Wednesday, August 22, 2012

SELAMAT HARI RAYA




Photo credit: malaysiaaktif.my

TAK MENGAPA,                                          HARI INI KAN, 
HARI RAYA

Resah juga hati bila terpandang deretan kereta terparkir di kanan dan kiri jalanraya.  Memang tak ada ruang kosong untuk saya menyelit. Motorsikal pula apatah lagi. Mencelah di mana-mana ada ruang kosong. Kerana tiada ruang parkir, saya terpaksa meletak kereta di sebelah sebuah kereta lain. Hati mengharap, tuan punya kereta itu tak marah menunggu andainya saya keluar lebih lambat daripadanya. Salah, memanglah salah tindakan saya itu kerana double-parking. Tak mengapa, hari ini kan, hari raya.

Ketika melewati pagar masjid, kelihatan para jemaah sudah pun melimpah ke luar. Ramai yang masih tercari-cari ruang kosong untuk bersolat. Di halaman masjid, tikar dan sejadah sudah terbentang. Tatkala solat aidilfitri hendak bermula, para petugas masjid terpaksa melaung kepada pak imam agar tunggu dulu kerana ramai jemaah tiada tempat bersolat. Bergulung-gulung lagi tikar dipikul mereka untuk ditebar dengan dibantu para jemaah. Solat aidilfitri terlewat tujuh minit pada pagi yang indah ini. Tak mengapa, hari ini kan, hari raya.

Dalam perjalanan pulang ke rumah, isteri saya menelefon. Katanya dia teringin merasa lemang. Sambil memandu, saya perhatikan tiga-empat warung lemang yang didirikan di sepanjang jalan. Semuanya sudah tutup. Tuannya mesti beraya juga. Saya memandu terus melewati rumah mertua di Jeram dan terus ke pekan Kapar. Akhirnya saya dapat beli empat batang lemang berharga RM12 sebetang setelah memandu sejauh 20 kilometer. Tak mengapa, hari ini kan, hari raya.

Pada hari raya kedua, dalam perjalanan ke Mersing, saya sekeluarga berkunjung ke rumah seorang sahabat di Bangi. Entah kerana ingin bersantai-santai, saya berborak dengannya hingga jam 11.30 pagi. Sebaik sahaja keluar dari rumahnya, saya teringin pula hendak memandu di lebuhraya LEKAS ke Seremban. Saya tahu lebuhraya itu tak sesibuk lebuhraya PLUS. Namun setelah berpusing-pusing mencari lebuhraya itu, saya termasuk ke Kajang dan akhirnya keluar di tol PLUS kembali. Ertinya lebuhraya LEKAS saya tak jumpa tetapi sudah berpatah balik ke utara. Setengah jam masa sudah terbuang. Tak mengapa, hari ini kan, hari raya.

Kenderaan di lebuhraya itu memang sendat hingga ke Senawang. Pada kebiasaannya bila memasuki Senawang untuk ke Kuala Pilah, perjalanan akan lancar. Tetapi trafik perlahan juga hingga ke Bahau dan Bandar Baru Sri Jempol. Penyudahnya kami tiba di Mersing pada jam 9.30 malam ~ perjalanan selama 10 jam. Tidak pernah  perjalanan dari Petaling Jaya ke Mersing itu memakan masa dua kali ganda, seolah-olah memandu seperti pergi dan balik. Tak mengapa, hari ini kan, hari raya.

Bila malam, perut yang manja setelah berpuasa, cepat sangat laparnya. Ada juga warung yang sudah membuka perniagaan. Namun, kesemuanya kelihatan penuh sesak dengan anak Mersing yang pulang ke kampung. Warung yang saya singgah pun dipenuhi pelanggan. Bila saya hitung meja-meja yang belum mendapat lagi hidangan, saya tahu giliran kami adalah yang ketujuh akan mendapat pesanan. Tukang masak di gerai itu hanya tinggal seorang yang terkontang-kanting bekerja. Akhirnya, selepas sejam menanti barulah nasi goreng kampung dapat dijamah. Ketika itu, lapar pun dah hilang. Tak mengapa, hari ini kan, hari raya.

Beraya di kampung memang masih lagi dengan serinya. Ketika ini, niat untuk mengawal  makan selepas berpuasa, terpaksa diketepikan. Maka, ketupat yang ditambah ke pinggan tidak akan ditolak. Kuih batang buruk, samperit dan putu kacang saya kunyah juga walaupun hati saya kata, sudah-sudahlah tu. Menjaga hati Adek Chu, Mak Andak dan Tok Long lebih penting daripada menjaga bodi. Tak mengapa, hari ini kan, hari raya.

Dan, pada malam nanti (iaitu malam semalam, ketika anda membaca artikel ini), saya  menghadiri satu perjumpaan Rumah Terbuka Anak Mersing di La Bella Resort, Air Papan. Mereka adalah rakan-rakan Facebook, yang juga junior dan senior saya di sekolah, jiran-jiran dan saudara-mara yang asalnya bertemu kembali di alam siber. Inilah kali kedua saya menghadiri majlis sebegini. Malah, kepulangan saya ke Mersing setelah tiadanya kedua-dua orang tua adalah semata-mata untuk duduk makan-makan dan sembang-sembang selama empat jam bermula dari jam 8.00 malam dengan teman-teman siber saya. Tak mengapa, hari ini kan, hari raya.

Mungkin kerana suasana bercuti dan ada masa luang yang banyak, saya tidak kisah menanti dan menunggu. Mungkin juga kerana puasa itu merangsang kembali rasa sabar, saya boleh terima apa jua halangan yang melewatkan saya memperoleh apa yang saya inginkan. Mungkin juga setelah sibuk bekerja dan bekerja, pada cuti raya ini saya menghadirkan diri saya untuk menggembirakan ahli keluarga saya. Jadi saya dapat buat apa sahaja dengan selamba, tanpa komplen, tanpa leter, meskipun di dalam hati. Tak mengapa, hari ini kan, hari raya.

Di sebalik halangan luar jangka, kelewatan di luar kawalan atau bersantai-santai sekadar duduk-duduk, sembang-sembang dan makan-makan di hari raya ini, saya perasan yang tidak stres atau sakit kerana tidak bekerja! Maka benarlah maksud hadis, “Barangsiapa senang untuk dipanjangkan umurnya dan diluaskan rezekinya serta dihindarkan daripada kematian yang buruk, maka hendaklah ia bertakwa kepada ALLAH S.W.T dan menyambung silaturrahim.” (Riwayat at-Tabrani).
Saya percaya, anda yang ‘hyper-sibuk’ juga mengalami kerehatan minda sebegini.

Berehatlah selagi ada masanya.
Hari ini kan, hari raya ~ esok lain cerita.


Artikel ini telah terbit di akhbar Sinar Harian pada 22.8.2012.

No comments:

Post a Comment