Piccredit:peninsulahealth.au
ORANG MEDIALAH
TETAMU VIP SEBENAR
TETAMU VIP SEBENAR
DARI semasa ke semasa, saya dijemput menghadiri pelbagai
majlis perasmian, pelancaran produk atau perkhidmatan serta kempen, samada oleh
pihak kerajaan mahupun swasta. Setelah menghadiri pelbagai majlis di merata
tempat, saya dapati di antara perkara yang selalu terjadi ialah ketidaktepatan
masa bermulanya majlis.
Hadirin sudah tiba. Malah tetamu jemputan pun sudah
sampai. Apa yang biasa melewatkan ialah kelambatan pihak penganjur memulakan
majlis. Kita akan nampak pengacara majlis ke hulu ke hilir naik dan turun
pentas kerana menunggu VIP yang, walaupun ada kalanya sudah tiba, lambat diajak
pihak penganjur untuk ke pentas.
Majlis-majlis rasmi pada hari ini sudah canggih.
Pencahayaan biasanya menarik. Dewan lazimnya dingin dan selesa. Malah, gimik
pelancaran selalunya memukau pandangan dan pendengaran. Tetapi semua itu hanya
akan dapat dilihat setelah puas menunggu seorang demi seorang ke pentas untuk
menyampaikan ucapan. Dalam ucapan pula, kalau boleh orang yang berucap itu akan
menyebut nama semua dif-dif kehormat, siap dengan bin dan bintinya, darjat, pangkat
dan juga kelulusannya.
Saya biasa terjeling pada hadirin yang sekali-sekala
menekur melihat jam tangan kerana penat menunggu acara kemuncak. Ada yang mula
berbisik-bisik untuk menghilang bosan. Ramai yang lain pula asyik memicit telefon pintar masing-masing. Jasad
di dalam dewan, jiwa mereka sudah terbang jauh dari tempat mereka berada.
Semua jemputan yang datang itu mempunyai komitmen lain.
Masa mereka terhad. Mereka hadir untuk meraikan sebagai tanda penghormatan dan pengiktirafan
kepada yang menjemput. Tetapi, bukankah amat molek jika pihak penganjur dapat menyediakan
teks ucapan yang ringkas untuk tetamu utama. Tujuh minit sudah memadai termasuk
segala bunga-bunga kata.
Kemudian, lancarlah majlis dan jemputlah hadirin untuk
menjamu selera. Dalam apa-apa majlis rasmi, acara jamuan sepatutnya diutamakan.
Bukannya sangat untuk membuncitkan perut, tetapi pada ketika itulah
masing-masing dapat berbual dan berbicara dengan santai. Bagi orang bisnes atau
pentadbir, saat bersosial itulah yang dinanti-nantikan. Tatkala itu, kad nama dihulur.
Nombor telefon pun saling bertukar. Dan, hasrat untuk membuat kontak selepas
majlis itu untuk kepentingan bersama dapat disuarakan.
Untuk apa majlis pelancaran atau perasmian itu diadakan
jika tidak untuk mendapat hebahan di laman sesawang, media elektronik dan media
cetak? Setelah para jemputan mengisi perut dan bertukar maklumat, mereka akan
berpisah. Tetapi, dalam masa sejam hingga ke esok hari, apa yang diinginkan
oleh pihak penganjur ialah mendapatkan siaran mengenai majlis itu. Di sinilah
peranan orang media.
Mereka bertugas untuk merakam apa yang berlaku di dalam
majlis itu untuk tatapan ribuan, malah jutaan mereka yang tidak berkesempatan
atau tidak tahu pun mengenai majlis itu. Pada sebelah petangnya, berita majlis
itu boleh diikuti di laman-laman web. Di sebelah malam pula, ia dapat ditonton di
kaca televisyen, didengar di radio dan ditatap di dada akhbar pula pada
keesokan harinya. Malah, pada hujung minggu ataupun pada bulan hadapan, ia
dapat pula dibaca di majalah-majalah.
Oleh kerana itu, mengapa ada pihak yang masih lagi membiarkan pengamal media
berkeliaran di sudut-sudut dewan, di bahagian belakang, malah di luar dewan
perasmian? Para jemputan, walaupun mereka meramaikan majlis, mereka hanya ada
pada ketika itu. Apabila selesai majlis, mereka akan ke tempat lain lalu
melupakan majlis itu samasekali.
Sebaliknya, pengamal medialah yang akan berbincang untuk memberi
karangan yang menarik untuk sesebuah majlis yang mereka liputi. Untuk laman
sesawang, mereka boleh meletakkan beritanya di bahagian paling atas. Untuk
televisyen pula, berita serta video dan suara adalah anggap berita utama. Bagi akhbar
pula, halaman-halaman hadapan akhbar adalah tempat yang akan menarik perhatian para
pembaca.
Jika pengamal media diberi tempat duduk di meja-meja
hadapan, mereka mudah merakam majlis, mendapat maklumat penting daripada
penganjur serta VIP-VIP yang duduk berhampiran. Paparan wajah-wajah VIP serta
komennya mengenai majlis itu akan memberi mileage
kepada liputan berita. Lagi mudah para wartawan bila dapat menemubual dengan
bebas, mereka akan lagi seronok dan akan bersemangat untuk memberi ruang yang
lebih besar kepada majlis penganjur.
Oleh itu, pihak yang mengenepikan pengamal media di dalam
sesebuah majlis, malah menganggap melanggar protokol jika mereka duduk di
barisan hadapan, mereka sebenarnya yang rugi. Para pengamal media, meskipun mereka tidak
berkot dan bertali leher, kelibat mereka sebenarnya sentiasa diperhatikan
dengan rasa hormat oleh seluruh hadirin.
No comments:
Post a Comment