Tuesday, December 29, 2015

DUNIA YANG MAIN-MAIN


Piccredit: thesun.co.uk

REALITI JADI
FANTASI JADI REALITI
PERNAHKAH kita dengar bagaimana seorang kanak-kanak bandar berasa hairan apabila dia melihat ayam? Baginya, ayam adalah ayam goreng KFC. Dia tidak pernah lihat ayam yang hidup. Rupa-rupanya ramai kanak-kanak yang beranggapan sedemikian. Saya punyai seorang anak saudara yang benar-benar berasakan yang ayam KFC itu adalah ayam yang sebenar. Apabila ke kampung, dia terpinga-pinga apabila saya tunjukkan ayam kepadanya. Malah, dia berasa takut melihat ayam! Fantasinya tidak sama dengan realiti.
Apabila wayang gambar diperkenalkan, ramai penonton berasa takut dengan apa yang dilihat kerana berasakan apa yang terpapar di layar perak itu benar-benar terjadi. Pelakon yang diterajang, ditikam, mahupun ditembak menimbulkan rasa ngeri penonton kerana tertipu dengan lakonan. Namun, lama kelamaan, bahasa filem menjadikan para penonton berasa gembira dan tertawa dengan malapetaka di dalam filem. Mereka boleh mengerti bahawa kesemuanya hanyalah cerita dan lakonan.
Namun, teknik kamera dan komputer turut berkembang pesat. Segala-galanya tampak seperti benar-benar berlaku. Bencana alam seperti tsunami, puting beliung, banjir, kemarau, empangan pecah, bangunan pencakar langit runtuh yang dijana melalui teknik janaan komputer telah menghasilkan imejan-imejan yang benar-benar mengerikan. Sistem bunyi Dolby Stereo dan THX serta sistem IMAX atau Image Maximum telah menjadikan tontonan di pawagam sebagai suatu pengalaman yang mengasyikkan. Dan, kesemua teknologi ini kini boleh didapati di rumah melalui sistem home theatre mahupun daripada komputer peribadi.
Justeru itu, apabila fiksyen yang terpapar itu menghampiri realiti, realiti yang ditatap melalui saluran berita antarabangsa seperti al Jazeera ataupun CNN sudah jadi seperti fiksyen pula. Fikiran kita sudah berkecamuk hingga tidak mengenal mana satu fantasi, mana satu realiti! Tidak hairanlah jika pada hari ini kita boleh bersembang di depan televisyen yang menayangkan pengeboman bumi Palestin sambil mengunyah karipap. 
Kita boleh tertawa melihat seorang pemacu motorsikal tertonggeng apabila dia terlanggar tunggul dalam sebuah rancangan komedi. Sepatutnya kita beristighfar melihat musibah. Bagaimana kita boleh tertawa? Ia terjadi kerana minda kita sudah keliru apabila melihat kejadian malang yang dipapar dengan muzik kartun dan disisip dengan laugh track iaitu bunyi orang ramai tertawa hingga kita pun tergelak sama!
Kita sedih melihat heroin ditinggal hero dalam sebuah filem cinta. Sedih kita itu benar kerana kita menangis sampai meleleh airmata. Kita takut apabila menonton filem hantu hingga terjerit-jerit. Perasaan kita itu benar kerana jantung kita berdegup kencang. Tetapi, apa yang terpapar itu tidak benar. Justeru itu, kita sebenarnya sedih dan takut pada benda yang tidak benar. Fantasi yang kita tonton telah melahirkan perasaan benar di dunia realiti.
Jika banyak sekali kisah-kisah sejarah, tragedi, malapetaka, kejadian dan segala macam peristiwa yang terjadi itu difiksyenkan, kini banyak juga fiksyen diolah menjadi sesuatu yang benar. Banyak sekali rancangan realiti televisyen yang menjadikan sesuatu fiksyen itu dipaparkan seolah-olah ia sesuatu yang benar. Lihatlah rancangan realiti televisyen seperti siri bercorak kekeluargaan, pertandingan nyanyian mahupun memasak.
Sebahagiannya realiti dan sebahagiannya fantasi. Ada watak-watak di dalam siri itu menjadi protagonis atau antagonis untuk menghidupkan suasana. Pada suatu ketika kita berasa ia benar-benar terjadi. Pada suatu ketika yang lain, kita berasakan bahawa ia hanya lakonan. Kita benar-benar keliru dan masih keliru. Sedangkan siri gusti yang nyata lakonan itupun masih kita rasakan ia benar, apatah lagi rancangan-rancangan realiti televisyen yang settingnya dibuat di taman atau di rumah, seolah-olah benar-benar berlaku.
Besar dan meluasnya pengaruh fiksyen ke atas kita pada hari ini menjadikan kita menganggap hampir semua perkara adalah fiksyen, hiburan dan lakonan. Hinggakan tanpa kita sedari, kita sendiri sentiasa berlakon pada hampir setiap ketika. Lihatlah di laman media sosial kita sendiri. Apakah ‘hahahaha’ yang ditulis itu mencerminkan yang kita sebenarnya tertawa? Apakah ‘huhuhu’ itu bunyi tawa kita sebenarnya atau tawa kita berbunyi ‘heheheh’? Atau apakah apabila kita menanda ‘like’ pada berita kematian seorang sahabat itu menandakan yang kita suka pada kematiannya?
Kerana itu, jangan kecil hati dengan maki hamun orang terhadap kita. Jangan ambil peduli jika kesungguhan kita memaparkan resipi cekodok di laman instagram itu menerima kutukan dari orang yang tidak kita kenali, kononnya kita ambil foto cekodok itu dari Google. Mereka juga sama seperti kita. Mereka berasa apa yang terpapar di depan mata itu hanya main-main dan tidak benar. Malah, reaksi marah-marah mereka juga tidak benar kerana mereka menggunakan perkataan yang menggambarkan kemarahan walaupun mereka tidak marah pun. Semuanya kerana kecelaruan di antara fantasi dan realiti.

