Piccredit: catatan-ezlinda.blogspot
MAKAN TIDAK
SEMESTINYA KERANA LAPAR
SAYA terserempak dengan seorang rakan yang sedang menjinjing empat
bekas plastik besar berisi minuman berais. Bekasnya bersaiz sebantal roti Gardenia Original. Saya tanya dia, di
mana dia beli minuman itu? Katanya ada seseorang yang menghantar minuman itu ke
pejabat. Harganya RM4.50 sebekas. Oleh kerana ada kos penghantaran, maka
harganya RM5.00 sebekas.
Saya nampak ketul-ketul ais kecil di permukaan minuman itu. Nampak aisnya sebanyak
suku bekas. Pada agakan saya, jenuh juga hendak menghabiskan minuman sebegitu
banyak. Baharu menghirup separuh bekas secara berdikit-dikit, aisnya akan cair dan
minuman akan jadi tawar. Si peminumnya tidak akan habis pun meneguknya kerana
kekenyangan.
Saya berpandangan, pesanan minuman itu dibuat oleh mereka yang
hendak merasa sahaja. Kebarangkalian untuk dia memesan lagi sebagai minuman pilihan
rutin adalah sukar. Minuman teh ais, sirap atau milo aislah yang lazimnya menjadi
minuman pilihan kerana ia mudah diperolehi dan harganya pun lebih murah.
Citarasa kita sekarang amat berbeza. Jika dahulu, kita makan
kerana lapar. Pada hari ini kita makan kerana pelbagai sebab selain daripada
kelaparan. Ada yang makan kerana hendak merasa suasana di sesebuah restoran
yang berkonsep café atau hipster. Rasa nasi goreng kampungnya,
char kue teownya, spaghetti carbonaranya
atau rib-eye steaknya sama seperti di
tempat lain. Namun, walaupun rasanya lebih kurang sama, kita pilih untuk makan
di situ untuk ‘merasa’ suasana di situ.
Apabila kita sudah alami suasana di restoran itu, cukuplah kita
berasa yang kita ini up-to-date. Kalau
kawan bertanya, kita akan kata, kita dah pernah makan di restoran itu. Kerana
itu, jika rasa masakannya gitu-gitu
sahaja, kita tidak akan makan lagi di restoran itu. Ke gerai nasi di bawah
pokok atau di restoran mamaklah yang menjadi kunjungan tetap kita.
Sebab itulah, restoran yang baharu dibuka dan dipromosikan melalui
Facebook atau Instagram akan sesak dengan pengunjung. Tetapi, jika menunya biasa-biasa
sahaja, tidak lama selepas itu, restoran itu tidak akan lagi menjadi pilihan.
Jika tiada promosi, ia mungkin kehilangan pelanggan. Banyak sekali restoran
yang dekorasi dan namanya yang begitu unik akhirnya ditutup kerana memilih
konsep sebagai pendekatan perniagaan dan bukannya kesedapan masakan.
Kita dapati juga pelanggan pada hari ini suka mencuba hidangan gabungan
timur dan barat misalnya, atau apa yang dikenali sebagai fusion. Masyarakat pada hari ini memang suka mencuba resipi baharu.
Akhir-akhir ini banyak hidangan yang dikejukan. Ada roti canai cheese, goreng pisang cheese, apam balik cheese dan juga keropok lekor cheese.
Untuk mereka yang lidahnya sudah biasa dengan hidangan tanpa keju,
campuran keju di dalam makanan timur adalah suatu yang dimakan sekadar untuk merasa.
Untuk mereka yang lidahnya belum tebal dengan masakan ketimuran atau
keMelayuan, campuran keju di dalam makanan adalah sesuatu yang dianggap trendy. Ia kini menjadi resipi pilihan.
Kita di Malaysia bukan
sahaja terdedah dengan hidangan yang berasal dari Cina dan India, malah kini
kita boleh menjamah masakan Arab, Korea, Jepun dan Itali dan entah daripada
negara mana sekalipun. Mana-mana pendatang yang pandai memasak, mereka boleh
hidup di Malaysia kerana rakyat di negara ini boleh makan apa sahaja. Menjamu
selera sudah menjadi suatu bentuk rekreasi untuk mengisi masa lapang.
Sebab itulah, ramai dim kalangan kita makan tanpa mengutamakan
khasiat. Apa yang sedap, maka itulah yang menjadi pilihan. Kebanyakan jenis
masakan yang ditawarkan adalah yang bergoreng dan kita tidak kisah seandainya
berat badan akan bertambah dengan masakan sebegini. Harga makanan pun tidak
menjadi ukuran. Kadangkala, harga minuman yang dipesan itu lebih mahal daripada
harga makanan. Jika dahulu, ia adalah sesuatu yang tidak logik, kini ia
dianggap biasa.
Orang kata, berniaga makanan ini menguntungkan kerana selain
daripada urusan jual beli yang tunai, pelanggan biasanya tidak pernah menawar
harga yang ditentukan. Kerana itu, mereka yang berniaga makanan di gerai pada
hari ini boleh buat duit. Malah ada peniaga yang sudah sediakan peruntukan
membayar saman. Hari ini dikompaun, hari esok khemah dan meja boleh terpacak
semula seperti biasa. Jangan pandang sinis. Mereka bukan tak makan saman atau
beri rasuah kepada penguatkuasa. Tetapi
mereka sanggup membayar denda kerana bajetnya ada.
Baru-baru ini saya terpandang iklan sarapan makanan segera yang
hanya berharga RM4.75. Jika dahulu ia dianggap mahal berbanding dengan
sebungkus nasi lemak dan segelas teh tarik, kini makanan di gerai pun boleh
lebih mahal daripada makanan segera.
Semakin lama, nikmat makan telah mengubah persepsi kita daripada
makan untuk hidup kepada hidup adalah untuk makan.
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 4.11.2015.
Uncle, you always write something thoughtful..
ReplyDeleteMoga Allah rahmati uncle!
Terima kasih, Shikin. Semoga Shikin memperoleh manfaatnya.
ReplyDelete