Piccredit: mediabistro.com
BILA NO NEWS
BUKAN LAGI GOOD NEWS
BILA NO NEWS
BUKAN LAGI GOOD NEWS
NO NEWS IS GOOD NEWS. Bila tiada berita, ertinya semuanya baik. Demikianlah maksud peribahasa
Inggeris itu. Dahulu, tatkala kesakitan dan maut begitu kerap terjadi, berita
yang diterima kebanyakannya adalah berita yang buruk. Sebaliknya jika dalam
keadaan baik, tiada berita yang perlu disebarkan.
Di zaman di mana komunikasi kita adalah melalui surat
menyurat dan tidak ramai pula yang mempunyai telefon di rumah, apabila berita yang datang itu tiba dalam bentuk
telegram, ia bermakna ada saudara dekat yang sakit kuat atau sudah meninggal
dunia.
Dalam dunia persuratkhabaran bercetak di waktu dahulu, berita yang
disampaikan biasanya adalah berita kejadian semalam. Dalam konteks standard
hari ini, berita yang sudah berlaku lebih 24 jam sudah boleh dianggap berita
basi!
Pemberitaan ketika itu juga berbentuk laporan mengenai apa yang
terjadi. Dengan kepayahan komunikasi, berita yang sampai ke pejabat surat
khabar juga selalunya lewat. Kerana itu, istilah stop press, iaitu menghentikan mesin yang mencetak akhbar untuk
memasukkan berita yang baharu diterima sudah menjadi kelaziman.
Di Malaysia, berita yang dipancar melalui radio pada ketika itu
juga ada waktu-waktunya. Seingat saya, berita di radio dahulu hanya ke udara
hanya lima kali sehari iaitu pada 6.00 pagi, 8.00 pagi, 1.30 tengah hari, 5.00
petang dan jam 10.00 malam. Waktu penyampaian berita itu pun hanya 10 minit. Ia
disampaikan oleh pembaca berita di studio. Tiada lintas langsung iaitu berita
secara live dari lokasi peristiwa
seperti pada hari ini.
Apabila televisyen di perkenalkan pada tahun 1963, persembahan
berita juga tidak menarik. Hampir kesemua berita adalah berita majlis-majlis
yang dihadiri oleh pak menteri. Sebab itu, bila berita disiarkan pada waktu 9.00
malam, ramai yang mengambil peluang untuk ke bilik air atau membuat kopi
sementara menanti cerita Melayu bersiaran selepas siaran berita.
Samada di akhbar, radio mahupun televisyen, corak pemberitaan sebahagian besarnya masih berbentuk serius. Apa yang menjadi human interest mahupun hiburan serta sukan hanya dianggap selingan.
Ia adalah segmen kecil ruang berita di ketiga-tiga medium itu.
Kemunculan stesyen Cable News Network atau CNN pada tahun 1980
merobah sama sekali lanskap dunia pemberitaan. CNN adalah saluran televisyen
pertama yang membekalkan hanya berita selama 24 jam dan ia adalah satu-satunya
saluran televisyen yang hanya memaparkan berita sebagai rancangannya.
Memang pada permulaannya kemunculan saluran berita 24 jam ini
dipandang dengan sinis. Namun, pandangan umum mulai berubah apabila ia
memaparkan tragedi Space Shuttle Challenger NASA yang meletup secara langsung hanya
lepas seminit ia meluncur ke udara. Sejak
itu berita sudah menjadi seperti wayang. Perang Teluk, Perang Iraq dan
peristiwa 11 September 2001 sudah dapat ditonton di rumah.
Media baratlah yang cepat menjejaki formula CNN. Perkembangan
dunia internet juga menjadikan pemberitaan semakin mencabar dan mendesak. 24
jam sehari, setiap minit dan saat, berita mesti disampaikan. Rating perlu dijaga. Untuk mengelakkan
agar penonton tidak lari, maka breaking
news dan developing story
disampaikan secara berulang-ulang.
Perubahan pada kandungan berita hanya dapat dibuat bila ada
perkembangan terbaharu. Tetapi, berita bukannya cerita yang boleh direka-reka
agar ia sentiasa bersambung. Tetapi, minat penonton perlu sentiasa dirangsang
agar tidak mengalih saluran. Maka mulalah sesebuah berita yang kecil itu
ditebar seperti roti canai. Ada side
story, back story, analisa dan apa sahaja.
Untuk berita tragedi MH370 misalnya, maklumat dan petunjuk satelit
dan radar serta aset-aset yang menyertai SAR di Lautan Hindi adalah berita
teknikal yang membosankan. Untuk kekal menarik minat mereka yang mengikuti
perkembangan semasa, kisah-kisah manusia mula menjadi mainan media barat.
Protes keluarga warga China yang mahukan berita kemalangan itu diputar
hingga menjadi isu warga China anti-Malaysia kerana kononnya menjadi paksi
keganasan. Minat politik Kapten Zaharie dijadikan isu seolah-olah kemalangan
itu terjadi kerana taksubnya. Begitu juga masalah rumahtangga beliau kini
menjadi berita sensasi yang menjadi rencah pemberitaan.
Teori-teori konspirasi turut
dimainkan hinggakan ia menjadi tumpuan penonton. Perasaan mangsa dan sensivtiiti di antara negara tidak penting buat mereka
Jika pada pandangan masyarakat, no news is good news, bagi pihak media pula no news is bad news kerana ia dibaca dalam konteks rating, nilai saham dan keuntungan.
Formula pemberitaan sudah ditulis semula dengan wang sebagai denominasinya.
Media kita jangan pula terikut-ikut dengan rentak mereka. Maruah
seharusnya menjadi pegangan. Wang jangan mula menjadi anutan.
Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 2.4.2014, insya-ALLAH...
Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 2.4.2014, insya-ALLAH...
No comments:
Post a Comment