Tuesday, September 10, 2013

MENCARI LAWAN BERCAKAP


Photo credit: omnilexica.com

MENGENALI INSAN
YANG DIAM-DIAM UBI

KOMUNIKASI adalah aktiviti menyampaikan maklumat melalui pertuturan, gerak laku, isyarat dan juga tulisan. Jika pada suatu ketika dahulu manusia banyak berkomunikasi melalui percakapan, kini dengan perkembangan teknologi, manusia semakin kerap berkomunikasi dengan tulisan dan gambar melalui medium SMS, MMS, Twitter, Whatapps dan Instagram.

Tulisan dan gambar tidak diiringi suara. Malah ejaan SMS yang diringkaskan telah mengenepikan aspek kemesraan berkomunikasi. Akibatnya, si penerima akan membaca mesej yang disampaikan dan mentafsir foto yang dikirim mengikut tanggapan hatinya.

Seandainya seorang isteri menulis mesej yang panjang lebar kepada suaminya mengenai baju baru yang dibelinya, jawapan pendek, ‘ok’ si suami boleh sahaja ditafsir sebagai tidak kisah suami terhadapnya. Mengapa mesej lima para dijawab dengan ‘ok’ sahaja?

Padahal, ‘ok’ si suami membawa maksud, ‘abang setuju sangat dengan baju yang sayang beli.’ Dia tidak tahu saat si suami menjawab mesej itu, dia sedang mengeluarkan wang di ATM. Si suami menjawab ringkas kerana mahu menumpukan perhatian pada transaksi perbankannya. Tetapi kerana salah faham, si isteri boleh merajuk dan tidak mahu menghubungi si suami di sepanjang hari itu.

Begitu juga, sebuah berita kematian kawan kolej yang disampaikan Faryna kepada rakan-rakan sekuliahnya di laman Facebook boleh menimbulkan rasa terkilannya bila ramai kawan-kawan hanya memberi respons ‘like’ seolah-olah suka dengan berita kematian. Walhal, kawan-kawannya mencatat ‘like’ kerana kekangan masa masing-masing. (Elok sangat Facebook menukar perkataan ‘like’ kepada ‘noted’ atau ‘agreed’ untuk mengurangkan salah faham dalam komunikasi).

Betapa pun, berkomunikasi secara bertemu muka masih cara yang terbaik kerana apa yang ingin disampaikan itu akan lebih jelas difahami. Raut wajah, gerak laku dan intonasi suara dalam komunikasi secara bersemuka itu membolehkan kita menelah apa yang ingin disampaikan dengan tepat.

Namun, ramai di kalangan kita hanya melihat pada zahir orang yang berkomunikasi dengan kita. Sedangkan ada pula manusia menzahirkan sesuatu yang bertentangan dengan apa yang ada di dalam hatinya. Suara dan gerak geri seseorang yang kelihatan marah itu bukan semata-mata menggambarkan dia tidak suka dengan apa yang terjadi.

Seorang kakak yang terjerit, berleter dan memukul adiknya kerana pulang lewat tidak semestinya menggambarkan yang dia marah kerana benci dan geram. Mungkin sekali dia terjerit kerana bersyukur adik yang dibimbangi tidak balik-balik itu akhirnya muncul di muka pintu. Leterannya itu mungkin juga nasihat agar si adik tidak berbuat sesuatu yang membimbangkan si kakak dan pukulannya itu boleh sahaja bermakna yang dia seronok melihat adiknya sudah pulang dengan selamat.

Seandainya kita hanya melihat pada yang zahir, maka kita akan tersilap tafsir yang batin. Ada sesuatu yang lebih bermakna daripada apa yang dizahirkan. Paul Ekman, seorang ahli psikologi Amerika telah menulis buku Telling Lies pada tahun 1965 yang mengaitkan emosi dengan perilaku seseorang. Kini, dikenali sebagai body language, emosi seseorang di hadapan kita boleh ditelah dengan meneliti gerak gerinya.

Betapa pun, selain daripada apa yang diucapkan seseorang secara berdepan, apa yang sebaliknya dimaksudkan oleh seseorang daripada apa yang dizahirkan atau apa yang dibayangkan seseorang melalui gerak gerinya, ada satu lagi aspek yang perlu kita peka ketika berkomunikasi secara berdepan dengan seeorang.

Aspek itu adalah apa yang tidak dizahir atau dibayangkan langsung oleh mereka yang berkomunikasi dengan kita. Maknanya, kita mesti memikirkan apa yang tidak disebut, dizahir atau dibayangkan langsung oleh orang di depan kita itu. Pendek kata, kita mesti peka untuk membaca what is between the lines atau apa yang dimaksudkan di sebalik apa yang disampaikan oleh seseorang itu.

Dalam dunia di mana semua orang mahu jadi jaguh bercakap, carilah manusia yang tampak diam seribu bahasa. Selamilah hati insan ini dan temuilah khazanah sudut pandang, pemikiran dan nilai-nilai yang menjadi anutannya. Mengenali seorang insan yang diam ubi berisi itu lebih baik daripada mengenali seratus insan yang berperangai seperti ayam yang bertelur sebiji riuh sekampung.

Artikel ini akan terbit di akhbar Sinar harian esok 11.9.2013, insya-ALLAH...

No comments:

Post a Comment