Inilah akhir zaman. Apa rumusan ALLAH SWT mengenai ini semua? “Dan tiadalah kehidupan dunia ini, selain dari main-main dan senda gurau belaka, dan sungguh kampung akhirat iti lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Maka tidakkah kalian memahaminya?” (QS. Al An’am 32)

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian 30.12.2015.

Tuesday, December 22, 2015

ANGGAPAN KARUT ORANG MULA BERNIAGA


Piccredit: tipsjualan.blogspot.com

JIKA MAHU MULA BERNIAGA…

KEMUNCULAN peniaga, usahawan dan golongan korporat Melayu dalam dunia perniagaan pada hari ini mengesahkan bahawa semakin sehari, perniagaan kian sebati kembali dalam jiwa mereka.  Tanggapan bahawa orang Melayu tidak pandai berniaga semakin terhakis. Lagipun, terdapat pandangan bahawa berniaga itu sudah lama ada dalam jiwa orang Melayu kerana Melaka misalnya adalah pusat perdagangan di zaman kegemilangan kesultanan Melayu.
Kerana itu, ada pendapat yang mengatakan bahawa orang Melayu mula dijauhkan dari dunia perniagaan kerana pendekatan pecah dan perintah British yang mengkhususkan sesuatu kaum dengan sesebuah bidang. Orang India di tempatkan di estet-estet getah, orang China di lombong bijih dan orang Melayu pula sebagai petani dan nelayan.
Tanpa kita sedari, semua ini telah berubah. Walaupun Dasar Ekonomi Baru dengan matlamat 30 peratus ekuiti ekonomi dikuasai oleh orang Melayu itu tidak mencapai sasarannya pada tahun 1990, lama kelamaan dasar itu sendiri telah dilupakan. Bagaimana pun, kegiatan mereka di dalam dunia bisnes kian berkembang. Semakin ramai orang Melayu yang menceburi bidang perniagaan.
Betapa pun, masih terdapat beberapa tanggapan negatif yang masih menjadi kepercayaan buat mereka yang baharu berniaga walaupun ia sudah ketinggalan zaman. Di antara tanggapan yang masih dipegang oleh sebilangan mereka ini ialah, kalau tak tipu, itu bukan berniaga namanya. Sebut harga yang murah, tetapi kemudiannya dinaikkan dengan mengenakan kos-kos lain, menjual barangan yang berkualiti rendah, mengurangkan kuantiti barangan yang dibekal, bayar lewat, cek tendang atau terus tak bayar langsung adalah di antara perkara yang dikatakan ‘wajib dilakukan’ dalam dunia perniagaan. Bila mereka tertipu, maka mulalah mereka menipu orang lain pula kerana percaya bahawa kalau tak tipu, bukan berniaga namanya.
Padahal, keseluruhan perniagaan yang cemerlang itu tidak langsung mengamalkan cara tipu daya sebegitu. Sebaliknya, banyak perniagaan yang berjaya menjadikan sikap amanah sebagai amalan perniagaan. Memang ada perniagaan yang mendapat laba besar melalui jalan tipu helah. Namun, perniagaan yang tidak menipu itu lebih stabil dan berdaya maju akhirnya.
