Tuesday, January 20, 2015

MENANGANI PROVOKASI


 
 
Piccredit: ap-download.bestsitehoster.com
ADA ORANG MENGATA
UNTUK MENGUJI

TIRA tidak mahu keluar bilik apabila saya berkunjung ke rumah jiran saya, Hasri. Biasanya, dialah yang akan membuka pintu sambil tersenyum meleret. Setelah bersalam dan mencium tangan saya, baharulah dia masuk ke bilik. Tetapi petang itu, wajah anak kecil 5 tahun itu tidak kelihatan menyambut kedatangan saya. Hanya kelibatnya yang saya lihat sebaik sahaja saya melabuhkan punggung di sofa.  Saya jadi hairan, mengapa dia tidak tampil untuk bersalam dengan saya seperti lazimnya.

Sambil tersenyum, ayahnya berbisik kepada saya. Katanya, Tira kini murung kerana tidak tahan dengan ejekan kawan-kawan kerana digelar ‘Tira K-Pop,’ kerana kononnya berpeluk di khalayak ramai. ‘Semalam, masa saya nak ambil Tira, dia tidak sempat mengelak seorang budak lelaki yang sedang bermain kejar-kejar di belakangnya. Ketika dia menoleh, budak lelaki itu tiba-tiba datang menerpa… langsung terpeluk. Riuh sungguh bebudak lain ketawakan dia.’ kata Hasri. ‘Saya ingatkan, kes semalam sudah selesai. Tapi hari ini dia masih diejek. Itu yang buatkan Tira tak mahu keluar bilik. Seolah-olah satu dunia dah tahu dia terpeluk budak lelaki. Malu kalau-kalau awak jugak yang ketawakan dia.’

Saya tidak hairan dengan apa yang Tira alami. Salah faham orang hingga menjadi ejekan sudah jadi lumrah. Semakin dia membesar, dia akan berdepan dengan keadaan yang lebih menghiris perasaan lagi. Mudah-mudahan, Tira dapat bertenang menerima ejekan. Ia adalah di antara kemahiran yang perlu dia hadapi di dunia ini.

Zaman sekarang bukan sahaja zaman seseorang mengkritik seseorang yang lain dengan telus. Sebaliknya, ia adalah zaman mengata, mengumpat, menggelar, mengejak, menyumpah seranah dan memaki hamun. Banyak situasi pada hari ini bilamana orang yang dikritik itu tidak ada kena mengena dengan si pengkritik. Malah, yang dikritik itu pun tidak tahu menahu yang dia dikritik hebat. Yang penting, si pengkritik itu puas mengata. Dia tidak peduli samada orang yang dia kritik itu mendengar kritikannya ataupun tidak. Yang penting, dia dapat melepaskan perasaannya.

Media sosial adalah tempat bercambahnya budaya kata mengata ini. Seseorang yang tidak biasa dengan terjahan kata-kata nista ini boleh jatuh murung hingga menjejaskan psikologi diri. Banyak juga kes-kes bunuh diri yang berlaku apabila seseorang itu tidak tahan dengan tulisan laser orang lain. Ia sudah termasuk di bawah kategori jenayah siber.

Saya sendiri pernah berdukacita apabila dikata nista oleh mereka yang mengkritik karya kreatif awal saya di sebuah ruangan forum. Terasa dunia menjadi gelap. Dada berdegup kencang. Hati seperti dicarik-carik kerana berasa bodoh dan terhina. Saya pinta nasihat seorang sahabat untuk menenangkan hati. Tetapi setelah sekian lama, saya sudah bersedia dan boleh menerima kritikan yang pedas mahupun pahit. Orang kata, boleh maintain cool.

Dalam pelbagai keadaan, kita akan berdepan dengan kritikan. Ada kritik membina, tetapi lebih banyak kritik untuk menjatuhkan. Ia menyakitkan. Tetapi yang lebih penting ialah bagaimana kita menanganinya. Kita boleh ambil sesebuah kritik samada yang disampaikan dengan bahasa yang berlapik ataupun membuta tuli secara positif. Jika kita ambil ia secara peribadi, ia boleh memakan hati hingga kita menjadi stres, marah, malah boleh bertindak liar!  

Sesiapa sahaja boleh mengkritik. Tetapi bila kita yang menerimanya boleh mengawal diri, baharulah kita boleh bertenang. Yang lebih penting bagi kita ialah pendirian untuk memaafkan sesiapa sahaja yang mengkritik kita sebelum mereka membuka mulut atau mencatat di halaman sosial kita. Memaafkan sebelum menerima kritik itu bermakna, kita sentiasa bersedia untuk menjawab kritik dengan senyuman.

Ada orang yang memang biasa menggunakan kata-kata yang hodoh tatkala bertutur mahupun menulis. Jangan berasa hati. Anggaplah mereka ini sebagai manusia yang tidak cukup perbendaharaan kata yang indah-indah kerana membesar dalam persekitaran yang kasar. Tidak wajar jika kita pula membalas segala kata nistanya terhadap kita. Itu akan menjadikan kita serupa seperti dia.

Akhir-akhir ini terdapat perangai sesetengah manusia yang kerjanya bukan mengkritik apa yang dia anggap keburukan yang telah kita lakukan.  Sebaliknya, mereka hanya sengaja mengacum perasaan ~ memukul gendang agar kita menari kerana latah. Usah dilayan pada semua provokasi terutamanya daripada mereka yang tidak ada kena mengena dengan kita. Ini adalah kerana, semakin dilayan, semakin galaklah mereka mengacah perasaan kita.

Buat-buat tidak tahu sahaja. Buat-buat bodoh sahaja. Seperti kanak-kanak yang mengejek kita, apakah kita akan berasa hati? Kita hanya gelak sahaja dan tidak berasa hati kerana tahu kanak-kanak belum cerdik akalnya.  Begitu juga dengan orang yang melakukan provokasi. Mereka tidak perlu dipedulikan. Usah hiraukan mereka sehingga orang yang melakukan provokasi itu penat terlompat-lompat sendirian.

Maaf cakap, lidah dan pena hanya boleh mencederakan perasaan jika kita tidak kebal jiwa.
Insya-ALLAH, artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 21.1.2015.

No comments:

Post a Comment