Piccredit: pitterpatter.com
MENGENANG
MEREKA YANG HILANG
MEREKA YANG HILANG
TATKALA anda menatap tulisan ini, sudah masuk
hari keempat peristiwa kehilangan pesawat MH370 berlaku. Di dalam hati, buat
kali pertama sebagai orang surat khabar, saya mengharapkan ayat pertama tulisan
saya tadi sudah out-dated. Maksud
saya, biarlah ayat tatkala saya sedang menaip pada 10 March ini tersasar kerana
MH370 telah ditemui bila anda membaca tulisan ini pada hari ini. Itulah harapan
saya dan harapan seluruh rakyat Malaysia, malah harapan manusia yang merasai
erti kehilangan.
Manusia tidak suka kepada kehilangan. Kerana itu
manusia takut apabila kehilangan berlaku meskipun walau seketika. Kunci kereta
yang hilang kerana tersilap letak hingga memungkinkan kita terlewat ke pejabat
boleh menimbulkan kebimbangan. Anak kita yang hilang di gedung pakaian,
meskipun hanya kerana dia bersembunyi di sebalik rak pakaian sudah cukup
mencemaskan.
Apabila kehilangan itu seketika dan yang hilang
itu kembali, alangkah leganya kita. Alangkah bersyukurnya kita kerana situasi
itu memberi kita peluang untuk menjaga apa yang muncul kembali itu agar tidak
hilang lagi. Ia juga memberi kesedaran bahawa rupa-rupanya selama ini kita amat
menyayangi apa yang telah kita hilang itu.
Mungkin kita bersikap ‘asal ada’ atau taking things for granted selama ini
maka kita terlupa untuk memberi waktu kepada yang kita sayangi. Maka bila yang
hilang itu kembali, maka ia adalah peluang yang kedua untuk kita memperbetul
kealpaan selama ini.
Namun, bagaimana pula jika yang hilang itu
tidak akan kembali lagi lebih-lebih lagi jika ia adalah insan yang hampir
dengan kita? Jika selama ini kita mengabaikannya, rasa terkilan akan
menggunung. Ia akan menyesak perasaan dan menimbulkan kemurungan hingga memakan
waktu. Tidak mustahil bila ia menjadi trauma yang berpanjangan. Ia berlaku
kerana kita terlepas peluang untuk menunjuk kasih kepada yang hilang.
Bagaimana pun, perasaan yang sama juga akan
dirasai seandainya kita telah memberi kasih sepenuhnya kepada yang telah hilang
itu selama ini. Meskipun tidak terkilan kerana sentiasa memupuk perhubungan
dengan yang tiada lagi itu, namun rasa kehilangan tetap ada kerana banyak
sekali saat dan ketika bersama itu sudah tidak boleh lagi dilalui bersama. Hari-hari
kehidupan tatkala
memadu kasih, menjalin persahabatan dan menyimpul ukhwah sudah berubah sejak
kehilangan dia. Jika kita masih membayang, memimpi dan mengharap pada apa yang
tidak akan berulang lagi, maka kesedihan akan sentiasa melanda.
Jangan begitu. Jika kita melalui zaman yang manis-manis
sahaja bersamanya selama ini, biarlah ia tersimpan sebagai kenangan yang manis
jua. Mengapa pula mahu meneruskan hari-hari esok dengan yang pahit? Bukankah
setiap sesuatu itu tidak kekal? Bukankah setiap sesuatu itu ada waktu, ruang
dan ketikanya?
Anggaplah apa yang telah dilalui dalam suasana
yang harmoni dan penuh kasih selama bertahun-tahun itu sebagai sebuah skrip
kehidupan. Apabila yang disayangi itu sudah tiada lagi, skrip kita yang tinggal
perlu berubah. Jika tidak dapat dilakukan dengan cepat, kita mesti bertatih
untuk mengalih mata dan hati untuk melihat hari esok. Yang pergi sudah
direhatkan. Kita yang tinggal ini masih perlu meneruskan kehidupan.
Ada ramai lagi teman-teman yang sanggup
menemani dan menghibur. Meskipun tidak sama dengan yang telah tiada, itulah
jalan yang harus ditempuhi. Sedangkan bertemu itu bukan pilihan apakah berpisah
juga itu suatu pilihan?
Kerana
itu, kita yang sudah penuh dengan kasih sayang selama bersama yang telah tiada
itu harus menumpahkan pula kasih yang diberi kepada mereka di sekeliling kita.
Ramai sekali manusia lain yang memerlukan kasih sayang untuk memberi mereka
harapan untuk menghidupkan jiwa mereka.
Dalam
pada itu, berdoa, berdoa dan berdoa sahajalah kita kepada yang telah hilang.
Itulah sahaja kiriman kasih yang boleh kita layangkan untuk yang telah pergi.
Mudah-mudahan apa yang telah hilang itu akan kembali dan muncul di depan mata.
Menghidupkan bunga-bunga kasih dan persahabatan yang mula layu. Mengembalikan
riang ria dalam kehidupan. Memberi kita ruang dan peluang sekali lagi untuk
menyimpul kasih sayang hingga tiba saat perpisahan yang abadi.
Artikel ini insya-ALLAH akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 12.3.2014
No comments:
Post a Comment