Tuesday, September 24, 2013

PANDUAN SIHAT TUBUH


 
Photo credit: iffleyroad.com

MELESTARI MENTAL
FIZIKAL & SPIRITUAL

SAYA temui Cikgu Enal yang berkunjung di sebuah kedai buku di KLCC. Dia cikgu pencen yang saya kenali di sebuah kursus motivasi 20 tahun yang lalu. Tetapi, lelaki yang sudah berusia lebih 70 tahun ini masih segak. Perutnya masih rata dan tidak berkaca mata. Umurnya hanya terlihat pada kapas di kepalanya. Wajahnya yang berseri membuatkan hati saya suka menatapnya. Secara peribadi, terdetik di hati saya, Cikgu Enal ini punyai ciri-ciri insan beriman.

Banyak sekali soalan saya untuk mencungkil rahsia tubuh dan peribadinya yang menyenangkan. Tatkala kami bersembang di bangku di depan kedai buku kerana Cikgu Enal berpuasa pada hari itu, beliau menggariskan tiga aspek kesihatan tubuh yang perlu dijaga, secara fizikal, mental dan spiritual. Saya perturunkan seringkasnya sebagai perkongsian bersama.

Ada tiga petanda yang menunjukkan kita sihat secara fizikal. Pertama, kita mudah tidur. Bila letak kepala ke bantal, kita akan terus terlena. Kedua, selera makan kita sentiasa ada. Apa sahaja yang terhidang boleh dimamah. Tolak batu, kayu dan plastik, yang lainnya kita boleh telan dengan berselera. Yang ketiga ialah bila kita lawas membuang air besar dan kecil.

Sukar melelapkan mata adalah petanda pertama yang kita tidak sihat. Ia berlaku kerana otak kita terlalu aktif samada kerana memikirkan perkara yang merangsang pemikiran mahupun kerana sebab kekusutan. Tidur yang tidak nyenyak terutamanya yang disulami mimpi itu akan memenatkan.  Lebih-lebih lagi jika mimpi itu dapat diingati bila bangun tidur. Jika mimpi yang diingati itu mimpi yang buruk,  ia akan mengganggu mood seseorang pada hari itu.

Rasa lapar hingga menggigil adalah petanda terdapatnya gangguan pada pankreas. Ia berpunca bila waktu makan kita tidak menentu. Pening kepala boleh terjadi. Hilang selera makan adalah petanda perut sebu dan deria rasa yang menurun. Ia petanda penyakit akan singgah.

Membuang air kecil dan besar yang tidak teratur akan menjadi masalah pada kesihatan. Ertinya, pembuangan toksik dari tubuh tidak lancar dan ia boleh mengakibatkan kesihatan terganggu. Lebih toksik di dalam tubuh menyebabkan badan berbau dan kulit dihinggapi dengan pelbagai penyakit.  

Selain daripada penjagaan tidur, makan dan perkumuhan, senaman juga adalah cara yang paling berkesan untuk melestarikan tubuh. Bersenam mesti menghasilkan peluh. Jika setakat berjalan berpusing-pusing keliling rumah tanpa mengeluarkan peluh, ia bukan senaman namanya. Senaman berbentuk regangan akan memulihkan segala sakit-sakit badan dengan cepat selain daripada membolehkan otot dan urat kita lembut.

Kesihatan spiritual juga perlu dijaga. Selepas mengucap dua kalimah syahadah, solatlah komitmen yang paling penting untuk kesihatan rohani. Solat sepatutnya ditunaikan sebaik sahaja masuk waktu. Kalau solat sudah di penghujung waktu, ia seolah-olah menggambarkan kita mengutamakan urusan dunia lebih daripada urusan akhirat. Sedangkan dunia dan akhirat sepatutnya ia seiring. Bila tiba waktu solat, itu bermakna waktu urusan akhirat dah tiba. Kerana itu, urusan dunia perlu diketepikan.

Tidak boleh juga di waktu solat atau urusan akhirat itu, kita berebut-rebut hendak menyudahkannya. Urusan dunia sepatutnya terhenti pada saat kita memulakan urusan akhirat.  Biarpun ketika beratur untuk wuduk, imam membaca surah yang panjang, bersalam-salaman atau bersembang seketika dengan jemaah setelah solat, semua itu perlu dilayan dengan tenang. Bila kita bersantai dari saat mula melangkah ke sejadah hingga keluar ke tempat kasut, kita akan memperoleh kerehatan fikiran. Ia akan mengurangkan stres dalam kehidupan seharian.

Perkara sunat perlu diperbanyakkan setelah melakukan yang wajib. Melaksanakan yang wajib lebih rumit kerana ia perlukan niat, rukun dan tertib untuk mendapat pahala. Sedangkan melakukan yang sunat amat mudah. Ia hanya perlu niat dan diikuti dengan perlakuan. Pahala akan diperoleh dengan mudah. Dan pahala melakukan yang sunat akan menjadikan kita berasa bahagia.

Kesihatan mental diperoleh dengan membaca. Dan bahan bacaan yang paling berkesan ialah dengan membaca al-Quran kerana hanya membaca al-Quran yang meningkatkan konsentrasi. Sedangkan membaca buku atau majalah boleh dilakukan sambil kita makan minum mahupun sambil menonton.  

Permainan kuiz, teka silangkata atau berbincang akan meningkatkan rangsangan minda agar segar kerana permainan yang memerlukan kita berfikir akan menggerakkan darah dan oksigen ke dalam otak. Elakkan dari kerap bersembang kosong kerana ia tidak banyak merangsang fikiran kerana banyak bahan sembang hanyalah untuk mengiyakan apa yang disampaikan.

Buat saya, banyak pandangan Cikgu Enal ini boleh kita teladani.
Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian pada 25.9.2013, insya-ALLAH...

No comments:

Post a Comment