Pic credit: danpontefract.com
SIAPAKAH YANG
JADI PENASIHAT KITA?
JADI PENASIHAT KITA?
SEDARI
kecil, insan yang paling hampir dengan kita ialah ibu dan bapa. Oleh kerana rapatnya
mereka dengan kita, maka kita yakin apabila mereka ada di sisi. Malah, kita
tidak berasa selamat tatkala mereka tiada di depan mata, meskipun barang
seketika.
Kasih
sayang yang ditunjuk dan diberi itulah yang menimbulkan kepercayaan yang tidak
berbelah bahagi kita terhadap mereka. Ketika masih bayi yang boleh merangkak,
suara lembut atau suara tegas ibu membezakan samada dia membenar atau melarang apa
yang kita ingin lakukan. Di kala itu, kita akan patuh dengan segala nasihat
mereka.
Di
usia sebegitu, selain daripada ibubapa, saudara terdekat yang lain seperti
atuk, nenek, abang dan kakak juga membantu kita menimbang apa juga tindakan
yang bakal kita lakukan. Mereka juga adalah penasihat kita.
Ketika
di zaman persekolahan, selain daripada mengajar, guru juga memainkan peranan sebagai
penasihat dengan cara menggalakkan kita mematuhi peraturan dan sistem. Oleh
kerana suasana pembelajaran di sekolah itu lebih formal, maka kita beri
perhatian yang serius terhadap apa yang mereka sampaikan.
Apabila
meningkat remaja dan akil baligh, fikiran kita semakin terbuka. Kita bukan
sahaja belajar mengenai hitam-putih kehidupan, tetapi juga perkara-perkara yang
kelabu. Pada zaman itu, penasihat yang paling hampir dan dapat memenuhi naluri
ingin tahu kita tentulah kawan-kawan.
Pandangan
merekalah yang menjadi rujukan. Nasihat mereka lain daripada nasihat daripada
ibubapa, guru dan saudara terdekat. Jika selama ini kita menerima nasihat untuk
melakukan perkara-perkara yang baik-baik dan elok-elok, nasihat daripada
kawan-kawan ini juga termasuk hal-hal yang nakal dan yang haram.
Seterusnya,
apabila kita bekerja, keluar daripada rumah untuk melanjutkan pelajaran, dan
kemudian berhijrah kerana kerjaya dan berumahtangga pula, semua mereka yang
kita kenali itu sedikit sebanyak menjadi penasihat kita. Isteri atau suami,
jiran atau rakan sekerja turut menjadi rujukan kita. Walau apa pun, kesemua
mereka yang menasihati kita sejak bayi hingga di alam kerjaya ini adalah orang
yang kita kenali secara fizikal.
Bagaimana
pun, situasi pada hari ini sudah berbeza sama sekali. Perkembangan internet
yang menjadikan dunia tanpa sempadan juga telah membuka rangkaian pergaulan
kita dengan mereka yang berada di hujung dunia. Teman-teman di laman sosial
kini menjadi tempat rujukan kita.
Anehnya,
atas nama kawan yang kita tidak sempat pun tahu latar belakang mereka kerana
jumlahnya ratusan, malah ribuan, ada di antara kita yang meletakkan kepercayaan
kepada mereka. Kerana takjub dengan jumlah mereka yang dikatakan kawan, kita dedahkan
diri kita kepada mereka.
Andainya
kita berkongsi kegembiraan, tentulah ia sesuatu yang berpada. Tetapi, apabila
segala masalah peribadi kita itu kita luahkan kepada mereka yang tidak kita
kenali semata-mata kerana hendak meluahkan perasaan, di manakah rasionalnya
jika kita terima sahaja nasihat mereka lebih daripada nasihat mereka yang kita
kenali sejak bertahun-tahun?
Jika
kita demam panas pun, kita berjumpa dengan doktor kerana kita meletak nyawa
kita kepada mereka yang mahir, di mana logiknya apabila kita sakit hati, kita menceritakan
masalah kita kepada mereka yang kita tidak tahu latar belakang mereka. Berpuluh-puluh
respon yang berbagai dari kawan-kawan di laman sosial itu bisa membikin kita
bingung. Akhirnya, nasihat siapa yang kita terima?
Mengapa
tidak kita bezakan tahap penasihat untuk diri kita? Untuk hal-hal yang
peribadi, kita rujuk kepada mereka yang kita kenali secara konvensional. Untuk perkara
yang biasa-biasa, untuk suka-suka, kita bolehlah uar-uarkan kepada kawan-kawan
di laman sesawang.
Dan,
kita sendiri pun tidak perlu menjadi penasihat kepada orang yang tidak kita
kenali sebab nasihat itu akan terselit di antara nasihat-nasihat yang lain. Ia
belum tentu dibaca pun. Kerana itu, tindakan kita hanya membuang masa. Ada
ramai lagi mereka di sekeliling kita yang perlukan nasihat. Kepada merekalah
kita tumpukan perhatian.
Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 11.12.2013, insya-ALLAH...
Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 11.12.2013, insya-ALLAH...
No comments:
Post a Comment