Terdapat juga mereka yang mula berniaga, begitu bimbang apabila ada orang lain yang menjual barangan yang sama di sebelah tempat jualannya. Dia beranggapan bahawa perniagaannya akan merosot kerana saingan. Padahal, pada hari ini terdapat begitu banyak pusat membeli belah yang menempatkan sesuatu perniagaan yang sama di sesebuah zon. Ia sebenarnya menjadi besi berani yang amat kuat menarik pelanggan.
Ada juga mereka yang mengamalkan cara ilmu hitam untuk memajukan perniagaan. Mereka fikir, cara mandrem itulah jalan pintas untuk melaris perniagaan. Padahal, pelaris yang baik itu bukan dengan cara menggunakan jin, tetapi melalui cara promosi, pemasaran dan juga pengiklanan. Banyak sekali perniagaan yang berpendapatan harian ratusan ribu ringgit tidak langsung mengamalkan jin sebagai pelaris.
Ada juga yang amat percaya bahawa untuk mendapat kejayaan, dia mestilah menjadikan mana-mana orang politik atau pentadbir kerajaan sebagai tempat dia berpaut. Orang politik dan pentadbir ini digunakan sebagai orang yang memberi sokongan kepada apa yang dipohon, khususnya tender. Namun, mereka akhirnya keletihan kerana terpaksa berbuat baik bukan sahaja kepada ketua sesebuah jabatan, tetapi terpaksa berbaik dengan seluruh struktur sesebuah organisasi itu. Semakin besar projek, semakin banyak dan semakin ramailah mulut yang dia hendak suap.
Dia tidak menyedari bahawa ramai lagi orang lain yang menggunakan cara yang serupa untuk mendapatkan kontrak yang sama. Silap gaya, apa yang sudah di tangan akan berpindah ke tangan pesaing. Seolah-olah nasi yang hendak disuap ke mulutnya  itu teralih ke mulut orang lain. Cara begitu memang tidak selamat kerana seseorang itu perlu sentiasa berkejar, seolah-olah berlari tanpa henti dalam hidupnya. Ia juga tidak selamat kerana sentiasa bergelumang dengan pelbagai dosa termasuk usaha memberi rasuah bagi mendapatkan kontrak.
Hidup bergaya sebelum berjaya juga adalah salah satu kepercayaan mereka yang mula berniaga. Mereka lihat orang bisnes yang berjaya itu berkereta besar, melancong, membeli-belah dan hidup mewah. Mereka tidak tahu, semua itu digapai oleh orang berjaya itu setelah mencurah titik peluh membina perniagaan. Apabila mereka meniru gaya, mereka akhirnya papa. Sepatutnya mereka menyelidiki apakah daya, bukannya gaya oleh orang yang berjaya itu apabila mula membuka bisnes.
Tidak perlu berpakaian lengkap bertali leher dan berkot ke sana ke mari untuk menunjukkan kejayaan. Contohilah apa yang menjadi cerita dari mulut ke mulut, kisah apek Cina yang berjaya dalam berniaga. Apabila ke bank, dia berpakaian baju-T, berseluar katuk, kelihatan toya, tetapi poketnya berkepuk dengan wang kertas.

