Tuesday, March 25, 2014

JIKA ANDA PANDAI BERCERITA...


Piccredit: thenovelistgame.com
 
ANDA NOVELIS DI KALANGAN KITA

APABILA Perdana Menteri kita Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan berita sedih bahawa penerbangan pesawat MH370 berakhir di Lautan Hindi, saya kira bermulalah fasa ketiga dalam merungkai tragedi misteri yang dilalui kapalterbang MAS itu.

Fasa pertama ialah pencarian di Laut China Selatan dan fasa kedua adalah mengenalpasti samada pesawat itu terbang melintasi koridor utara atau selatan. Fasa seterusnya iaitu menemui lokasi sebenar inilah yang paling lama dan rumit. Berikutan dengan keadaan laut yang luas, ganas, dalam dan sunyi, usaha ini akan terus menjadi suatu operasi yang amat mencabar.

Selama tujuh belas hari kita dan dunia telah mengharungi detik-detik debarnya. Di hari-hari permulaan pencarian, apa sahaja yang ditemui kesemuanya dinafikan. Penemuan objek dan minyak di Laut China Selatan akhirnya disahkan bukan daripada MH370.  Apabila maklumat radar TUDM yang mendapati pesawat tersebut berpatah balik ke pantai barat semenanjung pada hari ketujuh kejadian, pencarian beralih arah pula di Lautan Hindi.

Dua hari kemudian, pengesahan bahawa MH370 terbang merentasi Lautan Hindi melalui data satelit China menjadikan tumpuan operasi terhala ke koridor selatan. Imej satelit Australia yang mencerap dua objek di lautan hampir mempastikan daerah penghujung penerbangan MH370.

Dengan pengesahan Perdana Menteri pada hari ketujuh belas bahawa di sanalah bersemadinya MH370, ia menjawab misi utama kita iaitu untuk mencari di manakah MH370. Cari kapalterbangnya dahulu, perkara lain yang hendak diselidik adalah perkara yang dikemudiankan.

Setakat ini, fokus dan keutamaan misi itu amat wajar. Banyak negara yang terlibat, pelbagai aset yang digunakan dan ramai tenaga manusia yang dikerahkan. Sebagai koordinator keseluruhan operasi besar ini, tentu sekali ketepatan fakta dan pengesahan maklumat itulah yang menjadi keutamaan buat Malaysia. Jika kita tidak cermat, mudah gelabah dan kelam-kabut dengan apa jua yang dikatakan petunjuk, maka ia menyerlahkan betapa lemahnya kita dalam mengurus krisis.  Ketelitian dan kecermatan ini pula pasti mengambil masa.

Ini yang menjadikan banyak pihak lain hilang sabar. Mungkin kerana sudah terbiasa dengan kepantasan sesuatu perkara itu berkembang, pihak media luar memang tidak sabar mencungkil berita. Kes kehilangan MH370 bukan kisah peperangan yang punyai pelbagai cerita api, asap dan darah. Ia juga bukan kisah demonstrasi rakyat terhadap pemerintah yang akan menyerlahkan contengan dan goresan keruntuhan. Ia bukan jua kisah kegemilangan dan kejayaan individu dan kumpulan yang penuh dengan irama keriuhan dan warna-warni kegembiraan.    

Malah, ia adalah kisah tragedi mencari sesuatu yang hilang. Bukan senang mencari benda yang hilang kerana tempat yang disangka hilang biasanya bukan setempat. Kunci kereta kita yang hilang entah di dalam almari, entah di atas sofa, entah di meja makan.  Kapalterbang yang hilang pun bukan mudah kita menemuinya. Sebab itu ia dikatakan hilang. Kalau siang-siang lagi mereka yang mencari itu tahu di mana kapalterbang itu hilang, ia bukan hilang namanya!

Namun begitulah kita juga yang sudah terlalu banyak melihat perang dan malang di layar televisyen sambil mengunyah kerepek. Kita anggap kesemuanya mesti berkembang pada setiap saat dan ketika. Barangkali juga kerana terbiasa menonton filem-filem Hollywood, tanpa kita sedar, kita terkeliru di antara realiti dan fiksyen.

Seperti kata Mark Twain, seorang penulis tersohor Amerika, ‘Truth is stranger than fiction, because fiction is obliged to stick to possibilities; Truth isn't.’ Ertinya, kebenaran itu tidak seperti fiksyen kerana fiksyen harus bersandarkan kepada segala kemungkinan. Tetapi, kebenaran tidak memerlukan itu semua. Barangkali kerana itulah saban hari ramai di antara kita yang cuba mencipta teori-teori konspirasi, cerita-cerita rekaan, gosip-gosip dan segala bentuk fitnah yang bila difikirkan secara logik, adalah amat logik sehinggakan segala sisi dan sudut tragedi itu difiksyenkan.

 Tidak pelik juga, oleh kerana ramai di antara kita yang tidak dapat membezakan di antara yang mana berita, yang mana cerita dan yang mana realiti, yang mana fantasi, maka ramai juga yang ternganga percaya. Ia menjadi hodoh bila kita yang tidak pandai menapis untuk menyisih di antara fakta dan auta. Hasilnya, semua cerita-cerita rekaan ini akan terus menjadi sub-plot tragedi misteri MH370 yang tidak berkesudahan.

Kita terlalu ramai pencerita di antara kita. Maka maaf cakap… alangkah elok jika kita yang pandai bercerita ini menghadiri kursus-kursus penulisan novel. Jadikan semua yang dikatakan berita-berita yang tidak bersumber ini menjadi cerita. Kita perlukan Tom Clancy, Clive Cussler, James A. Michener dan Eric Van Lustbader di antara kita.

Segala rencahnya sudah ada di depan mata!
Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian esok, 26.3.2014, insya-ALLAH...

No comments:

Post a Comment