Photo credit: babasiga.blogspot.com
ADA WARTAWAN
DI KALANGAN KITA
DI KALANGAN KITA
KELMARIN,
saya baru sahaja menjamah kurma dan meneguk segelas air lalu terdengar suara
jeritan seorang gadis. Bila memantaukan pandangan ke sekeliling kawasan, saya
nampak orang berkerumun di tepi sebuah simpang tidak jauh dari tempat saya
berbuka. Ada beberapa buah motorsikal di sana. Terdapat juga sebuah kereta di
situ. Fikiran saya cepat menelah, sebuah kemalangan telah terjadi dan gadis itu
mungkin meraung kesakitan atau menangisi orang yang disayangi.
Tanpa
mempedulikan teman-teman yang lain, saya meninggalkan restoran dan bergegas ke
tempat kejadian. Cemas juga hati saya melihat seorang gadis yang terbaring di
kaki lima. Tubuhnya dihenyak oleh empat orang lelaki. Seorang perempuan pula
kelihatan mengusap tubuhnya sambil memberi nasihat agar gadis itu bertenang
dengan suara yang sedu-sedan.
Saya
pandang ke sekeliling. Tidak nampak apa-apa kenderaan yang rosak atau mangsa
lain yang cedera. Nampaknya bukan seperti kemalangan, tapi mengapa gadis itu
terbaring dan menjerit-jerit nyaring begitu? Saya bertanya kepada seorang
pakcik yang berdiri di sebelah saya, apa yang berlaku. Jawapannya pelik. Terus
saya ketawa di dalam hati.
Katanya,
‘Inilah kerajaan Malaysia! Dia orang bawak masuk sihir, hantu, dan semua jembalang.
Sebab itu budak ni jadi macam tu. Kalau apa-apa yang berlaku pada gadis ini,
siaplah kerajaan Malaysia!’
Alamak!
Saya melihat satu kejadian yang mengujakan. Lalu cuba mencari sumber ceritanya.
Tiba-tiba saya mendapat sumber yang tak boleh saya pakai! Selepas itu saya buat-buat
tak dengar apa yang diperkatakan oleh pakcik itu. Sebaliknya saya bertanya pada
seorang remaja yang ada di situ.
Melaluinya,
saya dapat tahu rupa-rupanya gadis itu mengikuti rombongan kolejnya ke Kuala
Lumpur. Dia histeris kerana bergaduh dengan rakan serombongan. Kata remaja itu,
rakan gadis itu juga kini mengamuk dan sedang diregang oleh beberapa orang
temannya. Lalu dia menuding jarinya ke hujung jalan. Kelihatan sebuah bas
rombongan terparkir di tepi jalan.
Maklumat
remaja ini lebih tepat dan boleh diterima akal. Lantas saya ke lokasi kedua dan
memadankan cerita remaja itu. Ada bas kolej dengan plet sebuah negeri pantai
timur ~ bas rombongan. Seorang gadis sedang terbaring dan dihimpit agar tidak
meronta, sama seperti gadis yang pertama. Mungkin sekali mereka bergaduh hingga
dipisahkan jauh.
Ketika
berada di kawasan itu saya terdengar suara-suara yang mengatakan ‘kedua-dua
gadis itu sebenarnya kembar,’ ‘mereka histeria bila mendengar suara azan di
masjid berhampiran’ dan ‘mereka telah dirasuk.’ Saya biarkan sahaja maklumat itu
sebagai rencah penyedap cerita yang berbentuk ‘dengar-dengar’ semata-mata. Selain
daripada pakcik yang saya temui itu, kita memang ada ramai pencipta cerita di
kalangan kita.
LIPUTAN
kolum Bicara Isnin, Sinar Harian mengenai pentingnya pusat zakat negeri membantu
NGO-NGO yang mengendalikan OKU mendapat respons yang positif dari kalangan
jabatan-jabatan agama negeri. Beberapa NGO lain telah menghubungi kami untuk
memberi pendapat. Beberapa orang pembaca juga turut menyampaikan komen yang menyokong
hasrat NGO-NGO yang mengendalikan OKU agar mereka ditafsir golongan asnaf
fisabilillah.
Bagaimana
pun, seorang pembaca menghubungi saya dengan satu persoalan yang berbeza.
Beliau bertanya, bukankah OKU itu singkatan daripada Orang Kelainan Upaya,
bukannya Orang Kurang Upaya? Saya akui yang saya pernah terdengar istilah OKU telah
ditukar dan disebut sebagai Orang Kelainan Upaya. Kerana berada di luar
pejabat, saya tidak boleh merujuk kepada sesiapa. Saya memberitahu beliau yang
saya ingin menyemak kesahihannya.
Dengan
bantuan wartawan setibanya di pejabat, kami membuat pertanyaan dan penyelidikan.
Hasilnya, kami dapati pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat(JKM) tidak pernah mengistilahkan
OKU sebagai Orang Kelainan Upaya. Laman web JKM, Majlis Kebangsaan bagi OKU dan
semakan terhadap Akta OKU 2008 jelas menunjukkan OKU kekal sebagai singkatan
bagi Orang Kurang Upaya.
Saya
menghubungi pembaca tersebut dan menyampaikan maklumat yang saya temui. Dia
mengucapkan terima kasih dan berkata, ‘Saya akan sebarkan apa yang saya perolehi
ini.’ Kata-katanya membuatkan saya mengerti, pembaca tersebut mungkin sedang
berbincang dengan teman-temannya di laman siber mengenai topik itu. Fakta yang
saya beri akan memberi pencerahan kepada beliau dan kawan-kawannya.
Pembaca
ini, Ahmad Syarief Abu Umar ingin memperoleh ketepatan maklumat yang
diperolehinya. Sementara itu, pakcik yang menonton insiden histeria di tepi
jalan cuba memesongkan kenyataan di depan mata. Kedua-duanya mempunyai ciri-ciri
seorang wartawan. Yang seorang sebagai penyampai maklumat, seorang lagi
penyampai cerita.
Andainya
mereka berdua adalah wartawan, penyampaian kedua-duanya boleh melariskan jualan
akhbar. Tetapi, cerita tulisan siapakah yang anda pilih?
Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 15.8.2012, insya-ALLAH...
Assalamualaikum saudara Eyman Hykal,
ReplyDeleteSaya juga terpedaya dengan Orang Kelainan Upaya. Saya mendengarnya daripada pembaca berita tv. Terima kasih atas maklumat ini :-)
Wah! Orang jauh yang singgah nie! Alhamdulilah kerana dapat memanfaatkan maklumat yang diberi. Saya pun ingat2 lupa istilah itu dah ditukar atau tidak?
ReplyDeleteSelamat Hari Raya Aidilfitri, Linda. Semoga bergembira.