Piccredit: terbakor.com
APABILA HIDUP
MULA BERCATU
APABILA HIDUP
MULA BERCATU
BUAT seminggu dua ini, memandu di dalam hujan sepulang
dari pejabat menimbulkan keseronokan. Hati berasa riang melihat air yang
menyimbah skrin kereta. Kalau boleh, biarlah pengelap cermin diputar hingga ke kelajuan
maksima, menandakan hujan turun mencurah, memberi makna bumi menjadi basah, air
di empangan dah melimpah dan akhirnya catuan air sudah tak payah.
Negeri Selangor, negeri termaju yang mempunyai
penduduk teramai dan industri yang terbanyak sedang mengalami krisis air. Mereka
di zon satu menerima catuan sejak ia dikuatkuasakan. Ertinya sudah lebih
sebulan mereka menerima bekalan air berjadual. Buat mereka yang baharu sahaja
dikenakan catuan, ia adalah sesuatu yang bisa mencetus panik dan mengubah gaya
hidup seisi keluarga.
Bilik air yang cantik sudah dipenuhi tong, tempayan
dan baldi. Menjirus pokok pun menggunakan air basuhan sayur dan beras. Pinggan
mangkuk kaca sudah diganti dengan peralatan plastik. Buat suri rumah, hujan
yang turun pun boleh menimbulkan dilema di antara suka dan bimbang. Suka kerana
hujan yang turun mungkin akan menamatkan catuan. Tetapi ia juga bererti baju
yang bersidai di ampaian susah pula nak kering.
Walau apa pun, umum nampaknya semakin bersedia secara
mental untuk mengharunginya. Kekalutan membeli tong, tempayan dan baldi
nampaknya berkurangan kerana surirumah
sudah melengkapkan logistik di kediaman masing-masing. Jika sebelum ini,
anak yang ke sekolah dibekalkan minuman manis, kini air putih menjadi keperluan
untuk minuman dan membersih diri.
Pencatuan itu memaksa kita belajar kembali untuk
menjimatkan air. Sebelum ini, kita bukannya tidak pernah alami kemarau hingga
air terpaksa dicatu. Ataupun sekali-sekala pernah juga rumah tak berair kerana
paip pecah. Tetapi, apabila bekalan air stabil kembali, kita lupa pada latihan
penjimatan yang telah kita lakukan. Perbuatan tinggal perbuatan dan bukannya
amalan.
Dalam hidup, ada banyak sekali catuan yang harus kita
lalui dan lakukan. Catuan boleh dibuat seandainya sesuatu yang diguna itu akan
kehabisan. Tetapi kita percaya keadaan itu hanya sementara kerana apa yang
kehabisan itu akan datang kembali seperti juga air. Namun, manusia mudah lupa.
Apabila sukar tatkala berdepan dengan apa yang dicatu, yang ada itu mencukupi pula
meskipun sedikit. Sebaliknya apabila ia melimpah-ruah, ia tidak mencukupi
meskipun semakin banyak yang kita gunakan.
Duit gaji, yang diterima pada awal bulan boleh langsai lebih
daripada separuh pada minggu pertama. Tetapi, jumlah yang separuh itu boleh
pula mencukupi hingga ke hujung bulan apabila kita mencatu atau membajet penggunaannya.
Tatkala bergaji kecil, pendapatan yang sedikit itu jugalah yang mencukupi untuk
diri dan ahli keluarga. Sebaliknya apabila pendapatan bertambah, bagaimanakah
gaji yang semakin banyak itu tidak mencukupi? Jika kita ada alasan-alasan lain
yang menyebabkan gaji tidak cukup, ada ramai lagi mereka bergaji lebih
kecil daripada kita yang boleh hidup
selesa.
Kasih sayang bagi mereka yang terpisah jauh itu
sentiasa mencukupi. Tengoklah mereka yang terpaksa bekerja dan meninggalkan
keluarga berminggu lamanya. Ramai yang boleh hidup tenang walaupun si suami
selalu pergi jauh untuk bertugas. Tetapi buat mereka yang tidak berjauhan, yang
perhubungannya sentiasa ada pada setiap saat dan waktu, kompelin tidak cukup
perhatian dan kasih sayang biasa terjadi.
Mengapa sesuatu subjek itu amat sukar difahami
walaupun berbulan cuba dipelajari dengan pelbagai cara? Mengapa pula apabila
hampir peperiksaan, buku yang tebal itu boleh pula dihafal dalam masa seminggu?
Mengapa dengan masa yang sedikit itu kita boleh faham apa yang kita tidak
fahami sepanjang tahun? Bukankah apabila masa dicatu, segalanya beres?
Pendek kata, apabila sesuatu itu melimpah-ruah dan
tidak bercatu, kita akan membazirkannya. Masa, wang dan tenaga akan digunakan
sesuka hati. Masa yang luang digunakan untuk banyak perkara yang tidak
mendatangkan manfaat masa depan kita sendiri. Wang yang banyak dibelanjakan
pula tanpa memikirkan untuk menyimpan buat masa sesak. Dan tenaga yang banyak
digunakan untuk lain-lain aktiviti fizikal yang lasak tetapi layu melangkah
untuk ke masjid.
Mana mungkin semua yang ada itu menjadi kekal
selama-lamanya? Bila sesuatu itu mula bercatu tidak kira masa, wang dan tenaga,
ingatlah, ia adalah amaran awal akan kehabisannya. Apakah air juga begitu? Maka
berdoalah.
Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 16.4.2014, insya-ALLAH...
No comments:
Post a Comment