Piccredit: themalaymailonline
APA KURANGNYA
DOSA AKU DAN DIA?
APA KURANGNYA
DOSA AKU DAN DIA?
KITA kecoh pula dengan insiden beberapa orang gadis memeluk,
dipeluk dan dicium oleh penyanyi sebuah kumpulan K-pop dalam sebuah acara di
konsert mereka baru-baru ini. Kecoh kerana belum pernah terjadi perlakuan
begitu oleh gadis-gadis bertudung. Tudung tidak menggambarkan kealiman seperti
juga, kopiah tidak menggambarkan kewarakan seseorang terhadap agamanya.
Sebelum ini, ada juga insiden terpencil di mana terdapat peminat
wanita atau gadis yang naik ke pentas untuk mencium artis tempatan yang mereka gilai.
Apakah tiada peminat lelaki yang naik ke pentas untuk mencium penyanyi wanita?
Belum pernah terdengar pun. Namun, ia bukan bererti peminat lelaki tidak
berbuat begitu. Kita ada juga terbaca insiden di mana penyanyi wanita diraba
oleh peminat lelaki. Itu lebih berbahaya kerana mempunyai niat berbuat begitu
sebelum melangkah ke atas pentas.
Saya juga menonton klip video berdurasi 3.22 minit yang menjadi
viral itu. Daripada perlakuan
gadis-gadis itu, saya tidak nampak ada unsur paksaan ke atas mereka. Namun,
terdapat unsur galakan dan gesaan daripada para penonton sehingga kelakuan mereka
yang pada mulanya teragak-agak berubah
menjadi perbuatan yang merelakan.
Gadis-gadis itu mula terpana kerana kesan mob psychology yang memuncak dalam
suasana yang gamat itu. Perilaku khalayak yang bersorak-sorai mempengaruhi mereka
hingga hilang rasa tanggungjawab terhadap diri mereka sendiri.
Tidak adil mengatakan bahawa gadis-gadis itu sudah biasa
dengan perbuatan sumbang sebegitu. Body
language mereka tampak takut, malu dan kekok. Petanda mereka bukannya jenis
gedik malah tidak biasa berkelakuan begitu. Tetapi, apabila dipanggil menaiki
pentas, mereka menjadi captive audience.
Terperangkap dengan suasana kerana sudah tidak boleh lari.
Keseronokan bertemu dengan penyanyi yang diminati secara live itulah yang menjadikan mereka hilang
pertimbangan lalu mereka lemas. Ada juga yang mula malu lalu menutup wajah
setelah dipeluk. Tersedar dengan apa yang terjadi. Tetapi, terdapat insiden di
mana salah seorang gadis pula yang menerpa minta dipeluk penyanyi K-pop itu!
Yang pasti, apabila video perlakuan mereka tersebar,
sudah pasti terdapat yang menonton video itu terdiri daripada sahabat handai
mahupun saudara mara mereka. Mungkin pada saat ini, insiden itu sudah sampai
kepada anggota keluarga masing-masing. Mudah-mudahan mereka sedar di atas
keterlanjuran mereka dan memohon maaf kepada semua yang tersayang dan tidak
lupa untuk bertaubat kepada Yang Maha Pengampun.
Kita semua yang membaca berita mahupun menonton klip
video itu jangan pula melihat ia sebagai kisah orang. Ia adalah juga kisah kita
dalam bentuk yang berlainan, dengan wajah yang berbeza. Malah, pada setiap saat,
kita juga berdepan dengan cabaran-cabaran yang menggugat iman. Kita semua
adalah insan-insan yang membuat pahala. Kita juga adalah manusia yang berbuat
dosa. Bezanya kita dengan orang lain ialah besar atau kecilnya pahala dan dosa
kita.
Kita boleh kata yang kita tidak mungkin naik ke pentas
untuk diciumi penyanyi. Seandainya kita berdepan dengan keadaan sebegitu, kita
boleh sahaja menolaknya. Ataupun, kita boleh berkata ‘tidak’ dengan yakin. Tetapi,
dalam pada itu, apakah mungkin kitalah peminat yang menyimpan paling banyak CD,
video, poster dan memaparkan wajah penyanyi yang kita minati itu di desktop komputer atau di skrin telefon.
Jika gadis-gadis itu telah pergi ke konsert lalu melangkah
masuk ke dunia pentas artis yang kita nampak begitu jijik, apa kurangnya kita
yang mengizinkan imej dan suara artis-artis itu masuk ke dalam bilik tidur kita
lalu mendodoi kita hingga terlena? Oh, rupa-rupanya kita tidak ada kurangnya.
Berhibur ada batasnya. Ia punyai definisi. Jika kita
berhibur tanpa memahami apa itu hiburan, ia seolah-olah menggambarkan kita yang
tidak tahu apa yang kita buat, atau tidak memahami mengapa kita perlukan
hiburan itu sendiri. Jika kita kata yang kita sudah dewasa dan bebas melakukan
sesuatu, kita juga mesti berfikiran matang dan bebas untuk meninggalkan
kebebasan yang telah kita lakukan.
Apa yang telah kita mulakan boleh sahaja kita hentikan. Apa
yang kita sukai boleh sahaja kita bencikan. Apa jua yang kita gemari boleh
sahaja kita tinggalkan. Jika kita tidak boleh meletak noktah di hadapan langkah
kita ia bererti kita sudah ditawan dengan kebebasan yang kita cari-cari.
Kebebasan yang hakiki ialah kebebasan roh kita untuk
pulang ke tempat asalnya. Jangan sekali-kali biarkan ia terperangkap di
mana-mana.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Haraian esok 14.1.2015...
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Haraian esok 14.1.2015...
Bhai Eyman...
ReplyDeleteTerbaiklah artikel ini.... Gua sokong....
Terima kasih, bro!
ReplyDelete