SUATU PETANG
BERSAMA DATUK J
BERSAMA DATUK J
SAYA makan jam 3.45 petang.
Kalau orang lain ada istilah brunch, breakfast
cum lunch iaitu bersarapan yang dirangkum dengan makan tengahari, saya yang
makan di antara waktu makan tengahari dan minum teh, bolehkah dipanggil lunchea, iaitu lunch cum tea? Saya makan
lewat sedikit untuk mengelak kesesakan pengunjung. Di waktu yang tidak ramai
pelanggan, saya boleh makan sambil membaca.
Pada suatu petang minggu lalu,
saya bertemu dengan seorang bekas VIP tatkala saya di sebuah restoran di
Seksyen 3, Shah Alam. Sebenarnya, dia yang menemui saya kerana hanya sedar dia berdehem
setelah duduk di hadapan saya. Saya katakan
yang dia adalah bekas VIP kerana dia sudah jarang sekali kelihatan dalam
majlis-majlis pelancaran produk korporat, makan malam korporat ataupun
majlis-majlis politik.
Dia sudah tidak bergaya
seperti seorang VIP. Sudah tidak mahu menonjolkan dirinya sebagai orang penting.
Pada petang itu pun, dia hanya berbaju Melayu, berkain palaikat dan berkopiah. Malah,
dia tidak mahu dipanggil dengan gelaran Datuk, sekurang-kurangnya pada
pertemuan tidak rasmi itu.
“Panggil saya abang Johan,
sudahlah. Datuk itu gelaran rasmi dunia perniagaan yang saya dah tinggalkan. Itu
gelaran di alam korporat. Sekarang ini berpakaian untuk bersedia ke alam
akhirat.” bisiknya.
Saya tidak terkejut dengan
penampilannya. Datuk J bukan orang pertama yang memilih untuk mengubah haluan
kehidupannya. Ada manusia yang saya kenal berubah perangai dalam kehidupan
masing-masing. Semakin usia meningkat, ada yang berubah daripada berperangai manusia
kepada binatang. Ramai juga yang berubah daripada berperangai binatang kepada
menjadi manusia.
Datuk J yang saya kenal melalui
seorang stafnya lebih 20 tahun lalu mempunyai ramai sekali kenalan dan rakan
kongsi. Dia menyewa tiga tingkat ruang pejabat di sebuah bangunan di pinggir
Kuala Lumpur. Di dalam pejabatnya terdapat bilik-bilik kecil. Cuma ada sebuah
meja, sebuah kerusi eksekutif dan dua buah kerusi kecil di dalam bilik-bilik
itu.
Di pintu-pintu bilik itu
tertera nama pelbagai syarikat. Orang yang menduduki bilik itu adalah tuan-tuan
punya syarikat yang juga rakan kongsi Datuk J. Saya tahu mereka itu ada yang
menjadi proksi tokoh-tokoh politik atau perniagaan yang lain. Dengan kecekapannya
mengendalikan tidak kurang 30 syarikat bersama-sama rakan kongsinya, kehidupan
Datuk J penuh dengan mesyuarat dan makan-makan. Maksud saya, siang
bermesyuarat, malam berpesta.
Tatkala itu, tahun-tahun
80an, tiada lagi internet dan penggunaan mesin faksimili belum begitu terkenal.
Semua urusan ketika itu dijalankan menggunakan telefon dan telex. Namun, Datuk
J menggunakan kontak perniagaannya melalui pelbagai pegawai di kedutaan. Tidak
hairanlah perniagaan beliau menjangkau hingga ke seantero dunia.
Justeru itu, dia sering bertemu
dengan pegawai-pegawai kedutaan yang membawa usahawan negara masing-masing di
hotel-hotel. Di tempat itulah Datuk J memateraikan memorandum persefahaman
mahupun memperoleh surat jaminan kerjasama daripada rakan kongsi dalam apa jua
projek yang direncanakan.
Saya kagum dengan kebolehan
Datuk J berkomunikasi. Kerana kebolehannya itu, Datuk J mengenal dan dikenali
oleh pegawai-pegawai menteri dan kementerian. Di zaman komputer berimejkan
tulisan hijau dengan sistem dbase
lagi, Datuk J sudah menyimpan senarai kakitangan sesebuah pejabat di sesebuah
kementerian dari KSU hinggalah ke nama budak pejabatnya di komputer peribadinya.
Malah, bila ada cadangan
projek di sesebuah kementerian, dia tahu di meja siapakah failnya tersimpan.
Untuk menggerakkan fail itu, dia hanya perlu angkat telefon dan bercakap dengan
si Mamat budak pejabat di kementerian itu, meminta Mamat menghulur fail itu kepada kakak yang bekerja
di luar bilik pembantu peribadi pak menteri.
Memang mudah bagi Datuk J berurusan
kerana dia menggunakan minyak grease atau
minyak pelincir untuk menggerakkan failnya. Wang kopi, undercounter, kick-backs dianggap wang pelaburan oleh Datuk J. Semua
yang terlibat dengan urusniaganya mempunyai persen masing-masing. Dia tidak
rasa bersalah jika kegiatannya itulah yang mengakibatkan kos sesebuah projek
itu meningkat hingga 100 peratus daripada harga asal.
“Macam mana dengan bisnes?” tanya
saya setelah beberapa ketika mengimbau aktiviti perniagaannya. “Saya dah tutup
semuanya sejak isteri saya meninggal dunia. Saya hidup dengan wang pemberian
anak-anak. Saya hanya menunggu dua kematian…” katanya seraya mengangkat jari
telunjuk dan jari hantunya.
“Pertama, malaikat maut.
Kedua, SPRM!”
Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar Harian esok, 18.9.2013, insyaALLAH...
No comments:
Post a Comment