Tuesday, November 19, 2013

SERONOKNYA MENULIS


Photo credit: barbaraconelliblog

MANUSIA YANG
BERNAMA NOVELIS

HAMPIR semua orang boleh menulis. Ramai juga yang boleh mengarang. Tetapi hanya sebilangan sahaja yang pandai bercerita. Daripada golongan mereka yang pandai bercerita, hanya segelintir sahaja yang pandai bercerita melalui tulisan. Golongan ini pula terpecah menjadi dua. Golongan pertama dikenali sebagai cerpenis, golongan yang satu lagi dikenali sebagai novelis. Golongan novelis pula lebih kecil daripada golongan cerpenis.

Novelis adalah pencerita. Saya mengistilahkan seseorang novelis itu sebagai pakar temberang! Orang biasa hanya boleh buat temberang yang sedikit atau seketika. Tidak lama kemudian temberangnya sudah pecah. Tipu helahnya mudah dikesan kerana lompong di sana-sini dengan percanggahan logik dan fakta.

Sebaliknya temberang seseorang novelis itu panjang. Seseorang pembaca itu mengambil masa berjam-jam membaca sesebuah novel atau temberangnya. Ironinya, pembaca tahu ia adalah temberang atau fiksyen. Namun, kerana mahirnya dia mengadun cerita bersalut dengan fakta, si pembaca boleh menangis, ketawa, geram, marah, malah jatuh cinta dengan watak-watak yang dicipta novelis itu.

Namun, bercerita melalui tulisan bukanlah kerja yang mudah. Hendak mendapat inspirasi adalah satu hal. Hendak menyusun apa yang terilham itu juga adalah satu hal yang lain. Idea, ilham atau inspirasi boleh datang seperti kilat. Mengendalikan apa yang terlintas itu amat sukar, bagai cuba menjinakkan kuda liar.

Bagaimana seseorang penulis itu hendak menterjemah apa yang terpapar di layar mindanya menjadi aksara, perkataan, ayat dan para hingga difahami oleh pembaca pula? Menyusun apa yang terlahir dalam bentuk tulisan itu lebih sukar daripada menzahirkan melalui percakapan. Kalau bercakap, penulis boleh perkatakan apa yang tercetus itu dalam senafas. Tetapi kalau menaip, penulis tidak dapat menyampaikan sesebuah ideanya dalam masa sejam.

Mujurlah pada hari ini, kemudahan komputer membolehkan seseorang itu menulis, memadam, menambah, memendek dan menyunting hingga apa yang ditulis boleh menjadi clean copy atau naskhah bersih. Andainya mereka berada di zaman mesin taip, kerja memasukkan kertas baru ke penggelek mesin taip hanya untuk memperbetulkan satu ayat itu sendiri amat mendera perasaan.

Seseorang novelis akan berasa bahagia apabila karyanya sudah dinovelkan. Dia bangga dengan karyanya. Dia juga berharap tulisannya itu akan disukai dan diperkatakan oleh para pembaca. Komen-komen para pembaca itu akan memacu semangatnya untuk terus menulis. Namun pada lazimnya, penulis berandaian bahawa pembaca akan membaca setiap patah perkataan yang dia tulis.

Di sinilah kesilapan mereka pula. Mereka terlupa para pembacanya bukan membaca surat cinta kekasih di mana mereka akan berhenti sejenak pada setiap koma dan noktah.
Sebahagian besar daripada mereka tidak akan menutup buku, memejam mata sambil membayangkan apa yang tertulis sambil tersenyum simpul.

Sebaliknya sebahagian besar pembaca hendak tahu apa kesudahan cerita yang ditulis. Kerana itu, ada pembaca yang khatam novel secara melangkau-langkau. Apa yang dia suka, dia baca. Apa yang tidak menarik hati, mereka akan ditinggalkan. Bagai orang yang makan mi kari. Mereka makan udang, sayur, telur, tauhu, hirup sedikit kuah dan kunyah sedikit mi. Yang lain mereka tinggalkan.

Malah, ada pembaca yang hanya membaca melangkau-langkau itu pula cepat-cepat membuka halaman terakhir untuk mengetahui kesudahan cerita. Bagai orang yang menonton bola dalam siaran berita. Mereka hendak tahu keputusan perlawanan. Itu sudah cukup memuaskan hati mereka. Dan mereka bercerita dengan semua orang yang mereka sudah membaca novel 10 novel dalam masa sebulan!

Betapa pun yang dilakukan oleh pembaca, itu bukan kesalahan. Itu adalah cara mereka membaca novel. Ada orang mengambil masa lebih setengah jam untuk makan. Ada yang hanya mengambil masa 10 minit untuk mengenyangkan perut. Novelis sebagai chef masakan minda perlu bersahaja dengan perangai para pembacanya.

Betapa pun, sesebuah karya tidak kira setebal 50 halaman mahupun 500 halaman, dibaca dari ayat ke ayat atau dibaca secara langkau-langkau, ia tetap harus dihasilkan dengan penuh tanggungjawab. Meskipun ia fiksyen, kesan karya itu terhadap pembaca itu yang patut dititikberatkan oleh seseorang novelis.

Walaupun ia temberang, ia adalah temberang yang diyakini dan berbekas di hati para pembacanya. Andainya natijahnya baik, maka beruntunglah si novelis itu. Andai sebaliknya, ia akan memakan diri novelis itu sendiri. Menulis pun  juga ada dosa dan pahalanya.   

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 20.11.2013, insya-ALLAH...

No comments:

Post a Comment