Photo credit: milopurple.blogspot
DI ANTARA TARAF HIDUP DAN GAYA HIDUP
DI ANTARA TARAF HIDUP DAN GAYA HIDUP
ADA
sesuatu yang menarik tatkala melayari internet mulai petang kelmarin dan juga
pada pagi semalam. Menarik kerana dalam kemeriahan rakyat memberi reaksi
terhadap kenaikan harga minyak, semakin banyak komen yang diberi dalam laman Facebook, Twitter dan blog disampaikan secara
sinis, perli dan juga melawak. Bukan sahaja dengan cara marah-marah dan maki
hamun. Agaknya ramai yang dah habis marah hingga tak termarah lagi dengan
kenaikan itu.
Siapa
yang tak terkilan apabila harga minyak yang dianggap tidak akan naik dalam
tempoh terdekat tiba-tiba lebih mahal 20 sen seliter dua hari selepas kita
menyambut Hari Kemerdekaan? Barangkali juga, oleh kerana ramai yang mengagak lambat
laun, harga minyak akan naik, maka ramai yang sudah bersedia menerima planned surprise itu. Justeru itu, marah
yang dilepaskan menjadi lebih terkawal, lebih tertib, meskipun tahap kegeraman
masing-masing tetap sama.
Ramai
yang pulang paku buah keras kepada penyokong BN. Seolah-olah mereka memilih BN semata-mata
kerana percaya parti itu tidak akan menaikkan harga minyak. Dalam pada itu ramai
juga penyokong tegar BN masih mempertahankan keputusan kerajaan dengan komen-komen
politik, sedangkan kenaikan harga minyak itu bukannya keputusan politik, sebaliknya
keputusan ekonomi.
Ya,
kita boleh sarankan pak menteri jangan membazir wang rakyat dengan berbelanja
besar untuk program berbentuk majlis, sambutan-sambutan, perayaan-perayaan,
projek-projek atau apa sahaja yang tidak punyai kepentingan kesejahteraan
rakyat. Tetapi, walau apa pun yang kita usulkan di laman-laman sesawang,
akhirnya kita sendiri juga yang perlu menangani kenaikan itu ~ berdepan dengan realiti
secara sendirian.
Meskipun
bagi orang biasa yang menggunakan kenderaan sederhana seperti Proton Saga terpaksa
menambah lebih kurang RM10 untuk setangki penuh minyak, dia sebenarnya menambah
RM40 perbelanjaan minyak dalam sebulan jika dia mengisi minyak seminggu sekali.
RM40 itu mungkin sekali bajet wang saku sekolah anaknya. Ataupun bil api.
Ataupun RM40 adalah bajet melanggan akhbar Sinar Harian untuk sebulan.
Kesan
kenaikan itu kecil bagi orang besar, tetapi besar buat orang kecil. Bagi orang
kecil yang pandai mencari wang pendapatan tambahan, dia boleh cari tampung
kekurangan belanjawan keluarganya berikutan dengan kenaikan ini. Tetapi bagi orang
kecil yang tidak tahu arah atau jalan, kenaikan ini adalah sesuatu yang
membebankan.
Dan
ramai sekali orang kecil, malah orang sederhana yang di atas sebab-sebab
kekangan masa, komitmen, pengetahuan dan peluang tidak dapat melakukan apa-apa.
Tetapi, walau marah macam mana pun, tindakan untuk meneruskan gaya hidup yang
sama tanpa berbelanja secara berhemah merupakan satu bentuk denial. Orang tua kata, ‘ada buat cara
ada, tak ada buat cara tak ada.’ Kalau kenaikan harga minyak itu membuatkan
bajet lari, terimalah hakikat bahawa kita semakin sengkek.
Justeru
itu, kita mesti hadapi kenyataan yang kehidupan kita semakin sempit. Ketepikan gaya
hidup buat sementara kerana gaya hidup itu bukannya taraf hidup. Gaya hidup
adalah khayalan untuk mempamer satu standard kehidupan seperti orang senang. Taraf
hidup itu adalah realiti yang mesti ditangani secara realistik.
Mulakan
dengan mengurangkan kepelbagaian menu makanan harian. Sarapan nasi lemak dengan
dua jenis lauk boleh dikurangkan dengan sejenis lauk sahaja. Makan di luar seminggu
sekali boleh dijarakkan selang seminggu. Jalan-jalan dan membeli-belah perlu
diketepikan buat sementara waktu.
Seperti
yang pernah saya beri sebagai contoh, kalau kita selongkar apa yang ada di
dalam peti sejuk, kita tidak perlu ke pasar untuk seminggu. Yang penting,
kenaikan harga minyak ini menjadikan kita peka dengan perbelanjaan. Bila kita
mengawal nafsu berbelanja, ia adalah langkah kita untuk menyerap
ketidakseimbangan bajet peribadi. Ia juga adalah latihan agar kita mengawal
semula tabiat berbelanja tanpa berfikir panjang. Berpuasa dari berbelanja.
Semua
ini adalah langkah berjimat cermat. Berjimat cermat? Ramai yang tidak selesa
dengan istilah berjimat cermat kerana ia kedengaran retorik. Tetapi, bukankah berjimat cermat itu adalah
tindakan yang terpuji sama ada dalam keadaan susah mahupun senang, mewah
mahupun miskin? Yang penting, kita kena bersedia menangani kenaikan minyak
kerana ada banyak lagi kenaikan lain yang bakal kita hadapi dalam waktu
terdekat ini.
Artikel ini akan tersiar di akhbar Sinar Harian pada 4.9.2013, insyaALLAH...
Artikel ini akan tersiar di akhbar Sinar Harian pada 4.9.2013, insyaALLAH...
No comments:
Post a Comment