Tuesday, July 3, 2012

GPS UNTUK DIRI



Photo credit: atmazoom.blogspot

UKIR ESOK DARI
TEMPAT KITA BERDIRI


SAYA terkejut bila sepupu saya bersama keluarganya tiba-tiba terjengul di depan pintu pada musim cuti sekolah baru-baru ini. Saya kagum, bagaimana dia boleh tiba ke rumah saya padahal dia tidak pernah sampai ke Petaling Jaya seumur hidupnya. Dengan bangganya dia menunjukkan alat GPS di telefon mudah alihnya. Inilah alat yang membolehkan dia menjejakkan kakinya ke rumah saya.

Berkali-kali dia memuji sistem ini kerana ia membantunya ke mana-mana samada ke Permatang Pauh, Pulau Pinang untuk menghantar anaknya ke UiTM atau menghadiri majlis perkahwinan anak rakannya di Tanah Merah, Kelantan.

Dalam diam, saya kagum dengan keyakinan tidak berbelah bagi sepupu saya dengan alat itu. Saya sendiri yang biasa menggunakan GPS selalunya tak tahan dengan celoteh suara komputer yang tidak henti-henti memberikan pelbagai arahan.  Biasanya tak sampai sejam, alat itu akan saya padam dan lebih rela memandu sendiri walaupun saya akhirnya akan jadi ahli GPS – Golongan Pemandu Sesat!

Sambil berbual, saya memerhati anak saudara saya yang asyik bermain GPS di telefon abang saya. Tiba-tiba dia bertanya, ‘Ayah, kenapa GPS mesti beritahu kita ‘your location’ bila Angah taip alamat untuk ke mana-mana?’ Meskipun persoalan kanak-kanak 6 tahun itu bersahaja, ia amat bererti buat saya.

Soalan ‘your location’ atau di mana kita inilah yang membezakan kejayaan atau kegagalan seseorang, kumpulan, pertubuhan mahupun syarikat. Pada hari ini, kita asyik bercakap mengenai wawasan, hala tuju dan matlamat serta bagaimana kita boleh mencapainya. Kita rajin mengingatkan agar selalu menoleh melihat sejarah agar ia boleh dijadikan teladan dan sempadan ketika kita bergerak ke hadapan untuk mencapai kejayaan.

Sayang sekali kita selalu pula terlupa untuk melihat ‘your location’ atau di mana kita berada sekarang sebelum melangkah ke hari esok tanpa mengenepikan hari semalam. Jika kita memahami konsep GPS yang mengenalpasti premis asal sebelum bergerak ke mana-mana arah, maka kita akan mengerti betapa pentingnya untuk kita tahu di manakah kita berada sebelum kita melangkah.

Benar. Zaman sekarang adalah zaman untuk berlumba. Masing-masing berlumba-lumba untuk mencapai apa yang diingini. Namun, andainya kita yang berlumba itu tidak sedar di manakah dia berada sebelum berlari, langkah kita jadi tidak tentu arah kerana kita sebenarnya bukan berlumba tetapi berkejar bagai tak menyempat. Sifat berkejar itulah yang menjadikan kita manusia yang gopoh-gapah dan tak tentu fasal kelam kabut hingga boleh terlucut apa yang sudah digapai.

Kenalilah keadaan tempat berpijak. Jika ia tidak rata, larian tidak boleh laju kerana kita mungkin tersadung dan jatuh tergolek. Jika tempat berpijak itu licin, langkah mesti terjengkit-jengkit dan berhati-hati. Seandainya ia berselut, berhati-hatilah melangkah kalau tidak mahu tenggelam di tempat berdiri.

Langkah untuk merangkul kejayaan fizikal, mental dan spiritual akan lebih terjamin andainya kita tahu ‘your location.’ Seseorang yang inginkan kejayaan fizikal seperti menguruskan badan, perlu memahami terlebih dahulu mengapa tubuhnya tidak molek. Apakah kerana makanan tidak seimbang, rendah kadar metabolisme atau kerana masalah hormon atau genetik. Jika dia tidak mempedulikan fizikal asal diri, sebaliknya terus berdiet, besar kemungkinan badannya tidak kurus-kurus kerana hanya menahan selera tetapi tidak bersenam untuk mempercepat metabolism.

Begitu juga, seseorang yang mahukan kejayaan mental seperti mahu menjadi seorang doktor perubatan, perlulah mengambil mata pelajaran sains untuk layak menyambung pelajaran di universiti. Mana mungkin seseorang yang ingin menjadi seorang arkitek tidak mahu mengambil mata pelajaran lukisan dan fizik sebagai persediaan.  Kejayaan seseorang itu secara logiknya dapat dicapai sekiranya dia tahu kedudukannya sebelum menuju ke arah yang diingininya.

Untuk kejayaan spiritual juga, kita mesti tahu keadaan dan kedudukan diri. Andainya mahu ke syurga, apakah kini kita punyai ciri-ciri ahli syurga, meskipun kita masih berada di dunia ini. Seandainya kita tidak tahu, bagaimana kita boleh sampai ke tempat yang dihajati hanya dengan mengharapkan subsidi rahmat Ilahi.
GPS untuk diri menagih kita meneropong diri jauh dari angkasa raya untuk melihat di manakah kita berada.

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 4.7.2012, insya-ALLAH...

No comments:

Post a Comment