Photo credit:
MENCONTENG ARANG
KE MUKA SENDIRI
KE MUKA SENDIRI
SAYA pernah ditahan polis trafik kerana menggunakan telefon mudah alih ketika
memandu. Bukan sekali, tetapi dua kali. Mujur saya hanya dinasihati dan tidak
didenda. Namun sejak itu, saya mula menggunakan alat hands-free.
Melanggar
lampu merah, memandu di lorong kecemasan dan memecut melebihi had laju pernah
saya lakukan. Saya juga tidak mahu jadikan ia satu tabiat kerana saya tidak
suka apa yang saya buat. Tetapi saya punyai alasan tersendiri bila setiap kali
saya melanggar undang-undang itu. Maaf cakap, saya juga tidak bermaksud untuk
menunjuk hero kerana melakukan pelbagai kesalahan dan jauh sekali mahu anda mencontohi
saya.
Dalam
pada itu, apabila surat saman sampai, saya tak marah-marah. Sebaliknya, akan
membayarnya tanpa soal. Apabila dihukum, kita mesti terima dengan hati terbuka.
Jika kita tidak sanggup terima hukuman, jangan sekali-kali lakukan kesalahan. Itu
konsep yang saya pegang.
Bumi
mana yang tidak ditimpa hujan, manusia mana yang tidak berdosa. Dalam pada itu,
mentang-mentanglah manusia boleh berdosa, kita tidak boleh sengaja melakukannya
pula. Hidup perlukan peraturan, peraturan mewujudkan sistem. Sistem pula membina
institusi masyarakat dan negara. Patuh pada sistem itu adalah petanda kita ini
manusia yang bertamadun. Kita taat kepada sistem kerana kita faham mengapa
peraturan itu dibuat.
Seperti
menanti lampu merah bertukar warna hijau di satu persimpangan di malam hari,
meskipun tidak ada polis trafik, menanti lampu merah itu membina akhlak untuk
patuh pada peraturan. Seperti memakai tali pinggang keledar ketika memandu, ia
bukan kerana kita takutkan polis. Tetapi ia adalah untuk menjaga keselamatan
diri apabila kemalangan terjadi.
Begitulah
apabila kita meminjam. Pinjaman adalah hutang. Dan hutang mestilah dibayar.
Cepat atau lambat membayarnya boleh dirundingkan. Tetapi sengaja tidak mahu membayar
hutang setelah membuat akujanji untuk membayar balik kepada pemiutang
sebenarnya menconteng arang ke muka diri sendiri. Orang bermaruah akan
berpegang pada janji. Kerana itu, jangan
marah balik pada orang yang memberi hutang pada kita.
Tugas
yang diberi oleh ketua perlu disudahkan tepat pada masanya. Kita tidak boleh bertangguh
atau lebih buruk lagi mencuri tulang. Kalau kita sengaja bermain-main dengan
membuat kerja sambil lewa, akhirnya tanpa kita sedari sikap itu akan menjadi
tabiat. Akhirnya, prestasi kerja kita sendiri akan menurun.
Kerana
itu, jangan naik darah bila majikan memberi hanya sedikit kenaikan gaji. Atau bila
surat amaran tiba ke meja kerana kita mula menjadi liabiliti, bukan aset lagi kepada
syarikat. Lebih buruk lagi, kalau kita menghina tempat kita mencari makan andainya
kita ditamatkan perkhidmatan.
Dalam
menjalani kehidupan, kita kerapkali suka bermain-main atau mempermainkan
sesuatu. Kita berjanji, namun mempermainkannya. Kita mengajak orang berjuang,
tetapi kitalah yang jadi petualangnya. Kita seru orang supaya amanah, namun
kita yang menodainya.
Lontarlah
batu, sembunyikanlah tanganmu. Cakaplah tetapi tak perlu bikin. Langgarlah apa
yang menjadi tiang seri kehidupan dan keadilan. Langgarlah ia secara
senyap-senyap atau runtuhkan ia secara terang-terangan dengan mengajak orang
lain melakukan kerosakan dan kemusnahan.
Tetapi
jangan lupa, Allah melihat apa yang kita lakukan. Setiap hasil datang daripada
usaha. Sedikit usaha, sedikitlah hasilnya. Banyak usaha, tinggilah
keuntungannya. Inilah hukum alam. Kalau kita rempuh hukum ini, akhirnya ia akan
memakan diri sendiri. Jangan pula menuding jari kepada semua orang lain yang
nampak dengan jelas kesalahan kita. Mengakulah segala kesalahan yang dilakukan
seperti anak jantan yang berani buat, berani tanggung.
”Dan tidaklah
hidup di dunia ini, melainkan permainan dan senda gurau. Dan sesungguhnya
kampung akhirat lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa.” Surah Al-Anaam: 32.
Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar harian pada 13.6.2012, insya-ALLAH...
No comments:
Post a Comment