Alhamdulilah, tidak lama dahulu, saya pernah temui seorang lelaki Melayu di sebuah bank. Dia berkopiah, berjanggut panjang dan berseluar senteng. Dan bila dia melangkah ke kaunter, dia menyeluk poket jubahnya dan mengeluarkan berikat-ikat wang kertas. Agaknya, itulah gaya orang berjaya dalam berniaga.
Insya-ALLAH... artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian esok, 23.12.15.

Tuesday, December 15, 2015

SIKAP MENYALAHKAN ORANG LAIN



Piccredit: nitestalkerz.com

KONSEP SUMPAHAN
TUJUH KETURUNAN
SAYA membalas senyuman seorang lelaki berkumis dan berjambang tatkala mahu melangkah menaiki eskalator di sebuah pusat membeli-belah di Petaling Jaya. Dia bertanya apakah saya kenal padanya? Lantas dia tertawa bila saya menggeleng. Sambil bersalaman, dia memperkenalkan dirinya sebagai Nazari seorang peserta kursus motivasi yang saya seliakan di sebuah kolej di Selangor, 30 tahun lalu.
Walaupun saya tidak berapa ingat wajahnya, tetapi nama Nazari mengingatkan saya tentang kisah hidupnya. Nazari punyai latar belakang yang malang. Ibubapanya berpisah sejak beliau kecil. Kedua-dua mereka tidak mahu membelanya. Akhirnya, beliau dijaga datuknya yang bekerja di kampung. Datuknyalah yang menumpahkan kasih sayang sepenuhnya kepada Nazari.
Keadaan kemiskinan dan kurangnya pendedahan pendidikan menjadikan Nazari seorang pelajar yang sederhana. Bagaimana pun, akhirnya beliau berjaya melanjutkan pelajaran di sebuah kolej kemahiran. Nazari mengambil kursus mekanik. Seperti remaja yang lain, Nawari menemui seorang teman wanita yang begitu menyayangi dirinya. Baharu beberapa bulan berkasih, malang tidak berbau apabila mereka berdua terlibat dalam kemalangan motorsikal. Dia cedera ringan tetapi si gadis menghembuskan nafas terakhir di pangkuannya.  
Apa yang tragisnya, pada hari yang sama juga Nazari menerima berita kematian datuknya akibat kemalangan dihempap pokok tumbang. Sejak itu, Nawari menjadi seorang remaja yang murung. Dia trauma dengan tragedi itu hingga ia sering mengganggu tidurnya. Atas nasihat doktor, Nawari mengambil ubat penghilang sakit. Tetapi, lama kelamaan, ubat itu menimbulkan ketagihan. Akhirnya secara senyap-senyap, Nazari menjadi seorang penagih dadah apabila dia menjadikan ubat-ubat itu sebegai penenang hatinya.
Di dalam kursus kepimpinan itu, Nazari berterus terang mengenai masalahnya. Dia menyalahkan ibubapanya kerana tidak menjaga dirinya hingga tidak cukup kasih sayang. Dia turut menyalahkan takdir yang menimpa kerana kehilangan datuk dan kekasih pada waktu yang sama. Para peserta lain di dalam kumpulan dinamiknya amat simpati dengan kisahnya. Masing-masing berjanji akan menjadikannya seorang sahabat yang akrab dan mendampinginya hingga berjaya. Di kursus itu, Nazari berikrar dan berjanji untuk berhenti menagih. Pil-pil penenang sakitnya dibuang di dalam tandas seperti suatu upacara confession sambil disaksikan oleh rakan-rakannya.
