Piccredit: motaen.com
BILA
MEMBELI BUKAN KERANA HARGA
KETIKA di zaman persekolahan, di antara kasut sekolah yang menjadi
pilihan ialah kasut jenama Fung Keong dan juga Bata. Kasut Fung Keong digemari kerana terdapat corak bulat di
bahagian buku lali. Ia menjadi pilihan budak-budak lelaki yang suka bermain
takraw. Kononnya corak bulat itu membantu mereka untuk menimbang bola takraw
dengan baik.
Kasut jenama Bata pula menjadi pilihan kerana kekuatan promosinya.
Tagline iklannya di radio, ‘mula-mula
ke Bata, kemudian ke sekolah’ menjadi ajukan saya dan kawan-kawan. Di antara
sebab kasut itu menjadi pilihan juga ialah kerana keunikan harganya. Bata tidak
meletak harga genap seperti RM7.00 ataupun RM7.50. Sebaliknya kesemua
harga-harganya berakhir dengan 90 sen ~ RM7.90, RM8.90, RM9.90 dan seterusnya.
Di zaman itu, saya, kawan-kawan malah ibubapa kami tidak mengerti
strategi harga Bata. Meskipun harga kasutnya RM7.90 misalnya, ia hanya 10 sen
lebih murah daripada RM8.00. Oleh kerana adanya angka tujuh di hadapan, ia
kelihatan murah sedangkan ia berharga hampir RM8.00. Walau apa pun, harga yang
berakhir dengan 90 sen itu menjadi ikutan banyak produk-produk lain. Malah,
banyak juga yang menggunakan angka 99 seperti RM9.99. Nampak seperti RM9,
padahal harganya hanya satu sen mencukupi RM10.00!
Bercakap mengenai harga, sewaktu kecil, saya suka mengikut emak
membeli-belah. Bila menemani dia, saya akan dapat upah mainan. Tidak kiralah
samada ia mainan berupa kereta yang bergerak bila dikunci atau katak yang
melompat bila pam kecil yang mengeluarkan angin dihembus ke bawah badan katak
itu.
Suatu taktik unik yang emak saya gunakan dengan berkesan ialah
menawar harga. Katalah sehelai pakaian berharga
RM20, emak akan menawar harga hingga RM5! Itu sudah potong diskaun 75%!
Walaupun ia permintaan gila, tetapi emak biasanya akan berjaya mendapat harga
yang amat berpatutan.
Apabila RM5 tidak dipersetujui pekedai, emak akan naikkan harga
hingga RM3 secara berdikit-dikit. Maknanya, emak akan tawar harga RM6, RM7 dan
akhirnya RM8. Jika pekedai tak setuju juga, emak akan berpaling dan angkat
kaki. Taktik menonong melangkah kononnya tak jadi membeli ini biasanya menjadi.
Pekedai akan tergopoh-gapah memanggil emak dan terus menawarkan harga yang emak
ingini! Dan emak akan senyum dalam kemenangan!
Orang dahulu mempunyai pandangan yang amat asas mengenai harga.
Mereka mahukan harga yang termurah. Kerana itu, pekedai berlumba-lumba
menawarkan harga yang murah-murah. Akhirnya, pasaran dipenuhi dengan barangan
berharga rendah. Kualiti bukan faktor yang menjadi keutamaan. Soal keselesaan,
menjaga imej serta gaya juga tidak pernah menjadi salah satu sebab mengapa
mereka memilih sesuatu barangan. Kerana itu, kedai-kedai yang menjual dengan
harga yang mahal tidak akan dikunjungi pelanggan dan akhirnya gulung tikar.
Semua itu mula berubah apabila iklan melalui media massa muncul
untuk mencorak segalanya. Barangan dipamer dan dipromosi melalui pendekatan
lain. Misalnya, baju diperaga sebagai busana penuh gaya. Penyuling air adalah
untuk menjaga kesihatan. Periuk nasi elektrik dijaja sebagai cara memasak yang
menjimatkan masa. Kereta pula adalah untuk beriang ria bersama keluarga. Tidak
banyak lagi barangan dipromosikan sebagai barangan yang patut dibeli kerana
harganya murah. Murah kini bererti tidak standard.
Kerana itulah, kita pada hari ini terpengaruh dengan harga yang
mahal. Lagi mahal, lagi bagus. Murah pula tanda kurang prestij. Sebab itulah,
kita memilih ikan kembung yang dipamer cantik seolah-olah sedang berenang di
bahagian barang basah di pasaraya. Kita beli walaupun harganya lebih mahal
daripada yang terjual di pasar basah, pasar malam atau pasar tani. Walhal, ikan
yang dibeli di pasaraya itu sudah bermata merah!
Kita beli biskut yang terpamer cantik di dalam tin beranika warna.
Ia citarasa terkini. Walhal bila dibuka, biskut itu rupa-rupanya dibungkus di
dalam paket plastik murah. Jumlahnya tidak sampai 20 keping! Walhal, kita boleh
beli biskut yang sama, oleh pembuat yang sama secara kilo. Harganya pula tidak
sampai RM5, berbanding yang di dalam tin yang berharga RM12.90!
Kita beli tudung kelihatan
cantik bila ia disinari lampu di rak pameran. Harganya kadangkala harganya
hingga beratus ringgit. Tidak mengapalah kerana ia adalah trend terkini.
Padahal jika kita ke gedung-gedung besar yang menjual dengan harga borong, kita
boleh dapat tiga helai tudung dengan harga yang sama. Jika ingin menghadiahkan
kepada saudara mara atau membuat bisnes secara kecil-kecilan dengan belian
pukal, kita boleh dapat harga yang jauh lebih murah. Kualitinya pun setanding.
Oleh kerana harga bukan menjadi faktor utama dalam memilih, kita terlupa,
ada barangan berkualiti yang berharga murah. Dan, banyak juga produk dari
jenama yang sama dijual di pasaraya kecil dengan harga yang jauh lebih murah
daripada pasaraya-pasaraya besar. Tetapi kita tidak ke pasaraya itu kerana
kurang umph dan glamornya.
Justeru itu, bila kita membeli kerana sebab-sebab gaya, prestij atau keseronokan selain kerana harganya, mengapa bising bila harga barangan semakin naik?Ia bukan faktor yang menjadi pertimbangan kita, pun!
Insya-ALLAH artikel ini akan terbit esok, 18.11.15 di akhbar Sinar Harian.
Tuan,
ReplyDeleteBetul lah sekarang semua bukan ikut kepada kuasa dan tekanan pasaran tetapi lebih kepada ikut kehendak gaya. Itu sebabnya harga tidak turun. Kuasa boikot amat kurang digunakan.
Patut kalau dah mahal kat situ, cari lah kedai lain disini. Adoyailah
Betul kata saudara. Ingat tak kata~kata biar papa asal bergaya?
ReplyDelete