Tuesday, July 31, 2012

TEMBOK PSIKOLOGI



Photo credit: spring.org.uk

SIAPAKAH YANG
MENGONGKONG KITA?

PAGI tadi saya menyertai sebuah sesi perbincangan hangat di laman Facebook, dalam grup Novelis Alaf 21 di mana saya menjadi ahlinya. Ketua Editornya, Puan Sa’adiah Mohamed telah memaparkan sebuah e-mel daripada seorang penulis untuk perbincangan ahli-ahli di dalam grup ini.


Si pengirim mengatakan para editor di syarikat penerbitan novel Alaf 21 terlalu mengongkong penulis dengan mengenakan pelbagai panduan dan peraturan. Dakwanya, peraturan-peraturan yang dikenakan oleh para editor mengekang kreativiti penulis. Ini akhirnya akan menjadikan hasil karya penulisnya jadi stereotaip.

Persoalan yang dikemukakan adalah mengenai peraturan yang dikenakan terhadap penulis. Seandainya penulis tidak dapat mematuhi peraturan itu, karyanya akan ditolak oleh editor Alaf 21. Inilah yang menjadikan penulis e-mel itu berasa dirinya terkongkong dengan peraturan itu dan meminta ia dilonggar kalau tidak dihapuskan sama sekali.

Daripada semasa ke semasa kita akan mendengar betapa peraturan, prosedur dan panduan akan mengongkong kebebasan, kreativiti, malah hak asasi manusia. Seolah-olah peraturan itu hanya membenarkan seseorang itu bergerak dengan tangan terikat. Sebenarnya, bila diperhalusi dan diteliti, apa jua panduan yang dikuatkuasakan itu bukannya menyekat. Sebaliknya ia bertujuan untuk mengawal agar sesebuah sistem itu berjalan lancar.

Sistem pula adalah satu bentuk aliran kerja di mana ia mesti menjadi anutan sesiapa yang terlibat di dalamnya. Sistem akan berjalan dengan baik dan berfungsi secara automatik  apabila semua pihak yang terlibat itu akur dengannya. Bagaimana pun, sistem itu sendiri akan tempang, malah akhirnya musnah sekiranya ada di antara individu di dalam sesebuah sistem itu melanggar peraturannya.

Kerana itulah, pada asasnya sesebuah peraturan itu mesti dipatuhi oleh semua agar tidak mematikan proses di dalam sesuatu sistem itu. Apa yang perlu dilakukan oleh seseorang yang menuruti sistem itu ialah bergerak dengan lebih cermat atau toeing the line. Masih boleh melangkah tetapi dengan perlahan.

Apabila kita sudah boleh akur dengan sistem itu, maka baharulah kita boleh bergerak lebih pantas asalkan tidak melanggar batas-batas yang disediakan. Persis kita sewaktu sekolah dahulu. Pada peringkat awal menulis A-B-C, cikgu tidak akan membenarkan kita menulis mengikut gaya tersendiri.

Huruf ‘A’ yang tidak tegak palangnya akan dikira salah oleh cikgu. Hanya apabila kita sudah mahir menulis, baharulah kita bebas menggunakan stail tulisan mengikut citarasa sendiri. Itupun asalkan ia masih boleh dibaca dan tidak seperti tulisan seorang doktor. (Maaf cakap, para doktor.)

Sebab itulah, jika kita kata kita kreatif, benar-benar kreatif, istilah ‘kongkong’ tidak timbul langsung dalam kamus minda kita. Orang kreatif tidak akan langgar peraturan yang dianggap sebagai halangan. Sebaliknya dia akan ‘mengatasi,’ ‘menembusi,’ atau ‘melalui’ tembok halangan di hadapannya.

Saya teringat bagaimana kreativiti syarikat-syarikat pengeluar rokok di Malaysia mengatasi kekangan peraturan tidak boleh mengiklan produk mereka di media massa pada tahun-tahun 80an. Mereka menjaja percutian, menaja peraduan dan acara sukan sebagai taktik mengiklan produk mereka. Sebatang rokok pun tidak mereka iklankan, namun jenama produk mereka terserlah secara meluas di TV dan akhbar. Untuk melariskan jualan kepada pelanggan baru dari kalangan remaja pula, mereka mengeluarkan sekotak rokok enam batang. Kejayaan syarikat rokok di Malaysia mengatasi kekangan peraturan kerajaan menjadi bualan di kalangan para pengiklan di seminar-seminar mereka di peringkat dunia.

Bagaimana pun, tentu sekali sesebuah peraturan yang menyukarkan itu boleh sahaja ditamatkan sama ada secara mutlak mahupun sementara. Saya teringat pada suatu ketika tatkala memandu di jalan sesak di Kuala Lumpur. Persimpangan jalan yang berlampu isyarat itu dikawal oleh polis trafik. Sebagai pengawal lalulintas, dia menjalankan kuasa untuk menahan dan memberi laluan kepada mana-mana kenderaan tanpa menghiraukan lampu isyarat. Teman saya yang duduk di sebelah menimbulkan persoalan yang menarik.

Katanya, ‘Polis akan saman kita kalau langgar lampu merah. Nah, sekarang mengapa polis suruh kita jalan juga walaupun lampu di depan itu masih merah?’ Jawab saya, ‘Polis itu bukannya menggalakkan kita langgar lampu merah. Sebenarnya, dia mengambil alih sistem lalulintas yang automatik tetapi tidak berkesan di waktu puncak kepada sistem manual! Dia hanya tukar sistem kawalan!’

Justeru itu, tiada sesiapa yang mengongkong kita. Minda kita sendiri yang meletakkan tembok psikologi itu.

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 1.8.2012, insya-ALLAH...

No comments:

Post a Comment