Kini, Nazari yang berdiri di depan saya pada hari itu adalah seorang jutawan makanan sunnah. Beliau bersyukur kerana mempunyai para sahabat yang berjaya menghentikan tabiat menagih dadahnya. Dia juga mengucapkan terima kasih kepada saya kerana membantunya melihat dari sudut pandang yang berbeza mengenai kehidupan. Dia masih ingat akan kata-kata saya bahawa kita menjadi rugi apabila menggunakan masa yang sedikit di dunia ini untuk menyalahkan orang lain. Sebaliknya, kita akan beruntung jika dengan masa yang sedikit itu kita gunakan untuk membetulkan orang lain.
Saya menyatakan konsep sumpahan tujuh keturunan akan mengekang kita untuk berjaya. Sepertimana sumpahan tujuh keturunan oleh Mahsuri bahawa Langkawi tidak akan maju, atau sumpah Sultan Mahmud bahawa tujuh keturunan Laksamana Bentan akan berdepan dengan kematian jika mendatangi kuburnya, kita yang percaya bahawa sumpahan itu punyai kuasa, akhirnya menjadikan ia sebagai alasan untuk gagal.
Andainya kita tidak berjaya dalam pelajaran kerana ibubapa kita tidak sekolah tinggi, apa pula alasan kepada mereka yang tidak berjaya walaupun mereka mempunyai ibubapa yang berpendidikan tinggi? Andainya kita berasakan syarikat tempat kerja kita tidak menguntungkan kerana mempunyai bos yang tidak cekap mengurusnya, kita tahu terdapat syarikat yang berjaya walaupun mempunyai tuanpunya yang tidak pandai menulis.
Jika kita berasakan bahawa kita gagal mengurus organisasi kerana mewarisi pentadbiran yang tidak terurus dan tidak kemas dari pemimpin terdahulu, mengapa pula terdapat lebih banyak organisasi yang berubah daripada sebuah entiti yang mundur kepada sebuah pertubuhan yang berdaya maju dan berjaya?
Amat mudah untuk menyalahkan orang terdahulu apabila kita terpaksa menanggung beban masalah pada hari ini. Belum tentu lagi jika kita berada di zaman orang yang sebelum kita, kita boleh mengurus dengan lebih baik daripada mereka. Setiap orang ada zamannya. Mereka di zaman mereka juga harus menangani masalah pada ketika itu. Mereka sendiri tidak tahu apa akibat yang akan terjadi hasil dari keputusan yang mereka lakukan. Kita yang memikul tanggungjawab pada waktu inilah yang perlu menangani segala masalah hingga berjaya.

Kalau kita mengatakan yang kegagalan kita adalah kerana orang lain, mungkin kejayaan kita nanti adalah dengan sebab orang lain juga! 

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 16.12.15.

