyarakat. Di
sebalik minat sebahagian besar daripada mereka dengan laman sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram, membaca buku masih menjadi salah
satu pilihan penting mengisi untuk waktu lapang. Kini, membaca novel misalnya menjadi
suatu bentuk hiburan selain berekreasi dengan melayari internet, menonton, bershopping dan makan-makan.
Buku tidak boleh dipisahkan dari penulisnya. Golongan
penulis pada hari ini turut menyemarakkan minat pembaca terhadap buku yang
mereka tulis. Jika dahulu, penulis itu rata-rata adalah golongan yang tidak
sukakan publisiti, penulis pada hari ini adalah golongan yang mahukan publisiti
kerana mahu menjual karya masing-masing. Mereka bukan setakat seniman, mereka
juga adalah usahawan.
Jika dahulu, penulis menggunakan nama samaran kerana
tidak mahu dikenali, penulis pada hari ini menggunakan nama samaran sebagai jenama.
Nama-nama seperti Aisya Sofea, Anis Ayuni dan Damya Hanna adalah di antara nama
samaran para penulis novel yang indah-indah. Mereka yang glamor, yang menjadi
penghibur kita pada hari ini bukan sahaja pelakon, penyanyi, pemuzik, penyampai
rancangan, ustaz, pakar motivasi dan chef. Golongan penulis juga sudah menjadi di
antara para penghibur kita melalui karya-karya mereka kerana membaca kini
adalah suatu bentuk hiburan.
Betapa pun, para penerbit turut memainkan peranan yang
penting dalam mengalakkan pembacaan. Dahulu, penerbit hanya menjadi tukang
cetak dan jual karya penulis. Kini, penerbit lebih terbuka dan akrab dengan
para penulis. Mereka menjadi rakan niaga dalam situasi menang-menang. Kerjasama
ini menggalakkan penulis menjadi prolifik dan ia akhirnya mengumpul khalayak
pembaca yang semakin meningkat.
Pembaca pada hari ini bukan setakat memperoleh bahan
bacaan. Melalui interaksi maya, mereka memberi maklumbalas kepada penulis, buku
apakah yang mereka minati. Penglibatan penerbit, penulis dan pembaca
menghasilkan sinergi yang bermanfaat buat semua pihak.
Rugilah jika ada penerbit yang masih menganggap
penulis adalah tempat mereka mencari makan. Mereka hasilkan buku untuk untung
semata-mata tanpa mengira tebal nipis poket pembaca. Tidak untung juga jika
penulis menganggap tulisannya tidak boleh disentuh langsung oleh penerbit
meskipun satu ayat. Akhirnya, buku yang mahal dan tidak sedap sebagai santapan
minda akan diketepikan. Itulah yang menyebabkan fenomena rakyat Malaysia dahulu
malas membaca.
Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian esok, 30.4.2014 insya-ALLAH...
saya di antara para pembeli buku MAAF CAKAP. Buku yang padu pengisiannya dan baik untuk santapan minta agar berfikiran kritikal.
ReplyDelete