Tuesday, November 5, 2013

PERLUMBAAN HIDUP (draf)

Photo credit: multees.com

SEMALAM YANG 
SENTIASA BERMAKNA

Pagi tadi, saya terjaga bila terdengar kokokan ayam. Pada mulanya saya ingatkan saya berada di kampung. Namun, bila saya bingkas bangun, suasana di sekitar menjadikan saya sedar yang saya masih berada di rumah sendiri. Bila bertanya isteri, katanya jiran baru di depan rumah, membela ayam!

Bila hendak ke pejabat, saya sempat melihat tiga ekor bapak ayam sedang mematuk tanah di hadapan rumah. Hendak ketawa pun ada kerana hati jadi girang bila terpandang ayam hidup. Selalunya ayam yang saya nampak sudah jadi lauk.

Di kampung, ayamlah yang jadi penceria suasana. Tatkala kecil, saya suka mengejar ayam. Sengaja  suka-suka melihat anak-anak ayam bercempera lari bila saya mengacah. Suka melihat anak ayam yang tercicir sesat sendirian, berciap-ciap mencari si ibunya. Suka juga menyergah ibu ayam hingga ia berketuk kerana terkejut. Gemar juga memulakan kokokan hingga bapak-bapak ayam berkokok bersahut-sahutan.

Cuma yang tak sedapnya ialah bila ayam berak bersepah. Mulut berkerinyut setiap kali emak suruh menjirus simen di depan rumah untuk membersihkan najisnya. Sebab itulah saya akan membaling selipar atau terompah bila nampak ayam menghampiri dulang berisi nasi semalam yang emak jemur untuk buat kuih.

Masih ingat bagaimana saya masuk ke dalam reban yang berbau hapak dan tengik mengambil telur ayam untuk dijual. Biasa juga menggunakan cangkul mengaut najisnya untuk buat baja kebun sayur di belakang rumah. Ataupun mengejar ayam untuk dibuat lauk sebagai hidangan abang yang pulang ke kampung.

Kenangan. Apa yang jadi ingatan itu bisa membuat saya tersenyum sendirian. Rasa rindu terhadap sesuatu yang pernah dialami pada masa lalu itu begitu mengusik perasaan. Di sebalik perasaan sayu bila digamit memori, tidak boleh tidak, akhirnya perasaan bahagia turut menyusul.

Sudah bertahun-tahun saya menggunakan jam loceng dan kemudiannya suara azan dari telefon bimbit sebagai cara untuk mengerakkan saya daripada tidur. Tetapi, apabila ayam jiran berkokok, saya boleh terjaga kerana memori saya diusik dengan berasa seronok teringat zaman persekolahan bilamana saya akan dibangunkan dengan  kokokan ayam.  

Saya teringat pada satu frasa motivasi dalam sebuah buku yang judulnya saya sudah lupa. Di antara kata-katanya yang menarik perhatian saya ialah, ‘jika kita inginkan kedamaian, alamilah apa yang kita suka lalui pada waktu dahulu.’  Down memory lane, atau nostalgia itu lazimnya akan memberi rasa riang dan bahagia.

Banyak sekali pengalaman lalu yang menggembirakan kita meskipun dahulu kita tidak ambil pusing dengan apa yang kita lalui pada ketika itu. Bunyi hujan yang menikam bumbung, melihat pohon kelapa yang meliuk lintuk ditiup angin atau memanjat pokok jambu adalah di antara pengalaman yang mendamaikan.

Bau rumput terbakar, memijak pasir laut yang halus, pasir kebun yang sejuk atau menyentuh embun di hujung rumput begitu bermakna kerana ia adalah sesuatu yang sukar kita dapat dilakukan pada hari ini. Pilihlah pengalaman yang manis dan lakukan ia kembali itu agar kita bahagia.

Di zaman yang mana kita sentiasa diasak untuk memandang jauh, melangkah ke hadapan, berwawasan, berinspirasi dan bermatlamat, kita akhirnya terlupa untuk menoleh ke belakang. Masa depan yang menjadi fokus itu biasanya belum pasti. Ia masih menjadi tanda tanya, persoalan, malah satu bentuk perjudian meskipun segala fakta, data dan persediaan rapi telah dibuat.

Esok selalu dikaitkan dengan kejayaan. Kejayaan itu pula perlu dikejar dan direbut. Apabila semua orang kelihatan berlari, maka kita pun ikut sama berlari sedangkan kita tidak tahu mengapa kita turut berlari. Kita terlupa bahawa untuk sampai ke sesuatu tujuan, kita tidak semestinya berlari. Berjalan pun boleh, merangkak pun boleh, mengengsot pun okey.

Siapa kata bila kita sampai lewat ke matlamat, ia bermakna kita tewas? Ramai sekali orang yang sampai lebih awal ke matlamat itu tergolek kemudiannya. Dalam perlumbaan hidup, mana ada riben di garisan penamatnya seperti sukan larian 100 meter?  Kehidupan adalah suatu maraton.

Esok sentiasa menjanjikan kejayaan, sedangkan pada banyak situasi ia hanyalah fatamorgana. Sebaliknya, semalam yang telah dilupakan itu telah terbukti membahagiakan.

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 6.11.2013, insya-ALLAH... 

No comments:

Post a Comment