Tuesday, April 22, 2014

HARI RAYA UNTUK SEMUA PEMINAT BUKU









Piccredit: karyabestari.com
PESTA BUKU PEMANGKIN
BUDAYA MEMBACA

PESTA BUKU ANTARABANGSA KUALA LUMPUR yang ke-33 akan bermula esok iaitu 24 April hingga 4 Mei 2014 di PWTC. Ini adalah pesta buku yang terunggul di Malaysia. Terunggul kerana usia dan kelestariannya. Apabila mula dianjurkan pada tahun 1981, ia berskala kecil ~ hanya sekadar menamakan dirinya Pesta Buku Kuala Lumpur.
Hanya sesudah sedekad penganjurannya, ia menukar namanya menjadi Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur.  Pada tahun itu, hanya 300 gerai diperuntukkan dan hanya 100 syarikat tempatan dan antarabangsa yang terlibat. Namun dari setahun ke setahun, ia menjadi semakin popular dan berjaya menarik pengunjung daripada jumlah puluhan ribu kepada ratusan ribu dan kini jutaan pengunjung datang ke pesta buku ini.

Ia sudah jauh maju ke hadapan sama ada daripada segi penyertaan pemain industri dan juga dari segi para pengunjung berbanding dengan tahun-tahun awal penganjurannya. Ini menjawab persoalan pihak yang cintakan budaya membaca yang bimbang dengan minat membaca rakyat Malaysia berdasarkan satu kajian yang telah dijalankan pada tahun 1983. Kajian oleh ahli akademik dari universiti tempatan di bawah pimpinan Allahyarham Prof. Atan Long dari Universiti Putra Malaysia, menunjukkan bahawa minat membaca buku di Malaysia sangat rendah. Mereka membaca dua halaman setahun!
Penemuan itu mencetuskan polemik. Bagaimana sebuah negara membangun yang disegani di Asia Tenggara mempunyai rakyat yang malas membaca? Mungkin kita terlalu serius membina minda anak bangsa dengan menumpukan kepada pelajaran. Pencapaian akademik adalah agenda negara. Pelajar dididik untuk belajar hingga ke universiti bagi memenuhi pasaran pekerjaan untuk membangun negara. Justeru, mereka membaca untuk lulus peperiksaan dan untuk bekerja. Mereka bukan belajar untuk menambah ilmu.
Kita tersilap langkah di situ. Kerana itu, kita memulakan program menggalakkan membaca iaitu membaca untuk menambah ilmu yang tidak semestinya bertujuan untuk mendapat markah tertinggi. Bibit-bibit kejayaannya mula kelihatan. 13 tahun kemudian iaitu pada tahun 1996, kajian Profil Membaca Rakyat Malaysia  oleh Perpustakaan Negara Malaysia mendapati setiap orang secara purata membaca dua buku setahun. Sehubungan dengan itu, Kementerian Pelajaran Malaysia telah melancarkan Program Galakan Membaca untuk pelajar sekolah atau lebih dikenali dengan program NILAM (Nadi Ilmu Amalan Membaca).

Bagaimana pun, generasi pasca merdeka yang digalakkan membaca untuk lulus peperiksaan masih tidak teruja untuk membaca. Ibu-ibubapa yang muda ini hanya membawa anak-anak mereka ke kedai-kedai buku hanya untuk membeli buku-buku teks dan ulangkaji peperiksaan. Kunjungan mereka ke kedai-kedai buku bukan suatu tabiat dan tentu sekali bukan budaya keluarga.
Namun, semakin mereka berusia dan stabil ekonomi, nilai-nilai kehidupan mereka turut berubah. Keperluan material sudah dipenuhi. Kerana itu mereka mahukan santapan rohani dan minda. Justeru, mereka menambah cara bersantai daripada menonton dan melancong kepada membaca. Anak-anak yang membaca akan mempengaruhi ibubapa untuk membaca. Sebaliknya, ibubapa yang membaca akan mempengaruhi anak-anak untuk membaca. Tidak dinafikan, budaya membaca yang diterap kepada pelajar sekolah telah mempengaruhi ibubapa mereka juga untuk kembali kepada buku.

Tentu sekali, kerancakan para pemain dalam industri buku yang berkembang selari dengan pendapatan keluarga dan keperluan intelek rakyatnya telah mencambah minat membaca. Jika pada tahun-tahun 90an, buku-buku bukan akademik yang dicari adalah buku-buku agama, pada tahun-tahun 2000 bacaan novel menjadi bahan bacaan pilihan yang paling popular. Ia diikuti dengan buku-buku motivasi, masakan, deko, kesihatan dan akhir-akhir ini, minat membaca masyarakat nampaknya sudah kembali semula kepada buku-buku agama. Suka dinyatakan di sini, buku-buku agama dahulu nipis-nipis, kini sudah tebal-tebal dan berjilid-jilid!
Pada hari ini, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur mempunyai peranan yang amat signifikan dalam menelah trend budaya membaca. Di sinilah tempat di mana barometer genre bacaan diperhati oleh para penerbit. Di sini jugalah para penulis dapat inspirasi buku apakah yang menjadi pilihan pembaca.

Di peringkat pembaca pula, di pesta buku ini mereka mengambil peluang untuk mendapatkan buku-buku yang sukar dicari dengan harga yang amat berpatutan. Meskipun ada suara yang mengatakan jualan murah oleh para penerbit tidak menepati ciri sebuah pesta buku, namun inilah uniknya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur. Ia adalah hari raya untuk semua yang cintakan buku dan suka membaca.

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian esok, 23.4.2013, insya-ALLAH...

No comments:

Post a Comment