Tuesday, November 26, 2013

CUTI JUMAAT, YEYYY...


 
Piccredit: demibahagia.net
MALAM JUMAAT
YANG BERERTI

RAKYAT negeri ‘Ujung Tanah’ menyambut dengan gembira apabila Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mengumumkan perubahan hari cuti mingguan mulai Januari 2014 di Hari Keputeraan Baginda baru-baru ini. Sebelum titah baginda itu, dokumen rasmi Kertas Tindakan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri berhubung dengan cadangan perubahan cuti itu telah tersebar di internet. Agaknya, rahsia itu disebar kerana penyebarnya turut teruja dengan perubahan itu.

Saya teringat ketika di zaman persekolahan rendah di Mersing, Johor. Hari Jumaat dan Sabtu adalah hari cuti mingguan. Kerana itu, hari Khamis adalah hari gembira buat saya kerana esoknya hari cuti. Pada malam Jumaat, saya dan kawan-kawan sekampung akan memakmurkan surau kerana ada bacaan Yassin. Selepas solat Isyak pula ada jamuan kuih-muih, ada bubur kacang atau pulut kuning yang disedekahkan oleh orang kampung. Kami makan sekenyang-kenyangnya. Kalau tak habis, boleh dibawa pulang.

Keesokannya, pagi-pagi lagi emak sudah menjerit mengingatkan saya supaya mencuci kasut sekolah. Kemudian abah pula akan memerintah saya untuk membasuh basikal selepas  memotong kuku dan mandi sekali lagi sebelum sembahyang Jumaat.  Menjelang jam 11.00 pagi emak sudah siap menggosok baju Melayu teluk belanga dan samping kami.

Abang pula akan memberuskan songkok terlebih dahulu sebelum menyarungkannya di kepala saya. Selalunya abang akan menanti saya memakai samping sebelum menghempuk songkok di kepala saya hingga kulup. Bila tak nampak, saya yang sedang membelit kain samping akan terhuyung-hayang bila gelap pandangan hingga jatuh tergolek. Abah akan bising bila saya bertengkar dengan abang. Dia tidak mahu lewat berbasikal ke masjid jamek yang jauhnya 1.5 kilometer dari rumah.

Selepas sembahyang, kerap juga abah bawa saya dan abang untuk makan nasi beriyani ayam di Restoran Medina di bandar Mersing. Minuman yang dipesannya pula ialah Ginger Beer yang pada mulanya saya tidak berani minum kerana namanya. Abanglah yang selalu menakutkan saya.

Begitulah, hari Jumaat adalah hari santai. Hari Sabtu pula adalah hari untuk menyapu laman, merumput, memerun dan membuat batas ubi serta sayur di belakang rumah. Itulah hari-hari di mana saya dapat rapat dengan abah yang bekerja pada hari-hari lain.

Saya percaya, dengan perubahan hari cuti mingguan kepada hari Jumaat di Johor mulai tahun hadapan, keselesaan bersolat pada hari itu akan mempererat  hubungan anak dan ayah. Mereka yang bercuti pada hari itu juga tidak perlu tergesa-gesa makan dan masuk kerja semula kerana kesuntukan masa. Mudah-mudahan mereka dapat pulang ke rumah untuk berehat sebelum bersantai bersama keluarga.

Memang benar, ada yang berpendapat tidak perlu Jumaat dijadikan hari cuti semata-mata untuk memberi masa bersolat Jumaat. Jika kita berebut solat Jumaat kerana hendak mengejar waktu untuk pergi membeli-belah atau pulang ke kampung, tidak ada bezanya Jumaat dengan hari Sabtu atau Ahad sebagai hari cuti.

Namun, jika dilihat mengenai pelbagai keutamaan hari Jumaat dalam konteks persediaan, penghayatan dan makna bersolat Jumaat itu sendiri mengikut pelbagai hadis sahih yang antaranya diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, kita akan dapat lihat peri pentingnya hari Jumaat diberi sebagai hari khas untuk beribadah.

Dari sudut ekonomi pun ia tidak akan menjejaskan, malah akan merancakkan. Jika selama ini cuti keseluruhannya adalah pada Sabtu dan Ahad, cuti pada hari Jumaat sebenarnya menambah satu hari lagi hari percutian secara keseluruhan. Aktiviti membeli-belah dan pelancongan tempatan akan meningkat. Apabila sebahagian daripada warga negeri itu bercuti pada hari Jumaat, ia mengurangkan pula kesesakan jalanraya di bandar-bandar negeri itu kerana berlakunya penyuraian trafik. Sebaiknya negeri-negeri lain juga patut mengikuti jejak langkah kerajaan Johor, Kedah, Terengganu dan Kelantan yang bercuti pada hari Jumaat.

Tambahan pula, ia akan meniupkan kembali erti istilah ‘malam Jumaat.’ Jangan lupa, kita masih jauh lagi daripada memenuhi matlamat penduduk 70 juta kerana banci penduduk Malaysia pada tahun 2010 hanya mencatat jumlah penduduk Malaysia hanya 28.3 juta!

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 27.11.2013, insya-ALLAH...

No comments:

Post a Comment