Tuesday, December 8, 2015

BELAJARLAH MENGHORMATI


Piccredit: islamiclandmarks.com(universiti al-Azhar)
HORMATILAH ILMU
DAN PARA ILMUANNYA
KECANGGIHAN internet bukan sahaja telah membuka dunia maklumat dan komunikasi dengan seluas-luasnya, malah ia turut melahirkan konsep dunia tanpa sempadan.  Malangnya, konsep ini  telah melahirkan sikap manusia yang berfikiran tanpa sempadan! Ertinya, manusia yang fikir dan cakap ikut sedap mulut sahaja atau ikut seronok menulis di papan kekunci. 
Dengan ledakan maklumat yang berserabut dan berselirat, kita  tidak sempat memilih dan menapis apa sahaja yang sampai ke fikiran dan hati apabila mendapati diri kita tiba-tiba tahu semua benda. Apa yang difikir, apa yang diingini akan tertayang di depan mata hanya dengan menekan-nekan tetikus.
Apabila memperoleh maklumat  itu dipermudahkan oleh internet, akhirnya kita terlupa yang kita hanya memperolehnya secara celam-celum. Kita ambil sedikit maklumat di laman ini, sedikit maklumat di laman yang itu, lalu kita perasan yang kita sudah mempunyai ilmu dalam sesuatu bidang itu. Padahal, kita hanya mempunyai maklumat yang amat sedikit mengenai sesuatu perkara. Maklumat itu bukan ilmu.
Lihatlah bagaimana ramai di kalangan kita yang berlagak pandai bercakap mengenai politik, perubatan, senibina, penerbangan, kejuruteraan, undang-undang, perniagaan, nyanyian, senilakon dan apa jua bidang hanya dengan memperoleh maklumat-maklumat itu di internet. Sebenarnya memang bagus bila kita ambil tahu banyak ilmu di pelbagai bidang.
Yang tidak bagus ialah apabila kita mula mempersenda mereka yang memang berkelayakan dalam sesuatu disiplin ilmu itu semata-mata setelah terbaca sesuatu yang berbeza sedikit daripada apa yang diperkatakan oleh orang yang berilmu itu. Lalu, kita bukan setakat melontarkannya sebagai pendapat, bukan juga sebagai hujah, tetapi pengetahuan yang sedikit itu kita jadikan senjata untuk memperlekeh mereka yang memang berkelayakan dalam bidang yang diperbincangkan.
Sebenarnya, bukan mudah buat seseorang itu dapat menguasai suatu disiplin ilmu tanpa belajar dan mengkaji selama bertahun-tahun dalam bidang yang diceburinya. Jika kita ambil tahu apa itu disiplin ilmu dalam sesebuah bidang itu, maka kita akan sedar dan belajar untuk hormat kepada mereka yang pakar dalam sesebuah bidang itu. Apa jua disiplin ilmu itu sudah dikaji, dihujah, digarap dan terbentuk oleh mereka yang mempelajarinya sebelum disampaikan kepada khalayak yang memilih untuk memperdalami sesuatu bidang itu. Setiap ilmu ada gurunya. Dan dunia keilmuan ini sudah terbentuk sebelum Masehi lagi. Ia punyai sejarah dan struktur yang ampuh.
Dunia keilmuan yang diketahui,  bermula di zaman Greek purba pada 387 sebelum Masehi. Dikenali sebagai akademeia, ruang menuntut ilmu yang digelar gymnasium kian dikenali apabila ahli falsafah Plato menjadikan ia tempat mengajar.  Aristotle, seorang lagi ahli falsafah terkemudian juga mengajar murid-muridnya di Lyceum pada 335 sebelum Masehi.
Alam keilmuan yang terstruktur juga berkembang di negara China dengan institusi yang dikenali sebagai Shang Xiang dan Shuyuan pada kurun ke-5 Masehi. Di India pula, dunia akademiknya dikenali sebagai Taxila; juga wujud sejak 5 Masehi. Pusat pengajian tinggi Nalandar di India telah menarik ramai pelajar daripada negara luar termasuk Korea, Jepun, China, Tibet, Indonesia, Iraq and Turki.
Di dunia Islam, wujud universiti terkenal seperti Universiti Al-Azhar di Kaherah, Mesir pada kurun ke-10 Masehi, Universiti Timbuktu pada kurun ke-11 dan Madrasah Mustansiriya di Baghdad pada kurun ke-12 yang mana perpustakaannya mempunyai koleksi ilmu hingga 80,000 jilid yang diwarisi daripada zaman Khalifah Ar-Rasyidin.
Dunia ilmu dan keilmuan atau learned society telah melahirkan masyarakat akademik. Mereka bermula sebagai sebuah kumpulan yang belajar bersama-sama dan berkongsi penemuan sesama mereka. Kumpulan-kumpulan ini akhirnya menjadi formal dan memperoleh pengiktirafan pihak pemerintah. Mereka punyai keahlian dan seterusnya merencana disiplin ilmu serta kurikulum sesuatu bidang itu.
Akhirnya, masyarakat berilmu ini mengajar dan mengiktiraf penuntut-penuntut yang menguasai apa yang menjadi kehendak pada sesebuah bidang itu. Maka pada hari ini, penganugerahan sijil, diploma mahupun ijazah samada di kolej mahupun universiti duterimapakai sebagai bukti bahawa seseorang itu berkelayakan dalam bidang yang diceburi. Begitulah dunia akademik dan sistemnya. 
Jika kita memahami bagaimana sekumpulan manusia membina disiplin sesebuah ilmu itu bertahun-tahun dan dikembangkan selama berkurun-kurun hingga ia menjadi jurusan akademik yang formal, mana mungkin kita sudah boleh memperlekeh dan mempersenda orang yang berkelayakan dan berkelulusan?
Mereka belajar, membuat kajian, mendapat penemuan selama bertahun-tahun lamanya, mungkin daripada lebih sebuah universiti. Oleh kerana itu, kita yang mendapat ilmu di Sekolah Menengah Mr. Google kenalah pandai menghormati orang yang berilmu, berkelulusan dan berkelayakan.

