Piccredit: 973fm.com.au
HADIAH
TIDAK SEMESTINYA
BERNILAI
SEKITAR bulan Ogos pada tahun lalu, saya ke pawagam
untuk menonton wayang. Sedang asyik menonton trailer filem, muncul montaj sebuah iklan patriotik. Saya sedikit
kaget apabila lampu pawagam dinyalakan. Terpapar
imej bendera Malaysia di skrin dan kedengaran suara latar meminta para penonton
berdiri kerana lagu Negaraku akan dimainkan. Hampir kesemua para penonton
berdiri. Ada yang bangun kerana orang lain berdiri. Tidak kurang juga yang
buat-buat tidak tahu. Bagaimana pun mereka berdiam tatkala lagu Negaraku
dimainkan hingga selesai.
Pada tahun ini juga, pihak pengusaha pawagam bersetuju
untuk menyemarakkan rasa cintakan negara dengan memainkan lagu Negaraku sebelum
tayangan filem. Usaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia menggalakkan pihak
swasta sama-sama mengambil inisiatif meraikan kemerdekaan harus disambut dengan
positif oleh semua. Para penonton di pawagam adalah captive audience. Tayangan lagu Negaraku di situ tentunya berkesan.
Saya teringat di zaman persekolahan, ketika itu saya
menjadi pengawas. Perhimpunan pagi diadakan pada setiap Isnin. Ada ketikanya
giliran saya ditugaskan untuk menaikkan Jalur Gemilang di tiang bendera seiring
dengan nyanyian lagu Negaraku oleh para pelajar.
Pada peringkat awal saya bertugas, pernah juga bendera
yang dinaikkan tidak seiring dengan nyanyian para pelajar di perhimpunan itu. Akibatnya,
lagu sudah tamat tetapi bendera tidak sampai juga ke puncaknya. Maka cepat-cepat
saya naikkan bendera sambil telinga saya menangkap gelak tawa para pelajar di
atas ketidakcekapan saya. Pernah juga bendera sudah sampai di puncak tetapi
lagu nyanyian pelajar belum selesai. Maka saya terpaksa menurunkan bendera
kembali sedikit dan menunggu ungkapan ‘raja kita selamat bertakhta,’ sebelum
menaikkan semula bendera ke tempatnya.
Bendera adalah di antara lambang identiti sesebuah negara. Ia adalah simbol kemegahan dan kebanggaan rakyatnya. Bagaimana pun, rasa bangga itu menjelma seandainya perasaan itu disemai dan dipupuk sedari kecil. Penghormatan kepada bendera sebagai tanda megah dan sayang rakyat kepada negaranya itu akan tertanam di dalam diri. Kerana itu, setelah dewasa pun, sebaik sahaja seseorang itu terpandang bendera negaranya terkibar, bulu romanya akan turut berdiri.
Sebaliknya, jika perasaan ini tidak ditanam dan dipupuk
di jiwa sesiapa sahaja sejak kecil, mereka tidak akan punyai perasaan bangga
ini. Ramai juga anak-anak muda pada hari ini yang tidak punyai apa-apa rasa
apabila memandang terkibarnya Jalur Gemilang. Bukan salah mereka jika perasaan
ini tidak disemai secara serius ke dalam diri mereka di peringkat kanak-kanak
sehingga apabila dewasa, mereka tidak punyai perasaan dengan bendera negara
mereka sendiri.
Betapa pun, ia tidak bererti mereka tidak sayangkan
negara mereka. Mungkin mereka punyai cara lain untuk berasa sayang terhadap
negara. Hanya nilai penghayatan mereka yang berbeza. Jika ramai di antara kita boleh berasa lump in our throat apabila terpandang Jalur Gemilang, ia datang kerana
semangat. Dan semangat itu adalah spiritual.
Ada juga mereka yang tunjukkan rasa sayang mereka
kepada negara dengan menyumbang tulang empat kerat, masa dan wang secara
sukarela. Itu semangat bersumberkan material. Dalam pada itu, ada juga yang
berasa cintakan negara dengan cara mental. Mereka ini menyumbang idea,
pemikiran dan gagasan kepada negara kerana kasihkannya. Tetapi, mereka ini
mungkin tidak dapat menyanyikan lagu Negaraku dengan baik. Ia tidak bererti
sama sekali bahawa mereka ini tidak cintakan negara ini.
Masing-masing punyai cara tersendiri untuk menunjukkan
kasih. Seperti seorang ayah yang tidak punyai masa untuk berjalan-jalan dengan
anaknya, dia mungkin menunjukkan kasihnya dengan wang ringgit dan mainan. Ataupun
seorang isteri menunjukkan kasih terhadap suaminya melalui masakannya walaupun
saban hari dia berleter.
Namun, yang penting, nilai kasih sayang yang hendak
diberi itu perlu seiring dengan kehendak si penerima. Si anak yang mahukan
kasih sayang tidak akan sayangkan bapanya meskipun si ayah membelikannya segala
barangan. Seseorang suami tidak akan menyambut sayang isterinya walaupun
masakannya bertaraf chef sedangkan apa yang dia mahukan ialah suara lemah
lembut isterinya.
Dalam soal memberi dan menerima, apa yang dihargai oleh si penerima ialah apa yang dipintanya. Si pemberi tidak boleh memaksa si penerima akur dengan pemberian itu, mentang-mentang kerana si pemberi itu di pihak yang berada. Pendek kata, apa yang berharga di mata pemberi mungkin tiada nilai di mata si penerima.
Insya-ALLAH artikel ini akan tersiar di akhbar Sinar Harian pada 17.9.2014
Dalam soal memberi dan menerima, apa yang dihargai oleh si penerima ialah apa yang dipintanya. Si pemberi tidak boleh memaksa si penerima akur dengan pemberian itu, mentang-mentang kerana si pemberi itu di pihak yang berada. Pendek kata, apa yang berharga di mata pemberi mungkin tiada nilai di mata si penerima.
Insya-ALLAH artikel ini akan tersiar di akhbar Sinar Harian pada 17.9.2014
No comments:
Post a Comment