Photo credit: brucevanhorn.com
MENJADI BIJAK
DENGAN MENULIS
MENJADI BIJAK
DENGAN MENULIS
SEBELUM internet menjadi popular sekitar 15 tahun yang lalu, peluang untuk seseorang itu menulis kian berkurang apabila
dia menamatkan alam persekolahan atau pengajian. Tabiat menulis diari di dalam
buku khas ataupun menulis puisi di cebisan-cebisan kertas mula ditinggalkan.
Dalam
dunia pekerjaan pula, menulis surat rasmi, minit mesyuarat atau laporan, tidak
mengasah bakat penulisan seseorang itu sepenuhnya kerana apa yang ditulis
adalah sesuatu yang formal. Kesibukannya di pejabat mahupun kilang menjadikan seseorang
itu menghibur diri bersendirian secara pasif seperti menonton dan membaca.
Jika
pun dia berekreasi secara berkumpulan, mungkin sekali dengan cara bersukan,
berkelah, menari atau melancong. Aktiviti menulis secara kreatif sebagai salah
satu cara menghabiskan waktu lapang semakin dikesampingkan.
Kemunculan
internet bukan sahaja membolehkan kita membaca apa sahaja yang diingini. Malah,
ramai di antara kita yang dapat kembali peluang mengasah bakat menulis. Jika
pada mulanya tidak ramai yang mampu menulis panjang-panjang kerana jurnal atau
blog, lazimnya memerlukan sekurang-kurangnya 250 hingga 300 perkataan. Kini,
kemunculan laman sosial seperti Friendster,
Facebook dan Twitter membolehkan
sesiapa sahaja menulis dan melahirkan fikiran dengan ayat-ayat yang pendek.
Ada
satu cabaran awal bila kita ingin menulis. Cabaran itu ialah bagaimanakah kita
mengkoordinasi aliran pemikiran yang laju dengan kemampuan menaip kita yang
perlahan. Ada ketikanya, sesebuah idea yang hendak ditulis itu sudah ada,
tetapi kurang kemahiran menaip menjadikan idea itu terbang entah ke mana bila
jejari kerap terperlus di celah-celah kekunci.
Cabaran
awal ini boleh diatasi dengan mengempang sesebuah idea itu agar ia mengalir
sedikit demi sedikit mengikut kemampuan kita menaip. Pengempangan idea itu
bukan sahaja membolehkan kita mengkoordinasi idea ke jejari dan terpapar ke
skrin, malah cara ini membolehkan kita mengatur dahulu apa yang hendak ditulis
dengan mengimaginasikan susunannya di kotak fikiran.
Hasilnya,
menulis itu membolehkan seseorang mempunyai fikiran yang tersusun dan terarah.
Pemikiran yang tersusun dan terarah ini amat penting di zaman yang serba pantas
ini. Apabila perubahan dunia dan teknologinya semakin laju dan kepelbagaian
pilihan bisa mengundang risiko kesilapan, kemahiran menulis sebenarnya dapat mengurus
fikiran agar sesuatu keputusan yang dibuat itu holistik, jitu dan tepat.
Lihatlah
perbezaan pemikiran para ilmuan, cendekiawan dan teknokrat yang boleh menulis
atau sebaliknya. Mereka yang berkebolehan menulis akan mempamer karektor yang
berwibawa. Fikirannya kritis, pandangannya jauh dan kehadirannya menzahirkan
aura mereka yang disekelilingnya. Tunku Abdul Rahman dan Tun Mahathir adalah di
antara mereka mempamerkan pemikiran yang tajam dan jauh kerana berkemahiran
menulis.
Sebaliknya,
mereka yang hanya mahir bertutur tanpa berkemahiran menulis kerapkali mengulang
perkara yang serupa, memanjangkan idea orang lain atau bertutur secara retorik
semata-mata. Pendek kata, banyak kuah daripada isi dalam tutur katanya.
Cubalah
menulis lebih panjang daripada biasa. Dari sepotong ayat menjadi satu para,
daripada satu para kepada lima para dan seterusnya. Cuba juga menulis apa yang
orang lain ingin baca, tidak kira pengalaman atau kejadian yang terjadi,
asalkan daripada sudut pandang kita sendiri.
Mulalah
dengan meninggalkan ayat-ayat klise atau cerita-cerita yang sudah ramai sangat
orang lain tuliskan seperti apa yang kita makan atau di mana kita berada. Jika
pun ingin memaparkan tulisan orang lain dengan cara cut and paste, biarlah ia disertai dengan ulasan kita mengenai apa
yang kita paparkan.
Kita
patut mengelak daripada menulis sesuatu yang kita tidak tahu seperti memberi
komen terhadap seseorang terutamanya jika kita tidak pernah menemui orang yang kita
komen itu. Bagaimana kita memberi komen terhadap seseorang yang kita tidak
kenal? Kita juga tidak adil kepada diri seandainya memberi ulasan mengenai
sesuatu kejadian padahal kita tidak berada di situ.
Yang
penting, kita mesti tahu apa yang kita lakukan. Bawah sedar kita akan mengisyaratkan
ke hati kita sendiri sama ada apa yang ditulis itu baik atau buruk melalui
perasaan resah atau tenang setelah menulis sesuatu untuk tatapan orang lain.
Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 27.6.2012, insya-ALLAH...
No comments:
Post a Comment