Kita tidak perlu pergi ke sekolah untuk belajar menghormati orang yang berilmu. Sikap hormat ini adalah naluri. Jika haiwan pun pandai menghormati pemimpin melalui keperkasaannya, kita patut pandai menghormati orang bijak pandai kerana ilmunya
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 9.12.15.

Tuesday, December 1, 2015

CUTI SAYA CUTI MEREKA


Piccredit: hmetro.com

NIKMAT CUTI HUJUNG TAHUN SEKOLAH

TIDAK lama lagi akan berakhirlah peperiksaan bertulis SPM. Setelah itu, kesemua 440,000 calon-calonnya akan mula bercuti. Mereka boleh berehat dan berbuat apa sahaja sebelum datangnya hari keputusan SPM sekitar bulan Mac 2016. Ertinya, mereka akan bercuti lebihkurang dua bulan. Begitu juga mereka yang menduduki peperiksaan UPSR, PT3 mahupun STPM. Setelah menjalani peperiksaan, mereka juga boleh berehat.

Apabila direnungkan, hari-hari cuti selepas peperiksaan sekolah adalah adalah di antara cuti-cuti panjang yang dapat kita nikmati dalam hidup ini. Apabila kita melanjutkan pelajaran di universiti, cuti yang kita nikmati tidak lagi selama cuti ketika di zaman persekolahan.

Apatah lagi bila kita mula bekerja, cuti yang hendak dinikmati pun hanya sehari dua. Ia perlu dipohon. Kalau nasib tak baik, cuti yang dipinta itu tidak akan dilulus majikan. Hanya ketika hari raya sahaja kita boleh bercuti panjang sedikit. Itupun kena pandai pohon cuti ‘tampal’ untuk memanjangkan tempoh cutinya.

Kalau adapun cuti panjang yang diperoleh ialah jika kita memohon untuk mengerjakan umrah. Untuk cuti yang lebih panjang seperti untuk mengerjakan haji, kebanyakan dari kita hanya melaksanakannya setelah menamatkan perkhidmatan. Kerana itu, kita tak boleh harapkan cuti yang panjang melainkan ketika cuti di zaman persekolahan ataupun cuti panjang setelah kita bersara.

Di zaman saya, musim cuti sekolah di penghujung tahun biasanya dihabiskan di rumah sahaja. Tidak ada pelan untuk balik kampung seperti budak-budak sekarang kerana saya memang budak kampung. Namun, saya bukannya duduk melahu menghabiskan beras. Sebaliknya, membantu keluarga seadanya. Cuma saya sama seperti budak-budak sekarang. Kena bersuruh baharulah hendak melakukannya.

