Tuesday, December 3, 2013

MASA YANG BERLARI


 
Piccredit: icr.org

MENGAPA DISEMBER
CEPAT MENJELMA?

KITA sudah berada di bulan Disember. Cepatnya masa berlalu. Pejam celik, pejam celik sudah bulan 12. Demikian rungut kita. Sedangkan sebenarnya masa bergerak begitu perlahan. Perhatikan jarum saat jam di dinding. Detik demi detik. Saat demi saat. Setiap kali jarum saat itu bergerak, ia hanya beranjak sedikit. Pergerakan satu saatnya amat perlahan.

Setiap langkah kita pun lebih cepat daripada satu saat itu sendiri. Gerakan jari kita yang menggaru pun lebih laju dari sesaat. Begitu juga kerlipan mata kita. Tetapi mengapa kita berasa hari berganti hari, bulan berganti bulan dan tahun berganti tahun itu begitu cepat? Mengapa berasa sentiasa kalah dengan masa? Itukah sebab kita sentiasa hidup terkejar-kejar kerana sering ditinggalkan masa?

Bukankah jika satu langkah kita itu lebih pantas dari daripada satu saat, kita boleh lebih cepat daripada masa? Maknanya, mengalahkan masa? Kita tidak akan ditinggalkan oleh masa dan tidak akan lewat dalam apa jua perkara yang kita lakukan. Benarkah begitu?

Tidak! Masa itu bergerak dalam satu dimensi; ke satu hala. Ia tidak akan berpatah balik. Sejak ALLAH S.W.T mencipta alam semesta dengan satu ledakan di angkasa raya, seluruh cakerawala bergerak satu arah iaitu arah yang menjauhi paksi ledakan itu. Ledakan itulah yang mencetus apa yang dinamakan sebagai masa. Masa tidak akan berhenti sehingga alam ini digulung dalam erti kata kiamat.

Jam hanyalah sebagai alat pengukur masa iaitu memberi kita gambaran bahawa masa itu wujud. Justeru itu, kita tidak akan dapat mengalahkan masa walaupun betapa cepat kita bergerak. Kita mungkin sampai lebih awal ke sesuatu tempat mengikut anggaran peruntukan waktu kita. Tetapi kita tidak akan dapat memenangi perlumbaan dengan masa. Kerana itu, kita hanya menang dalam peruntukan masa yang kita sendiri peruntukan.

Misalnya, jika kita menganggarkan kita akan menyiapkan kerja dalam masa satu jam tetapi dapat menyudahkannya dalam masa 45 minit, kita hanya berjaya memenangi masa dalam tempoh itu semata-mata.

Oleh kerana masa itu bergerak perlahan, kita perasan yang kita akan memenangi masa jika kita bergerak lebih cepat. Segala perkembangan teknologi daripada zaman perindustrian hingga kini, apa yang dibuat menjurus kepada memantaskan pergerakan. Memberi rasa seolah-olah kepantasan itu semacam satu kemenangan.

Itulah yang menjadikan kita berebut-rebut dalam melakukan sesuatu. Tetapi, berebut-rebut akan membawa sikap gopoh. Gopoh akan membawa kecuaian. Kecuaian pula bererti tewas dan gagal. Namun, oleh kerana bergerak itu membawa perasaan yang kita akan menang dalam perlumbaan dengan masa, maka kita pun tidak boleh duduk diam. Kita akan bangun dan berlumba lagi hanya untuk tersungkur semula.
Kita tentu pernah melihat betapa ada kereta yang bersilang laju  memotong kereta kita di lebuhraya, akhirnya berada di belakang kita kembali kerana terpaksa mengekori lori besar yang bergerak perlahan di lorong sebelah. Begitu juga kita biasa membelok ke jalan pintas kononnya untuk lebih cepat sampai ke destinasi daripada menunggu lampu trafik bertukar hijau di hujung simpang. Namun, bila kita menatap jam, rupa-rupanya kita mengambil masa yang jauh lebih lama daripada menanti di persimpangan itu tadi. Justeru, bergerak laju tidak semestinya membawa kemenangan.

Kehidupan kita pada hari ini sememangnya merangsang mode kepantasan. Menjadikan kita sentiasa ingin terus bergerak. Kerana itu kita rengsa kerana berasa masa bergerak perlahan tatkala kita menanti. Hingga ada frasa, ‘penantian itu satu siksaan.’ Sedangkan bukankah penantian itu juga melatih kesabaran atau penantian itu menimbulkan ketenangan?

Tetapi, oleh kerana bergerak cepat itu menjadi mode kehidupan hari ini hingga sudah sebati dalam naluri manusia, kita berasa seronok dengan kepantasan.  Kita punyai persepsi bahawa masa bergerak begitu pantas tatkala kita melakukan sesuatu yang kita sukai. Sebaliknya, kita alami ilusi masa merangkak perlahan apabila kita tidak suka melakukan sesuatu itu.

Justeru, kita kembali kepada soalan mengapa 2013 bergerak begitu pantas? Apakah kita rasa mengapa Disember begitu cepat menjelma sedangkan Januari dirasakan seperti baru dilalui bulan lepas? Apakah kerana kita berasa masa bergerak begitu cepat sebab kita sebenarnya suka dengan apa yang kita lakukan? Kalau begitu, apakah ia juga bermakna kita sukakan dunia yang fana ini? Atau… maaf cakap, kita tergolong dari orang yang cinta dunia?

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 4.12.2013, insya-ALLAH...



 

No comments:

Post a Comment