Photo credit: funzug.com
MENGUBAH
SUDUT PANDANGAN
PEMBERITAAN
SUDUT PANDANGAN
PEMBERITAAN
HARI ini 5 Ramadan. Mudah-mudahan sudah lima hari juga kita dapat terus meninggalkan
nafsu-nafsu amarah dan lawwamah yang selama ini merosakkan mental, fizikal dan
spiritual kita. Mudah-mudahan puasa juga meningkatkan istiqamah kita supaya
meninggalkan semua perlakuan sia-sia kita di sepanjang tahun, yang sudah
berakar menjadi tabiat.
Mudah-mudahan
juga puasa membuat kita berpaling 180 darjah (maaf cakap, ramai yang
menggunakan 360 darjah, sedangkan 360 darjah itu bermakna kembali ke tempat bermula)
dan menjadikan kita manusia yang berhati mutmainnah kembali.
Sebentar
tadi saya ditanya oleh seorang teman mengenai pemberitaan Sinar Harian pada
bulan puasa ini. Katanya, sebagai akhbar, tentu sekali yang panas dan berapi,
yang sensasi dan yang penuh konflik akan disiarkan kerana ia adalah berita. Tidakkah
Sinar mengambilkira, bentuk berita yang tersiar di bulan Ramadan itu seharusnya
lebih tertib?
Sambil
tersenyum dan mengiyakan persoalannya, saya akui melaporkan berita di bulan
puasa adalah cabaran buat para wartawan di akhbar Sinar Harian. Sebenarnya,
jika dosa dan pahala diambilkira, orang surat khabar boleh menghimpun banyak
dosa dan juga mengumpul banyak sekali pahala.
Sebuah
berita baik atau buruk tetapi disampaikan dalam bentuk yang mententeramkan hati
pembaca akan memperoleh kebaikan kerana para pembaca tidak diserabutkan
fikirannya. Tetapi, berita baik atau buruk yang disampaikan dalam bahasa yang jelek,
hingga menimbulkan kemarahan dan pertengkaran akan menghimpun dosa.
Menyampaikan
berita juga adalah ibadah dan juga maksiat jika salah penyampaiannya. Bayangkan
sekiranya hanya ada satu kebaikan diberi ganjaran10 pahala, jika digandakan
dengan 200,000 naskhah akhbar yang tercetak sehari misalnya, jumlah pahala yang
terkumpul akan menjadi dua juta. Katakanlah, jika ada 10 berita yang membawa
kebaikan dalam sebuah akhbar, seluruh redaksi Sinar akan berkongsi 20 juta
pahala dalam sehari. Justeru itu, bila apa yang disampaikan oleh akhbar Sinar
Harian mempunyai lebih banyak kebaikan daripada keburukan, mudah-mudahan ia juga
menjadi akhbar diberkati.
Dalam
pada itu, tentu sekali Sinar tidak boleh mengharapkan semua pihak termasuk ahli-ahli
politik, pentadbir, aktivis NGO dan sesiapa sahaja dapat menapis kata dan
perbuatan di bulan puasa ini. Malah, seboleh-bolehnya semua kata-kata mereka
samada yang baik dan yang tak elok akan dirakam para wartawan.
Dan,
Sinar akan siarkan apa yang diperkatakan dan apa yang berlaku dengan telus dan
tulus. Siapa dan apa yang diperkatakan tetap akan mendapat ruang. Cuma, besar
atau kecil, panjang atau pendek sesebuah berita itu terletak di tangan para
editor. Sebab itulah, banyak berita yang menimbulkan persepsi yang negatif akan
dikecilkan pada bulan puasa ini. (Mudah-mudahan, begitulah selepas Ramadan
nanti). Yang penting, ia tetap akan disiarkan.
Apakah
berita yang lebih tertib penyampaiannya akan kurang mendapat sambutan? Tidakkah
nanti pemberitaan yang kurang sensasi, kurang konflik dan kurang hangat akan
menjadikan jualan Sinar menjadi suam? Kepercayaan di dalam masyarakat bahawa no news is good news, tetapi bagi orang
surat khabar pula, bad news is good news sudah lama menjadi anutan.
Kerana
itulah, penyampaian berita yang menarik dan menguja tanpa perlu pada sensasi
adalah satu cabaran harian buat akhbar ini. Perhatian pembaca yang teruja
hendak tahu tiga orang yang mati dalam kemalangan bas misalnya, tetapi bukannya
40 lagi yang selamat memerlukan garapan yang cermat agar berita yang
disampaikan itu masih cukup perisa pembacaannya.
Sebenarnya,
sudah hampir setahun Sinar Harian berkesperimen dengan pendekatan yang lebih
menenangkan ini. Jika disedari, ruangan hiburan Sinar Harian, ZASS meletakkan
slogan ‘Hiburan Tanpa Gosip.’ Hiburan tanpa gosip? Biar betul! Namun, meskipun
pada mulanya ia menyongsang arus pemberitaan hiburan sesetengah akhbar di Malaysia,
pendekatan yang sedikit berbeza ini menjadikan segmen hiburan Sinar Harian
sebagai ruangan yang berkategori ‘U.’ Kami mendapat maklumbalas daripada
kalangan artis dan para pembaca yang menyukai dengan pendekatan pemberitaan
tanpa gosip. Segmen itu mendapat sambutan.
Bukannya
mudah menyejukkan benda yang panas dan begitu juga sebaliknya. Namun, di dunia realiti,
kita sudah terlalu banyak menerima pelbagai cerita, berita dan maklumat yang panas,
membakar dan menggelegak melalui media.
Mengapa
tidak kita menghidangkan api yang dingin?
Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 25.7.2012, insya-ALLAH...
No comments:
Post a Comment