Tuesday, March 10, 2015

KEKUATAN DARI DALAM


Piccredit: behindthehustle.com
BERANI MENGAKU
SILAP DAN SALAH

DALAM kehidupan ini kita kerap melakukan kesilapan. Malah, pada setiap hari, kita akan melakukan kesilapan akibat kecuaian. Kecuaian ini berpunca kerana salah pertimbangan.  Apabila menuang air ke dalam gelas yang dipenuhi ais, air yang dituang boleh memercik ke meja kerana kita tidak terfikir air itu akan terjirus ke atas ais lalu tumpah dari gelas.

Kesilapan juga bisa terjadi akibat kegopohan. Oleh kerana terlalu yakin yang kita akan sempat lolos lampu merah di persimpangan, kita memecut hingga nyaris menyondol motorsikal yang melintas apabila lampu dari hala hadapan sudah bertukar hijau. Pada banyak ketika, perkara yang kita lakukan setiap hari pun boleh tersilap seperti tersalah pilih kunci untuk membuka pintu rumah.

Bumi mana yang tidak ditimpa hujan? Demikian kata-kata orang tua yang membawa maksud, manusia manakah yang tidak membuat kesilapan? Mana mungkin kita lari daripada melakukan kesilapan? Ya, kesilapan akan membuat kita kesal. Kesal kerana kita berasa yang kita tidak patut melakukan sesuatu kesilapan.

Jika kesilapan itu diketahui orang, kita jadi malu kerana reaksi mereka yang mempersenda atau mentertawakan kita. Lebih-lebih lagi, masyarakat di luar sana, yang tidak mengenali kita pun adalah masyarakat yang tidak cakna. Apabila mereka tahu kita melakukan kesilapan, kita akan dikata dan dikutuk tanpa belas kasihan. Dalam pada itu, jika kita melakukan sesuatu yang betul, tidak ramai yang tahu, apatah lagi yang peduli, lalu memuji.

Kerana itu, apakah pilihan kita? Apakah jalan terbaik ialah berdiam diri kerana tidak mahu mengulangi kesilapan lagi? Sebenarnya, terdapat dua golongan manusia yang tidak akan membuat kesilapan. Yang pertama, mereka yang belum lahir. Kedua, mereka yang telah meninggal dunia. Justeru itu, jika kita memencilkan diri, biarlah ia sekadar untuk bermuhasabah dan mengumpul kekuatan sebelum kita tampil kembali ke khalayak ramai.

Bila kita renungkan, kesilapan itu adalah pengajaran yang amat berkesan. Tanpa kesilapan, kita akan berasa diri kita sentiasa betul. Sepertimana kita sesat jalan apabila hendak pergi ke sesebuah tempat, sesat itu sendiri adalah kesilapan-kesilapan yang kita harungi sebelum bertemu dengan kebenaran, iaitu tempat yang dituju. Apabila kita pernah sesat ketika mencari tempat itu, hampir mustahil kita akan sesat lagi jika kita ke tempat itu di lain waktu.

Kerana itu, kita seharusnya memandang kesilapan itu dari sudut yang positif. Sekurang-kurangnya ia memberi gambaran bahawa kita adalah manusia siuman kerana dapat membezakan yang mana betul dan yang mana salah. Kesilapan itu umpama jalan-jalan berliku yang harus kita lalui untuk tiba ke matlamat yang dituju. Tanpa kesilapan, kita tidak akan tahu untung rugi apa yang kita pilih.  

Kereta yang dicipta itu akan diuji dengan pelbagai cara untuk mempastikan ketahanannya ketika ia dipandu laju.  Kita pula amat beruntung kerana tidak diuji dalam keadaan yang laju dan deras seperti kereta kecuali apabila kita di dalam kenderaan itu sendiri. Ertinya, dalam apa jua keadaan yang mendatang, apa yang sampai biasanya tiba satu persatu dan jarang sekali serentak.

Jika kita analogikan situasinya, apabila kita berjalan ke sesebuah tempat di dalam kesesakan orang ramai, masalah yang datang itu umpama orang ramai yang menghampiri dan melewati kita. Kita masih sempat mengiringkan tubuh dan mengelak daripada merempuh mereka. Ertinya, betapa banyak pun masalah yang mendatang, kita masih mampu menangani kesilapan yang terjadi kerana biasanya ia akan sampai satu demi satu.

Betapa pun, terdapat dua perkara yang penting dalam menghadapi kesilapan. Pertama, kepandaian kita agar tidak mengulangi kesilapan. Kesilapan yang berulang, lebih-lebih lagi yang disengajakan pula adalah suatu kesalahan. Taubat itu sendiri diampun kerana memohon maaf akibat kesilapan. Ia belum tentu diampun jika kita sebagai pelaku mengulanginya, lebih-lebih lagi berbangga pula dengan kesalahan yang dilakukan.  

Kedua, adalah sikap berani mengaku kesilapan. Mengaku kesilapan adalah sikap terpuji kerana seseorang yang mengaku silap itu sedia menerima ejekan dan cemuhan kerana kesilapannya itu. Dia juga berani dengan risiko seandainya kesilapan itu tidak dimaafkan.

Mengaku akan kesilapan itu adalah pengakuan terhadap kelemahan diri. Sebaliknya, tidak mengaku akan kesilapan itu adalah petanda bahawa seseorang itu sudah bongkak, malah bersikap sombong kepada hakikat kebenaran. Daripada segi lahiriah, dia mungkin kelihatan gagah memperisai diri dengan segala penafian. Daripada segi batiniah, penafiannya itu adalah tembok penghalang yang menyukarkan rohnya untuk pulang.

Insya-ALLAH, artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian esok, 11.3.2015.

No comments:

Post a Comment