Tuesday, April 8, 2014

KONSEP MENGUMPUL KEKAYAAN


 
Piccredit: ismaweb.net

SUATU PAGI BERSAMA

AHMAD ARIFF

MINGGU lepas saya bermalaman di Pusat Perubatan Universiti Malaya menemani adik ipar yang menjalani pemeriksaan kerana sakit dalam perut. Saya sedia untuk lama menunggu kerana memahami memang ramai pesakit di situ. Maklumlah, di Bahagian Trauma dan Kecemasan, hampir semua yang datang itu tiba tanpa temujanji. Saya sempat lihat seorang mangsa kemalangan yang parah tiba dibawa rakannya dan seorang lelaki kurang siuman yang terpaksa dihambat untuk dibawa masuk ke bilik rawatan.

Dalam kesejukan pendingin hawa, saya dapat juga tidur-tidur ayam. Ipad dan telefon menjadi teman bila terjaga. Bagaimana pun saya banyak juga termenung dan insaf, betapa kita terpaksa mengubah skrip rutin harian apabila kita jatuh sakit atau menemani saudara yang menerima rawatan. Sakit pening adalah ketentuan ALLAH swt. Ia tidak boleh dinyahkan begitu sahaja.

Bila penyakit sampai, kita perlu melayani ia dengan penuh kesabaran. Seperti bidalan, penyakit itu datangnya seperti ribut tetapi perginya seperti semut. Bila kita jatuh sakit, ia mengingatkan bahawa kita sentiasa berada di dalam genggaman-NYA. Satu urat saraf sahaja terusik, tersimpul, terbengkak mahupun terputus, kita tak boleh tidur kerana menanggung sengal dan bisanya.

Masuk waktu subuh, saya ke masjid UIA Petaling Jaya untuk menunaikan solat. Masjidnya makmur dengan para jemaah. Usai solat, sambil menghidup enjin kereta dan memberi laluan kepada kenderaan lain bergerak, kelihatan beberapa orang jemaah lelaki yang nampaknya dari satu grup. Walaupun sedang melangkah menuju ke kereta masing-masing, kedengaran mereka membuat temujanji hendak bersarapan bersama. 

Melihat kepada perawakan mereka, saya pasti mereka orang bersara. Terlintas di hati saya, masing-masing kelihatan begitu gembira menghabiskan sisa-sisa kehidupan. Kereta mereka nampaknya besar dan menjalar. Saya rasa mereka semua mantan pegawai tinggi kerajaan mahupun korporat. Alhamdulilah, masjid dan surau juga dipenuhi oleh mereka yang kaya raya. Itulah realiti. Memang ramai orang berada yang suka beribadah. Bukan seperti stereotaip drama televisyen di mana yang kaya selalu digambarkan lupa akhirat. 

Perut yang lapar membuatkan saya singgah ke sebuah restoran untuk bersarapan. Rupa-rupanya di situ jugalah port kumpulan jemaah yang bersara itu. Walaupun belum jam 7.00 pagi, restoran sudah dipenuhi pelanggan. Saya terpaksa mencari tempat dan duduk semeja dengan salah seorang daripada mereka. Mungkin kerana tiada tempat duduk, dia tidak dapat duduk bersama dengan kawan-kawannya.

Lelaki itu kelihatan serba putih. Rambut, kening, jubah, kopiah, malah wajahnya putih bersih. Saya boleh rasakan aura duduk bersama seorang lelaki yang baik-baik. Saya berasa tenang dan senang dengan senyumannya bila mempelawa saya duduk sekali.

Apabila saya bersalaman dengannya, lelaki itu, Ahmad Ariff berkata yang dia perasan akan kehadiran saya di masjid tadi. Dia juga nampak kelibat saya di parkir masjid. Latar belakangnya sebagai bekas pegawai polis itu membuat saya mengerti dengan sikap awas dan peka dengan siapa dan suasana di sekelilingnya.

Meskipun beliau kaya raya kerana mempunyai pelbagai perniagaan selepas bersara, Ahmad Ariff sentiasa menganggap harta dan kekayaan yang beliau peroleh hanyalah sementara. Beliau berkata mengenai perebutan manusia untuk memperoleh kekayaan. ‘Pada hari ini kita tidak sedar yang kita mengaut kekayaan dengan pendekatan accumulated wealth - kaya dengan mengumpul harta. Sedangkan seharusnya kita harus berpegang dengan konsep transitional wealth.’

Katanya, ‘accumulated wealth menjadikan kita rakus dan tamak mengumpul harta. Akhirnya kita tak puas mengumpul dan tak puas juga berbelanja. Sedangkan transitional wealth itu ialah menyedari bahawa kita hanyalah tempat mengalirnya rezeki. Apabila kita berpegang dengan konsep itu, kita akan yakin bahawa ALLAH swt mengamanahkan kita kekayaan untuk dizakat dan disedekahkan.

Semakin banyak kita memberi, maka lebih banyak ALLAH menambahnya. Akhirnya kita bukannya mengejar kekayaan, tetapi kekayaan yang datang mencari kita. Tidak tepat apabila kita berdoa memohon kekayaan. Tetapi berdoalah agar menjadi orang yang rajin bersedekah. Percayalah dengan cara itu, kita akan kaya raya tetapi tidak akan terpesona dengan kekayaan itu.’ 

Sebelum berpisah, saya sempat bertanya akan kesihatanya. Kata Ahmad Ariff, dia menghidapi apa yang orang kata sebagai penyakit pakej iaitu kencing manis, darah tinggi dan lemah jantung. Isterinya turut mempunyai sakit yang sama. Sekali-sekala mereka terpaksa masuk wad. Kadangkala bersilih ganti, seperti bergilir-gilir. Namun, dia reda dengan apa yang dialaminya. Katanya, ‘jika inilah kesusahan yang perlu saya alami untuk masuk ke syurga, saya anggap, inilah bayarannya!’
Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian, pada 9.4.2014. insya-ALLAH...

No comments:

Post a Comment