Piccredit: radio.iium.edu.my
MENYUKAI ILMU
DENGAN MENGUASAINYA
AHAD
lalu, saya bersembang panjang dengan anak perempuan saya Nur Syakirine mengenai
pelajarannya. Dia mengadu kepada saya yang dia belum dapat menguasai beberapa
subjeknya kerana ia sungguh berbeza dari silibus tingkatan tiga. Saya katakan
padanya, ia adalah perkara biasa.
Seseorang itu mengambil masa di antara tiga hingga enam bulan untuk memahirkan
dirinya dengan sesuatu ilmu.
Dengan
memadankan dunia kerjaya dan sumber manusia, kata saya, seseorang staf yang
terpilih untuk menyandang sesebuah jawatan itu diberi antara tiga hingga enam
bulan untuk menyesuai dan juga menguasai kerjanya. Seandainya dia berjaya,
baharulah dia akan disahkan jawatan. Dengan membandingkan sebegitu, saya mahu
anak saya yakin yang dia bakal menguasai matapelajaran dan silibus tingkatan
empat dalam sebulan dua lagi kerana dia baharu sahaja mempelajari subjek-subjek
itu sejak Januari lalu.
Bila
anak saya berkata yang dia tidak meminati sesetengah mata pelajarannya kerana
lebih meminati seni, saya katakan kepadanya, dalam apa jua perkara yang kita
hadapi, kita perlu belajar untuk menyukai apa yang kita buat, bukannya buat apa
yang kita suka. Cara itu akan membantu kita berjaya dalam dunia ilmu.
Petang
kelmarin pula, saya bersembang secara maya dengan salah seorang rakan Facebook saya, Nina. Kami sebumbung di
Kumpulan Media Karangkraf. Saya di Grup Sinar manakala beliau di Grup Buku.
Nina bolehlah dikira sebagai junior saya
di Fakulti Senilukis dan Senireka UiTM walaupun saya belajar di situ pada tahun
70an sedangkan Nina belajar pada tahun 2003.
Saya
tertarik untuk menegurnya kerana dia membuat posting sebuah lukisan cantik Pray
for MH370. Sentuhan lukisannya dipenuhi dengan bunga-bunga dan
berwarna-warni. Ia kelihatan ceria tetapi retro.
Minda saya terus berlari dan memaparkan imej-imej lukisan begitu tatkala saya
belajar dahulu.
Gaya
lakaran Nina menepati seseorang yang belajar dalam bidang tekstil, bukannya
grafik sepertinya. Setelah bertanya, Nina berkata yang beliau sebenarnya ingin
memasuki bidang tekstil tetapi terpilih untuk menyertai bidang grafik. Namun, setelah
beberapa lama mengikuti pelajarannya, beliau akhirnya menyukai bidang itu. Ia
suatu contoh bahawa kita akhirnya boleh menyukai sesuatu bidang yang kita tidak
minati pada mulanya. Alah bisa tegal biasa.
Saya
terpanggil untuk merenung terhadap dunia kerjaya saya. Meskipun saya mengambil
senilukis, bidang ini secara khususnya tidak pernah menjadi kerjaya utama saya.
Sebaliknya, di mana jua saya berada, walau apa pun jawatan yang saya sandang,
entah bagaimana, tugas saya mesti menuntut saya untuk menulis.
Tidak
kiralah samada saya menulis artikel, laporan, kertas kerja, minit, copywriting untuk iklan, kenyataan
akhbar, berita dan cerita untuk buletin,
brosur, majalah dan akhbar; bidang penulisan menjadi salah satu bidang
tugas saya walau di mana saya berada. Ia adalah ilmu yang saya asah secara
tidak sengaja.
Saya
teringat akan salah seorang bekas majikan saya Encik Zainuddin Abdul Rahman
tatkala saya bertugas di syarikat pengiklanannya. Di antara kata-kata beliau
yang masih saya semat hingga kini ialah, ‘untuk menguasai sesebuah bidang ilmu,
kita perlu mulakan dengan menguasai 50 istilah dalam bidang yang diceburi.’
Tepat
sekali kata-katanya kerana itulah yang sentiasa saya amalkan setiap kali
apabila saya ditugaskan untuk melakukan sesuatu yang belum pernah saya buat.
Alhamdulilah, meskipun pada asalnya saya orang seni, saya dapat melakukan
kerja-kerja kejurulatihan, undang-undang, perakaunan, perundingan, pemasaran,
sumber manusia, perbukuan dan kini persuratkhabaran.
Dalam
dunia ilmu yang semakin pantas dan terdedah ini, sesuatu bidang ilmu itu amat
mudah dipelajari samada secara sengaja mahupun secara kebetulan. Dalam seminggu
dua ini, kita mula mengenali istilah-istilah dalam ilmu penerbangan. Secara
asasnya kita sendiri boleh bercakap hal-hal aeronautik kerana mula faham
istilah-istilah seperti radar, air
turn-back, ping, satelit, transponder,
SAR dan ACARS. Walhal sebelum insiden MH370, hal-hal
penerbangan agak asing buat sebahagian besar daripada kita.
Tak
kenal maka tak cinta. Samada secara tidak sengaja ataupun terpaksa, sesuatu
bidang ilmu itu boleh dikuasai jika kita terus memberi fokus terhadapnya. Ilmu
menjadikan kita alim iaitu orang yang menguasai ilmu itu. Cara yang pantas
menguasai sesuatu bidang ilmu itu ialah dengan memahami istilah-istilah asas
bidang ilmu itu. Istilah-istilah itulah yang memberi makna kepada bidang ilmu
itu. Sesuatu yang bermakna itu akhirnya akan diminati si pengamalnya.
Artikel ini insya-ALLAH akan terbit di akhbar Sinar Harian esok, 19.3.2014.
Artikel ini insya-ALLAH akan terbit di akhbar Sinar Harian esok, 19.3.2014.
No comments:
Post a Comment