Tuesday, June 5, 2012
SUARA DI SEBALIK KATA-KATA
Photo credit: weblogku.com
MENDEPANI MANUSIA
YANG MARAH-MARAH
APABILA semakin ramai manusia mahir menggunakan internet, semakin ramai juga di antara mereka yang dapat memindahkan kata-kata mereka dalam bentuk tulisan. Cakap-cakap di kedai kopi dahulu sudah beralih ke alam siber.
Sudah tentu juga, bahasa cakap-cakap juga dipakai oleh orang yang pandai bercakap. Bahasa cakap-cakap lebih santai, tidak semestinya mengikut nahu atau betul ejaannya. Kerana itu, ia bukannya bahasa seorang penulis. Jika dahulu, hanya mereka yang boleh menulis sahaja yang menulis, kini mereka yang boleh bercakap juga boleh menulis.
Seseorang penulis itu biasanya berkebolehan untuk merenung, bervisi, mentafsir dan kemudiannya menyalurkan ideanya dalam bentuk tulisan untuk manfaat orang lain. Apa yang disampaikan lazimnya bersandar kepada pertimbangan, apakah kesan terhadap para pembacanya. Itulah tanggungjawab seorang penulis.
Bagaimana pun, pertimbangan dalam penulisan orang yang pandai cakap-cakap tidak sejauh dan sedalam itu. Jika dahulu, kata-kata orang yang boleh bercakap itu, hanya didengari oleh rakan-rakan setempat. Kini, dengan kemudahan internet, cakap-cakapnya yang disampaikan dalam bentuk tulisan dapat dibaca sesiapa sahaja dari seluruh pelosok dunia.
Tulisan orang yang cakap-cakap itu, tidak perlu mempunyai kesinambungan pemikiran. Seperti percakapan juga, ia adalah cebisan idea mahupun fragmen pandangan yang banyak juga yang tidak tentu tujuan. Pemilihan perkataan orang yang cakap-cakap tentulah mengikut deria spontan dan tidak bersandar kepada semakan samada apa yang ditulis itu fakta atau fitnah.
Istilah yang tidak tepat, pemilihan perkataan yang kasar, malah kesat memang menepati ciri-ciri percakapan tetapi tidak menepati ciri-ciri tertib penulisan. Maka kita membaca tulisan sebegini, ia boleh menaikkan darah, bengang ataupun berasa negatif bila kita mentafsirnya sebagai suara orang yang marah-marah.
Jangan kita berasa hati dengan tulisan sebegitu kerana bila diperhalusi, ia sebenarnya adalah suara hati manusia yang selama ini tidak didengari. Apabila ruang dan peluang ada untuk mereka bersuara itu ada, maka terhamburlah apa yang terlintas di fikiran si penulis, meskipun dia tidak memikirkan akibatnya.
Masyarakat pada hari ini sudah maklum dengan konsep berani bersuara dan menyuarakan pendapat secara vokal. Bagaimanapun, suara yang disampaikan biasanya desakan, bukannya pendapat. Ia menghina, bukan mengkritik. Ia menghukum, bukannya merumus sesuatu perkara. Pendek kata, bernada suara orang yang marah-marah.
Soalnya bagaimanakah kita hendak berdepan dengan manusia marah-marah ini? Andainya kritikan, hinaan mahupun hukuman yang mereka lontarkan itu menyakitkan hati, apakah perlu kita hadapi atau tentang ia dengan cara yang sebegitu juga?
Andainya direnungi, banyak sekali situasi manusia marah-marah ini sebenarnya bukanlah marah-marah sangat. Sebaliknya mereka hanya ingin menyampaikan apa yang terbuku di hati dan menggelegak di fikiran dalam bentuk pertuturan ataupun tulisan.
Patah kata, atau pemilihan perkataan yang digunakan memanglah pedas tetapi bila kita perhalusi atau mengambil maksud di sebalik kata-kata marah itu, kita akan mendengar satu suara raungan meminta perhatian dari lubuk hati manusia ini.
Kerana itu, kita hanya perlu mendengar dan menyerap hunjaman kata-kata yang keras itu ke dalam fikiran umpama masuk ke telinga kanan keluar ke telinga kiri. Tetapi biarlah yang masuk di telinga kanan itu, segala kata yang terlahir. Namun yang keluar melalui telinga kiri itu segala kata-kata tidak bagus sebagai hampasnya. Biarlah yang tinggal dalam fikiran pula adalah inti kehendak-kehendak manusia yang seperti kita juga.
Perhatian harus diberi, kehendak harus dipenuhi. Andainya permintaan tidak dapat dilunaskan, ia harus dijawab dengan nasihat yang mengandungi harapan. Yang penting, api tidak boleh dilawan dengan api. Api harus dijirus dengan air. Tanganilah ia mengikut hukum alam. Ia bukan sahaja bijak, malah bestari.
Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar harian pada 6.6.2012, insya-ALLAH...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Peribahasa ada menyebutkan. "Buang yang keruh, ambil yang jernih"
ReplyDelete