Monday, November 9, 2015

MEMPERBETUL NAWAITU BELAJAR


Piccredit of ivory tower: energise 2-0.com
BUAT APA BELAJAR TINGGI-TINGGI?

PADA tahun ini,  lebih 440,000 orang calon menghadapi peperiksaan SPM. Sekitar bulan Mac 2016 nanti, apabila keputusan peperiksaan diumumkan, sejumlah daripada mereka akan melanjutkan pelajaran.  Yang lain akan memasuki pasaran pekerjaan ataupun pasaran pengangguran.

Dahulu, pendidikan adalah salah satu cara orang Melayu dapat meningkatkan taraf hidup mereka. Setelah begitu lama orang Melayu hanya terpilih menjadi peon dan derebar di zaman British kerana kononnya mereka adalah bangsa yang pemalas dan bodoh, dasar pelajaran kebangsaan membuka peluang yang luas kepada orang Melayu memperbaiki mobiliti sosial mereka.

Sejak itu, semakin ramai anak-anak Melayu berpeluang memasuki universiti. Apabila mereka keluar dari menara gading, ramai yang memilih untuk bekerja dalam sektor kerajaan sebagai guru atau penjawat awam. Yang lebih menyerlah pula berpeluang menjadi Pegawai Daerah, sebuah jawatan yang dikira berprestij.

Apabila pemerintah menggalakkan anak-anak Melayu menceburi bidang kedoktoran, kejuruteraan, perakaunan dan lain-lain bidang professional, maka semakin ramai anak Melayu mula menceburi sektor swasta. Dengan kejayaan pelajaran yang diikuti dengan pendapatan yang lebih baik, anak-anak yang berjaya di dalam pelajaran dan kerja itu dapat membantu keluarga kembali.

Tetapi, itu dahulu. Pada zaman itu, penjurusan pelajar di sekolah dan pengambilan pelajar untuk sesebuah kursus di universiti atau kolej adalah untuk memenuhi rancangan perkembangan pasaran pekerjaan di pelbagai sektor di sebuah negara yang sedang membangun. Di zaman itu,  hampir kesemua mereka yang melanjutkan pelajaran di universiti akan mendapat kerja. Oleh kerana universiti tidak banyak,  lulusan universiti juga tidaklah ramai.  Justeru itu, hampir kesemua mereka memperoleh kerja dengan mudah.

Kini, zaman sudah berubah. Pendidikan bukan lagi semata-mata komitmen perancangan sosial dan ekonomi pemerintah. Ia turut menjadi sumber ekonomi pula. Apabila pendidikan sudah diniagakan, universiti-universiti swasta pun tumbuh bagai cendawan. Biasiswa dan dermasiswa pula kian sukar diperoleh oleh kerana demikian ramainya para pelajar yang memohon.

Maka muncul PTPTN sebagai salah satu tempat mereka yang ingin melanjutkan pelajaran mendapat pembiayaan. Pada waktu yang sama, agensi itu turut memberi nafas kepada universiti-universiti swasta untuk mendapat pelajar dan bertahan serta berkembang. Apa yang digusarkan ialah apabila sesetengah universiti-universiti ini condong untuk mendapat keuntungan, bukan sebagai tempat seseorang itu menjadi seorang intelektual. Kualiti pendidikan sudah ditolak ke tepi. Ada yang menaikkan gred kelulusan para pelajarnya semata-mata untuk membantu mereka mengelak membayar balik pinjaman PTPTN seperti yang dilaporkan oleh sebuah akhbar baru-baru ini.

Malangnya, realiti ini kurang disedari oleh ramai ibubapa. Mereka masih berpegang kepada kepercayaan bahawa melanjutkan pelajaran di universiti adalah satu-satunya jalan untuk memperbaiki masa depan anak mereka. Sedangkan ia sebenarnya belum tentu menjamin kualiti pendidikan, mendapat pekerjaan, apatah lagi memperbaiki diri anak-anak mereka dan akhirnya ekonomi keluarga.

Namun, ada yang tetap mahu menghantar anak-anak mereka memasuki universiti meskipun keputusan anak masing-masing hanya cukup-cukup makan. Padahal, anak-anak mereka, melalui pendedahan yang begitu luas pada hari ini, boleh sahaja memasuki pasaran pekerjaan. Dalam masa tiga tahun, berkat ketekunan mereka, pendapatan mereka sudah jauh melebihi mereka yang baharu lulus universiti jika memperbaiki ekonomi menjadi tujuannya.

Anak-anak yang sudah berpengalaman bekerja itu mempunyai kemahiran praktikal yang jauh lebih baik daripada mereka yang baharu keluar universiti. Mereka yang baharu memegang segulung ijazah masih tercangak-cangak dan teragak-agak untuk menyeiringkan ilmu teori dengan kemahiran praktikal di alam pekerjaan yang sebenar. Sedangkan, mereka yang berpengalaman kerja pula boleh sahaja belajar secara sambilan. Mereka ini lazimnya menjadi para pelajar yang lebih faham teori ilmu kerana sudah mempraktikkannya terlebih dahulu.

Lihatlah di sekeliling. Semakin ramai di antara mereka yang tiada diploma dan ijazah telah memasuki pasaran pekerjaan. Samada mereka pendawai elektrik, penjual burger mahupun seorang usahawan, mereka mampu untuk berdikari dan membina kehidupan masing-masing. Jalan untuk mencapai kejayaan di dunia semakin luas dan bercabang-cabang. Tidak perlu bersesak untuk ke menara gading kecuali jika benar-benar mahu mencari ilmu.

Jika belajar hingga memperoleh ijazah tetapi masih tidak pandai mencari kerja hingga jadi penganggur, ada nawaitu yang tidak betul ketika mula melangkah ke menara gading.

Insya-ALLAH artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 11.11.2015...










No comments:

Post a Comment