Tuesday, December 17, 2013

GOLONGAN PENYATU UMMAH



Piccredit:murai.com

GOLONGAN USTAZ
SEMAKIN GLAMOR

SEDARI dahulu hingga kini, golongan ahli politik adalah mereka yang sentiasa menjadi perhatian masyarakat. Namun, dari semasa ke semasa akan terdapat golongan lain yang turut menjadi popular. Penampilan, persembahan mahupun fikiran mereka akan menjadi rujukan dan ikutan. Pendek kata, mereka adalah golongan yang glamor pada satu-satu masa itu.

Bila kita susur kembali ke zaman pra-merdeka dan tahun-tahun  akhir 50an, golongan sasterawan adalah kumpulan yang menjadi perhatian dan ikutan. Karya mereka menjadi bahan bacaan dan tontonan. Mereka turut berganding bahu dengan golongan ahli-ahli politik untuk meniup semangat kemerdekaan. Siapa tak kenal dengan golongan sasterawan Usman Awang, Keris Mas, Mahsuri S.N, Samad Ismail dan A. Samad Said pada zaman itu?

Pada ketika itu juga golongan artis juga adalah golongan yang glamor. Nama-nama seperti P. Ramlee, Jamil Sulong, M. Amin, S. Roomai Noor, Nordin Ahmad, Sarimah, Latifah Omar dan Roseyatimah adalah di antara biduan dan biduanita yang disukai masyarakat. Kemudian pada tahun-tahun 60an, muncul pula nama-nama artis seperti A. Rahman Hassan, A. Rahman Onn, Fatimah M. Amin dan Sanisah Huri di era pop yeh-yeh mendapat ruang di hati masyarakat.

Beranjak ke tahun-tahun 70an, golongan artis masih menjadi sebutan. Penyanyi seperti D.J Dave, Uji Rashid dan Hail Amir serta pelakon seperti Yusof Haslam, Zulkiflee Zain dan Normala Omar adalah di antara nama-nama yang meniti di bibir para peminat. Tahun-tahun 80an pula menyaksikan kumpulan rock kapak mendapat tempat. Kumpulan Search, Wings, Febians, Lefthanded dan Gersang adalah di antara berpuluh-puluh band rock yang menjadi glamor.

Namun pada tahun-tahun 90an, minat masyarakat mula beranjak daripada golongan ahli politik dan artis. Tidak ramai yang menyedari kemunculan golongan ustaz telah mula mengambil tempat di hati masyarakat. Kini mereka adalah golongan yang ketiga terkenal selepas golongan ahli politik dan artis.

Bermula dengan rancangan Forum Perdana di RTM 1 pada setiap malam Jumaat, nama-nama ustaz seperti Ustaz Hassan Din, Ustaz Harun Din, Dato’ Md. Hashim Yahya, Dr. Hassan Ali dan Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man mula dikenali masyarakat bila diangkat ke kaca televisyen. Mereka membawa imej kemodenan dan persepsi kesemasaan.

Setelah dua dekad berlalu, minat masyarakat terhadap golongan ustaz semakin kukuh. Malah akan jauh lebih kukuh berbanding dengan pengaruh ahli-ahli politik mahupun kepopularan para artis.

Jika kita buka saluran televisyen berbahasa Melayu di waktu pagi, kita tidak akan terlepas untuk menatap wajah ustaz memberi ceramah mahupun menjawab kemusykilan agama. Kemunculan saluran televisyen khas mengisi rancangan berbentuk agama seperti TV AlHijrah, Astro Oasis dan TV9 serta radio IKIM memperkukuhkan kehadiran ustaz sebagai golongan yang glamor.

Saya tertonton rancangan Pencetus Ummah di rangkaian Astro, sebuah program realiti untuk mencari penceramah agama. Di rancangan itu, para pesertanya bukan sahaja diminta berceramah, malah berlakon dan berlawak, siap dengan persembahan efek khas bunyi dan imej sebagai cara mereka menarik hati penonton.

Bersyukur kita kerana mempunyai ustaz-ustaz yang semakin kemas imej dan fasih pertuturan. Ini amat sesuai dengan kehendak masyarakat. Orang sekarang tidak lagi bertanya mengenai mandi hadas dan hukum bersugi sebelum solat. Malah, mereka sudah berani mempersoalkan hal-hal yang lebih berilmu seperti sejarah Syiah dan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Ustaz sudah tidak berketrampilan jika hanya berbaju Melayu atau berjubah, berkain pelaikat dan bercapal.  Mereka kini mempamerkan imej yang dekat di hati khalayak. Mereka sudah berkot dan bertali leher. Mereka tidak lagi membuka kitab kuning, sebaliknya menatap kitab di tab.

Mereka ada akaun Twitter, Facebook dan Instagram. Mereka tidak lagi dianggap golongan yang elit dan eksklusif. Malah mereka telah diterima sebagai golongan yang menjadi pakar rujuk dan penasihat.

Dalam pada memainkan peranan sebagai penyatu ummah, mereka sendiri perlu dilihat bersatu sesama mereka. Kadangkala, hujah dan debat sesama mereka dilihat tidak molek dan tidak thiqah sebagai ustaz. Tidak thiqah itu tidak semenggah. Perselisihan pendapat sesama mereka perlu ditangani secara tertib kerana para ustaz adalah penyatu ummah. Tugasnya berat. Jangan diberatkan lagi.

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 18.12.2013, insya-ALLAH...

No comments:

Post a Comment