Di antara yang biasa saya buat ialah membantu abang saya membuat batas untuk menanam sayur. Sayur terung, bendir, kacang panjang atau kacang buncis adalah di antara tanaman yang mudah dijaga. Selain itu, ada juga saya menanam tembikai. Selain untuk makanan seisi keluarga, hasil tanaman itu boleh juga dijual untuk wang saku.

Di rumah pula, saya dilatih untuk membuat kerja-kerja rumah yang orang lelaki boleh lakukan seperti mengangkat air perigi untuk diisi ke dalam kolah di dalam rumah, menyidai dan melipat baju atau membantu ibu menyediakan bahan masakan seperti memotong akar tauge, mengupas bawang atau membasuh beras.

Di waktu lapang, saya hanya bermain badminton, berbasikal keliling kampung atau membentang sejadah di surau sebelum solat maghrib atau menggulungnya selepas solat isyak. Jika ada majlis tahlil, saya akan membantu tok siak untuk menuang kopi ke dalam gelas atau menghidang kuih-muih di dalam dulang.

Begitulah aktiviti cuti sekolah yang saban tahun saya lalui. Hanya setelah di tingkatan lima, baharulah saya menyertai rombongan ke Kuala Lumpur. Bila ada saudara mara jauh yang sakit pening, baharulah saya sekeluarga akan ke luar daerah untuk berziarah. Berekreasi bersama keluarga adalah aktiviti yang tidak ada di dalam kamus saya dahulu. Saya tahu, kawan-kawan sekampung saya pun begitu juga. Aktiviti mereka juga lebih kurang seperti saya.

Anak-anak sekarang pula penuh dengan aktiviti cuti. Pada musim cuti pun ada aktiviti sekolah. Ada rombongan, perjumpaan dan tidak kurang juga tuisyen. Walaupun sudah cuti penghujung tahun, ada juga kelas tambahan untuk silibus tingkatan berikutnya. Selain daripada itu, ramai yang suka berjalan-jalan bersama kawan-kawan untuk ke taman rekreasi, taman tema ataupun menonton di pawagam cineplex.

Jika di rumah pula, mereka asyik dengan komputer atau telefon pintar. Itulah dunia mereka. Dalam dunia itu ada permainan komputer untuk bercucuk tanam, berkeluarga, berkomuniti, malah membina sebuah negara! Mereka juga akan bersukan dengan jari melalui permainan bolasepak, tenis, meluncur dan entah apa sahaja. Itu belum termasuk mengembara ke merata pelosok dunia untuk mendapatkan harta karun, menyelam ke dasar laut atau berperang di antara galaksi!

Hebatnya budak-budak sekarang. Mereka tenggelam di alam siber. Bila dipanggil pun mereka tak dengar, akhirnya kita terpaksa masuk ke alam mereka untuk menghantar mesej hanya kerana hendak mengajak mereka makan.

Memang, kita harus melayani anak-anak mengikut cara dan kehidupan mereka masakini. Namun, dalam pada itu, mereka perlu tahu, nasi tidak akan masuk ke mulut tanpa menyuapnya sendiri. Baju yang berbau tidak akan wangi kalau dibiarkan bersepah di lantai tanpa disumbat ke mesin basuh. Memasak juga perlu mereka ketahui agar jangan nanti bila sudah hendak kahwin, baharulah panik kerana tak kenal mana satu bawang besar, mana satu bawang merah.


Ibubapalah yang harus memimpin mereka untuk berdepan dengan realiti sebenar, bukannya yang virtual semata-mata. Cuti bukannya bermakna kita boleh buat apa yang kita suka hingga terbazir waktu. Cuti ialah masa untuk kita melakukan apa yang kita tidak dapat buat pada waktu kita melaksanakan tugas hakiki.      

Insya-ALLAH, artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian esok, 4.12.15.