Piccredit: ngm.nationalgeographic.com
DI ANTARA
KUALITI & KUANTITI
KUALITI & KUANTITI
PADA Jumaat lalu, saya menghadiri jemputan sebagai ahli panel
di Program Persuratan Sempena Ulangtahun Kemerdekaan yang ke-57, anjuran Majlis
Masyarakat Sivil dan Majlis Perbandaran Taiping, Perak. Separuh jalan majlis dialog
itu berlangsung, saya berbisik untuk mengingatkan moderator majlis Saudara
Sallehuddin Ibrahim. ‘Ingat tak, semalam saya beritahu yang saya hendak beri sedikit
kuliah menggunakan slaid.’
Beliau mengangguk tanda maklum. Namun, biasalah dalam
mana-mana majlis bual bicara, masa sentiasa mencemburui kita. Hampir jam 4.30
petang nampaknya persembahan saya itu pasti kesuntukan masa kerana majlis tamat
jam 4.45 petang. Apa yang boleh saya sampaikan dalam masa 15 minit, sedangkan
lazimnya saya sampaikan ceramah saya sekitar 60 minit? Para hadirin pasti berasa
terkilan kerana tidak puas dengan persembahan yang begitu ringkas.
Alhamdulillah, tiba-tiba timbul pula idea jawapannya. Sebaik
sahaja slaid terpapar di skrin, saya mulakan dengan kata-kata, “Kita boleh menangis
menonton filem Hindustan selama 3 jam atau menangis menonton drama Melayu
selama 30 minit. Tetapi kita boleh juga menangis bila menonton iklan Petronas yang
berdurasi 30 saat.
Begitu juga, kita baru kenyang bila makan secara buffet di
hotel selama 2 jam. Kita juga boleh kenyang setelah makan selama 20 minit di
majlis perkahwinan. Tetapi ada ketikanya kita boleh juga kenyang walaupun hanya
bersarapan selama 2 minit.”
Kata-kata pembukaan saya itu memberi mesej bahawa mereka
tetap akan mendapat pengajaran yang maksima meskipun masa untuk penyampaian itu
begitu singkat. Leganya hati apabila para hadirin memberi tepukan yang spontan
dan kuat sebaik sahaja saya mengakhiri persembahan. Ia petanda yang mereka berasa
puas dan faham dengan penyampaian yang pendek tetapi padat itu.
Masa. Ia amat tepat. Setiap saat, minit dan jam itu boleh disukat
kuantitinya. Dalam pada itu, masa juga begitu organik dan longgar. Sebab itu
kita boleh lakukan banyak perkara yang berkualiti dalam waktu yang singkat dan ada
ketikanya kita perlukan masa yang panjang pula untuk mendapatkan hasil kerja yang
berkualiti.
Malangnya, dunia pada hari ini hanya menagih penghasilan
kualiti dan kuantiti kerja dalam masa yang singkat. Akhirnya kita menjadi
manusia sibuk. Sibuk mengejar masa dengan segala kerja tidak pernah siap, malah
semakin bertambah. Kejayaan mencapai target itu hanya sementara apabila arasnya
dipertingkatkan. Maka tertunduk-tunduklah kita bekerja. Aplikasi e-mel, mesej
dan imej menjadikan kerja mengejar kita hingga ke tempat tidur. Memanglah dengan
cara berebut-rebut itu kita dapat menghasilkan kerja yang berkualiti. Tetapi dalam
waktu yang sama ia menurunkan kualiti kemanusiaan kita.
Baru-baru ini saya dipelawa oleh Husni Hashim, seorang rakan
sekuliah untuk menyertai grup ITM Dungun 75 di aplikasi mesej Whatsapp. Wah, apabila saya menyertainya, saya yang
menuntut di Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka UiTM mendapati lebih 50 teman-teman
menganggotai kumpulan itu. Saya berasa bahagia kerana dapat menemui mereka setelah
hampir 40 tahun tidak bermesra.
Boleh dikatakan, sejak itu saya akan bersembang secara
bermesej dengan mereka. Secara khusus tiada seorang pun di antara mereka yang
berada di bidang persuratkhabaran. Bidang Seni Lukis dan Seni Reka pula telah
saya tinggalkan lebih 30 tahun yang lalu. Justeru itu, sembang-sembang itu lari
daripada bidang kerjaya saya.
Kerana itu, apabila berinteraksi dengan mereka, saya tidak
terkejar-kejar mengikut mod kerja saya lagi. Saya lebih relaks melayan lawak,
bertukar cerita, video dan imej. Namun, apakah saya mengabai tugas hakiki saya?
Anehnya tidak. Sebaliknya, dengan berkomunikasi secara lebih santai, saya dapat
rasakan roh silaturrahim bersama mereka. Seolah-olah saya terbang melepasi zon
masa 40 tahun yang lampau. Ia membuatkan minda saya segar bugar.
Bersembang secara santai tanpa mempedulikan masa itu
memanusiakan kita. Terkejar-kejar dengan kerja hingga tidak mempedulikan mereka
di sekeliling itu merobotkan kita. Tetapi apakah kita perlu memilih samada kita
mahu menjadi manusia yang berkualiti atau robot yang sentiasa menghasilkan
kuantiti?
Pada saya, biarlah kita jadi memanusiakan diri dengan segala
gaya ketenangannya. Namun, seandainya kita terpaksa berkejar dan berlari, mengikut
segala peraturan, sistem dan etika, ia bukan sekali-kali menandakan kita ini
robot. Sebaliknya ia adalah bukti nyata bahawa kita adalah manusia bertaraf
hamba yang terpaksa akur dengan segala arahan tanpa soal sepertimana setiap
bintang dan planet yang bertebaran di Bima Sakti.
Insya-ALLAH, artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian esok, 10.9.2014.
Insya-ALLAH, artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian esok, 10.9.2014.
No comments:
Post a Comment